"Tahu tak, sekarang kalau nak merokok lepas makan di restoran ke
gerai, dah tak perlu lagi keluar macam dulu. Tak seperti awal tahun
dulu. Aku memang takut nak merokok dalam kedai sebab penguatkuasaan
ketat, pemilik premis pun patuh peraturan.
"Tapi sejak
COVID-19, aku tengok kebanyakan pemilik kedai makan lebih tumpu
pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 daripada larangan
merokok.
"Mask (pelitup muka) dan (bacaan) suhu lagi penting bagi mereka
berbanding isu hisap rokok dalam premis. Kami (geng perokok) pula
apabila tengok pemilik dan pekerja premis macam okay je kami merokok,
tak ada tegur, makin selambalah hisap di meja makan," rakan saya yang
saya kenalkan di sini sebagai Ejumpjawes, 42, berkongsi kisah.
Seperti yang rakan saya beritahu, di banyak tempat termasuk restoran
atau gerai, sudah semakin rancak amalan tidak sihat yakni merokok
kembali menular. Saya sendiri pernah menyaksikannya!
Ada sebabnya
mengapa saya bertanya hal itu kepada rakan saya yang sudah dikenali
ketika menuntut di universiti awam (UA) di Selangor, sekitar 2003. Bapa
kepada lima anak itu, perokok tegar 'mengabdikan' diri selama 25 tahun
dengan produk beracun berkenaan dalam kehidupan sehariannya. Ejumpjawes
biasanya menghabiskan dua kotak atau 40 batang rokok sehari.
Sejak kebelakangan ini, anak kelahiran Selangor ini mula beralih kepada
rokok elektronik, vape, berikutan harga rokok kian mahal, sekali gus
mengurangkan pengambilan rokok konvensional kepada 15 batang rokok
sehari.
"Bukan aku saja merokok dalam kedai makan, ramai
lagi geng perokok lain. Pemilik premis pun tak berani tegur sebab kami
pelanggan tetap dia. Apabila dah jumpa geng, lebih lima batang rokok di
gerai makan dalam masa dua jam pun boleh. Nikmatnya tak terkata.
"Tapi, bukan semua restoran dan gerai yang boleh, ada juga masih ikut
peraturan. Aku pun tengok keadaan juga, kalau ada orang tua, wanita
mengandung, kanak-kanak, aku tak buat tabiat merokok tu," katanya.
Masih lagi mesra seperti dahulu, saya sebenarnya sudah lama tidak
bertanya khabar dengan rakan saya yang bekerja dengan sebuah badan
berkanun di Kuala Lumpur. Kalau tidak silap kali terakhir kami berkongsi
cerita mengenai kerja dan sebagainya adalah sekitar awal 2019.
Kali ini, sengaja saya menghubunginya kerana selain ingin mengetahui
perkembangan terkini kehidupannya, topik rokok tidak ketinggalan menjadi
perbualan kami pada malam itu. Saya sebenarnya ingin tahu sama ada
perokok tegar ini sudah kembali kepada tabiat lama atau masih lagi patuh
dengan peraturan larangan merokok di premis makanan seperti diwartakan
sebelum ini.
Kecewa juga saya apabila mendengar
perkongsiannya. Dia pun seangkatan dengan segelintir perokok lain yang
kelihatannya sudah makin selesa 'menghidupkan kembali' persekitaran
tidak sihat itu. Nampaknya mereka sedikit pun tidak berasa bersalah dan
segan-silu 'mengajak paksa' perokok pasif lain berkongsi sama hembusan
asap penuh beracun itu.
Topik rokok menjadi pilihan untuk
dibualkan memandangkan saya sebelum ini sudah banyak kali berhadapan
dengan senario segelintir perokok degil yang nampaknya sudah mula ambil
ringan dengan pelaksanaan larangan merokok di premis makanan sebaik
kerajaan mula melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sebagai orang bujang, saya tidak nafikan ada masanya suka juga melepak
di mana-mana restoran atau gerai makan seusai habis waktu kerja atau
hari cuti, sekadar untuk merehatkan minda, melihat karakter orang
mahupun keadaan sekeliling bagi mendapatkan bahan idea untuk artikel.
Namun belum pun cukup panas kerusi yang saya duduk itu, agak
menyedihkan apabila bau hembusan asap rokok yang terkandung kira-kira
4,000 bahan kimia beracun itu mula memenuhi ruang udara hingga mampu
merosakkan mood sesiapa sahaja yang tidak merokok.
Saya
masih ingat lagi satu malam ketika balik dari kerja dan menemani rakan
menjamu selera di tepi trak makanan. Belum sempat makanan dipesan sampai
terhidang di atas meja makan, hidung kami sudah pun dijamu dahulu
dengan asap rokok daripada beberapa pelanggan yang turut sama menjamu
selera di situ.
Agak bengang rasanya dan ia betul-betul
menghilangkan selera kami. Saya cuba mengalihkan pandangan ke beberapa
pelanggan lelaki berkenaan dan sebaik menyedari mereka diperhatikan,
rokok yang dihisap itu cuba diisembunyikan. Masing-masing membuat muka
selamba.
Ini antara satu lagi taktik perokok yang saya
dapati sejak kebelakangan ini tidak kisahlah sama ada yang menghisap
rokok konvensional mahupun rokok elektronik. Mereka menyembunyikan vape
atau puntung rokok tersebut di sebalik lengan ataupun bawah meja setelah
mengetahui tindakan tidak sihat itu diperhatikan pelanggan lain.
Cuma persoalannya, apakah mereka tidak nampak atau sengaja buat tidak
nampak akan poster larangan merokok tertera jelas ditampal di setiap
penjuru restoran atau medan selera? Atau apakah mereka termasuklah tuan
pemilik premis makanan dan pekerja mereka sudah lupa akan peraturan yang
termaktub jelas dikuatkuasakan sebelum ini tanpa adanya alasan
pengecualian?
Kerajaan sebelum ini melaksanakan larangan
menghisap rokok dan vape di semua tempat makan di seluruh negara di
bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau
(PPKHT) 2004 pindaan 2018 berkuat kuasa penuh mulai 1 Januari lalu.
Dengan penguatkuasaan itu, mereka yang didapati ingkar dan masih lagi
merokok dalam kawasan larangan akan dikenakan kompaun sebanyak RM250,
namun boleh dikurangkan kepada RM150 jika denda itu dijelaskan dalam
tempoh satu bulan.
Namun, sekiranya masih lagi berdegil
dan terus menghembuskan asap rokok dalam premis makanan, tiada
pengurangan kompaun diberikan bagi kesalahan kedua dan bayaran penuh
kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan. Kompaun lebih tinggi iaitu
sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali
ketiga dan seterusnya.
Pemilik premis pun tidak terkecuali
kerana mereka bertanggungjawab memastikan tempat makan bebas daripada
sebarang bentuk amalan merokok dan sekiranya gagal mematuhinya turut
boleh dikenakan kompaun.
Peraturan ini nyata jelas
dimaklumkan banyak kali sebelum ini malah pendidikan penguatkuasaannya
dijalankan selama setahun sebelum dikuatkuasakan penuh tahun ini. Boleh
dikatakan kebanyakannya faham dan patuh dengan larangan berkenaan.
Gambar hiasan. - Foto NSTP
Malah boleh dilihat ketara ketika awal penguatkuasaan tahun ini,
didapati ramai perokok yang sanggup meninggalkan meja makan dan pergi
sehingga jarak tiga meter untuk melepaskan gian tersebut ataupun sudut
khas disediakan pemilik premis bagi pelanggan mereka merokok.
Namun, baharu sahaja beberapa bulan penguatkuasaan penuh larangan
tersebut dilaksanakan, ruang khas yang saya dapati disediakan oleh
seorang pemilik premis makanan di sebuah restoran di Lembah Klang sudah
tidak ada lagi bahkan perokok begitu senang hati merokok di meja makan
tanpa ditegur sesiapa.
Mungkin ada menyangkakan pelaksanaan
undang-undang itu hanya sementara waktu sahaja atau sekadar
hangat-hangat tahi ayam memandangkan dilihat seolah-olah sudah tidak ada
lagi pemantauan atau penguatkuasaan pihak berwajib mengenai larangan
berkenaan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali
Namun, benarkah begitu? Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi
Ghazali, dipetik berkata kerajaan sebenarnya masih lagi melaksanakan
peraturan larangan merokok di kedai makan dan restoran terbuka termasuk
menggiatkan lagi aspek penguatkuasaannya.
"Penguatkuasaan
ada lagi sampai sekarang, seperti kes COVID-19 kalau dia langgar
(larangan kuarantin) dan kena tangkap baharulah mereka kelam kabut.
Samalah dengan penguatkuasaan larangan merokok," katanya.
Ini bermakna, undang-undang larangan merokok masih lagi ada dan belum
'berkubur' seperti disangka sesetengah pihak dengan alasan kononnya
pengalihan tumpuan pemantauan sudah diberikan penuh kepada isu pematuhan
COVID-19.
Malah, Dr Noor Azmi turut meminta orang ramai
memainkan peranan dengan melaporkan kepada anggota penguat kuasa
Kementerian Kesihatan (KKM) sekiranya melihat ada individu yang
melanggar peraturan terbabit.
Ya, dalam hal ini kerjasama masyarakat adalah sangat penting untuk turut sama menjayakan penguatkuasaan larangan berkenaan.
Seperti pelaksanaan undang-undang lai
n, setiap individu perlu memainkan
peranan masing-masing dan tidak ada seorang pun terkecuali, begitu juga
dengan larangan merokok di mana kita tidak boleh bersandar sepenuhnya
pada bahu pihak berwajib semata-mata.
Lagipun bukannya
sukar. Nampak, terus lapor di mana aduan boleh dikemukakan dengan dua
cara sama ada menerusi panggilan telefon di talian 03-88924530 ataupun
aplikasi WhatsApp/Telegram/pesanan khidmat ringkas (SMS) melalui nombor
010-8608949.
Namun, bagi perokok pula tidak mahukah
menjadikan ini sebagai masa terbaik menghentikan tabiat merokok secara
perlahan-lahan? Apatah lagi, golongan perokok didapati berisiko tinggi
untuk mendapat komplikasi lebih teruk jika dijangkiti COVID-19.
Ini adalah hasil susulan analisis KKM memaklumkan jumlah kematian
akibat COVID-19 terhadap individu merokok lebih tinggi berbanding bukan
perokok, iaitu 17.6 peratus berbanding 12.1 peratus.
Justeru, mengapa tidak golongan perokok ambil peluang semasa pandemik
COVID-19 ini dengan memulakan normal baharu berhenti merokok? Anda mesti
boleh melakukannya!
Apa cerita larangan merokok di tempat awam, restoran?
Reviewed by editorreformis
on
September 09, 2020
Rating: 5
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.
Sebarang kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan sumbangan artikel srta pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :denyutreformasi@gmail.com
Jumlah Paparan Halaman
PERINGATAN : Apa jua yang disiar dalam web/blog ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan web denyutan Reformasi.Kami tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.