https://critoxium.com/shop/

Terkini

‘Bubar UMNO jika Pas mahu tiga negeri’ - Timbalan Presiden UMNO

 


KUALA LUMPUR: Pas boleh membuat sebarang ketetapan dalam Muktamar Tahunannya termasuk isu pengagihan dan jumlah kerusi ditandingi setiap parti namun akan dirunding semula bersama parti lain dalam Muafakat Nasional (MN).

Menjelaskan perkara itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rundingan tersebut penting bagi mewujudkan keseimbangan antara setiap parti sekali gus dapat memastikan kemenangan kesatuan orang Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Tak adillah kalau kita nak serahkan bulat-bulat tiga negeri itu kepada Pas. Kalau macam itu lebih baik bubarkan sahaja UMNO di negeri itu. Dalam hal ini kita mungkin akan tukar kerusi UMNO di tempat lain dengan kerusi Pas di negeri tersebut.

“Bagaimanapun, rundingan tersebut belum sampai di tahap kami dan kita akan bincang dalam rundingan MN. Saya faham itu permintaan mereka, memang tak salah. Tapi di pengakhirannya akan ada jawatan kuasa perunding setiap parti yang memutuskannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, Pemuda Pas meluluskan usul yang dikemukakan agar parti itu bertanding sekurang-kurangnya 50 kerusi Parlimen pada PRU-15.

Usul tersebut dikemukakan Pemuda Pas kawasan Bagan Serai dan kemudian dibuka untuk dibahaskan sebelum dipersetujui sepenuhnya oleh perwakilan Muktamar Pemuda Pas kali ke-61 di Kelantan, baru-baru ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, parti Islam itu turut mendominasi tiga buah ne­geri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah pada pilihan raya umum kali ini.

Mohamad berkata, harapan Pas itu bagaimanapun akan diambil kira ketika rundingan dibuat bersama parti lain dalam MN.

“Itu harapan Pas, tetapi kita belum duduk di meja rundingan tentang isu pembahagian kerusi. UMNO yang dipengerusikan Datuk Seri Ismail Sabri telah memulakan proses rundingan dan jawatan kuasa UMNO sedang meneliti kerusi dalam UMNO sendiri.

“Ia akan dimuktamadkan dengan BN, selepas itu baru kita akan buat rundingan dengan Pas,” katanya.

Pada PRU-14, Pas bersama sekutunya Berjasa dan Ikatan dalam Gagasan Sejahtera bertanding di 160 kawasan Parlimen yang Pas memenangi 18 kerusi Dewan Rakyat. – UTUSAN

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.