https://critoxium.com/shop/

Terkini

Internet satu keperluan utama


 Oleh Borhan Abu Samah 

SAYA tidak terkata apa-apa apabila anak memaklumkan rakannya memperolehi keputusan buruk dalam peperiksaan semester yang baharu berakhir, puncanya rakannya itu sukar belajar secara dalam talian kerana rumahnya yang terletak di Kelantan tidak mempunyai liputan internet.

Sedangkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan hingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan bagi menangani pandemik Covid-19 semua universiti melaksanakan pembelajaran termasuk peperiksaan secara dalam talian sepenuhnya.

Lebih menyedihkan pelajar bidang kejuruteraan itu dari keluarga miskin dan telah menerima surat amaran dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana keputusan peperiksaan di bawah 2.0 agregat, kemungkinan pinjaman pendidikannya akan ditarik. Dan jika itu berlaku kemungkinan besar pelajar semester dua itu tidak akan menyambung pengajiannya.

Itulah keadaan sebenar capaian internet di negara kita dan jangan terkejut jika ada yang terpaksa memanjat pokok, membina menara komunikasi sendiri atau bertenggek di tengah jalan semata-mata untuk mencari isyarat yang lebih baik.

Masalah ini bukan hanya dihadapi mereka di Sabah dan Sarawak sahaja, bahkan di Cyberjaya sendiri liputan internet masih tidak menyeluruh dan sering berlaku gangguan.

Memang agak memalukan dengan keadaan itu dan lebih memalukan lagi negara kita berada di belakang Myanmar yang jauh ketinggalan dari aspek pembangunan dan ekonomi.

Jadi apabila kerajaan melancarkan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi pembangunan secara kolektif oleh pemain industri dan pihak kerajaan melalui sesi Makmal Infrastruktur Digital Negara yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bagi mempertingkatkan tahap kesalinghubungan dan kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi di seluruh negara diharap segera menyelesaikan masalah itu.

JENDELA akan memperluas liputan dan mempertingkat kualiti perkhidmatan jalur lebar melalui inisiatif-inisiatif yang telah dikenal pasti serta mempersiapkan negara ke arah teknologi 5G.

Hanya dengan kerjasama pihak swasta dengan kerajaan, masalah ini dapat diatasi secara tuntas dan meletakkan kembali pembangunan jaringan komunikasi dilandasan yang betul.

Dalam keadaan sekarang kemudahan internet adalah satu keperluan utama dan ia sangat mendesak.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.