https://critoxium.com/shop/

Terkini

Capaian internet lemah, Malaysia di belakang Myanmar

 


KUALA LUMPUR: Walaupun Malaysia bakal menuju ke negara berpendapatan tinggi de­­ngan pelbagai kemudahan bertaraf dunia, tetapi kadar capaian internet dan liputan te­lekomunikasi masih lemah dan terkebelakang berbanding de­ngan negara-negara jiran lain.

Hal ini menunjukkan pelbagai pakej telekomunikasi yang ditawarkan kerajaan kepada rakyat tidak bermakna sekira­nya ia tidak selari dengan kemudahan yang disediakan.

Berdasarkan laporan dalam buletin bulanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) edisi Ogos, bagi jalur lebar mudah alih, Malaysia berada di kedudukan keenam dalam negara ASEAN dengan kelajuan 24.44 Mbps dan tangga ke-85 pada peringkat global.

Untuk purata kelajuan muat turun bagi internet mudah alih, Malaysia berada di belakang Singapura, Thailand, Vietnam, Laos dan Myanmar.

Masalah capaian internet dan telekomunikasi bukan sahaja yang berlaku di Sabah dan Sarawak sahaja, sebaliknya ia turut berlaku di banyak kawasan di Semenanjung.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Farizal Razalli berpendapat liputan dan capaian internet lemah kerana teknologi dalam negara berkembang dengan perlahan.

“Sebenarnya masalah internet lemah mempunyai banyak faktor tetapi dua dimensi besar kita patut lihat adalah liputan dan capaian internet itu yang tidak menyeluruh di seluruh negara.

“Kedua-duanya ada kaitan dengan teknologi di Malaysia yang berkembang perlahan. Sebagai contoh kita boleh meluaskan penggunaan optik fi­ber yang jelas lebih berkesan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia di Ladang UP, Bukit Selambau, Sungai Petani mendapati penduduknya terpaksa memacak ‘menara telekomunikasi’ sendiri dari buluh dan mele­takkan modem tanpa wayar di puncaknya bagi mendapatkan capaian Internet.

Sunga Petani dalam daerah Kuala Muda merupakan antara bandar yang termaju di Kedah.

Farizal berkata, selain me­labur dengan pihak luar bagi dapatkan teknologi, kerajaan boleh membuka langkah jangka panjang iaitu me­nerima dan mempercayai bakat tersedia ada dalam negara.

“Walaupun mempunyai Dasar Langit Terbuka yang merupakan antara dasar awal diambil oleh pemimpin terdahulu tetapi pelaksanaan dasar ini masih lemah kerana negara kita masih mengharapkan peredaran teknologi dari negara luar.

“Bakat muda dalam negara tidak dipupuk sepenuhnya maka pengiktirafan untuk mereka juga kurang selain memperhebatkan usaha ini dengan memberikan bantuan biasiswa kepada mereka yang berpotensi,” ujarnya.

Lebih menyedihkan apabila masih ada kawasan yang tidak mempunyai talian telefon sehingga mereka terpaksa bergegas ke kawasan lain untuk membuat panggilan.

Selain mengetengahkan bakat dalam negara, Dr. Farizal berpendapat kerajaan harus bijak memikirkan penyelesaian selain terus melabur kepada negara luar.

“Negara jiran seperti Si­ngapura dan Thailand sedang bergerak pantas untuk memastikan teknologi mereka seiring dengan negara maju yang lain.

“Kreativiti dan dana mencukupi diperlukan untuk mewujudkan teknologi tanpa bergantung pihak luar.”

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.