https://critoxium.com/shop/

Terkini

Realisasi Bangsa Malaysia rai perbezaan kaum


Oleh Muhammad Ariff Asyrul Adnan 

  TARIKH 31 Ogos 1957 sentiasa terpahat dalam ingatan rakyat Malaysia. Tanah Melayu dibebaskan daripada cengkaman kolonial British selepas dijajah hampir 500 tahun dengan beberapa siri kedatangan penjajah bermula Portugis, Belanda, British dan kependudukan Jepun sebelum kembali kepada British.

Justeru, proses kemerdekaan Tanah Melayu perlu dikenang. Semangat penentangan penjajahan dibangkitkan pejuang seperti Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Dol Said dan Mat Salleh wajar diamati.

Warisan ini berlangsung dengan perjuangan di Tanah Melayu apabila wujudnya UMNO bersama-sama kumpulan nasionalisme lain untuk menuntut kemerdekaan daripada British selepas kekalahan Jepun. UMNO dilihat begitu dekat dengan orang Melayu khususnya sewaktu kewujudan Malayan Union.

Mungkin pendekatan UMNO ketika itu agak lunak dan selari dengan keinginan orang Melayu. Justeru, UMNO berjaya memimpin rakyat mencapai kemerdekaan melalui rundingan dengan kolonial British.

Lima tahun selepas merdeka, cadangan penubuhan Malaysia diusulkan dengan kemasukan Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei bergabung dengan Tanah Melayu. Namun, atas beberapa faktor Brunei tidak bersetuju.

Tarikh 16 September 1963, Persekutuan Tanah Melayu dibentuk secara rasmi setelah melalui fasa, konfrontasi Indonesia dan Filipina yang menuntut kepulauan Borneo atas faktor geopolitik dan pensejarahan.

Lahirlah Malaysia sebagai negara merdeka dan berdaulat di mata dunia. Pascakemerdekaan dan pembentukan Malaysia turut menitipkan beberapa peristiwa penting negara seperti ancaman gerakan komunisme, rusuhan kaum 13 Mei 1969 dan pembentukan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang signifikan dengan pembangunan hari ini.

Apa yang ada kini ialah cetusan gagasan dan visi masa depan cita-cita kebangsaan diperkenalkan pemimpin terdahulu sebagai memenuhi aspirasi dituntut rakyat.

Cita-cita kebangsaan ini diberikan penekanan dengan beberapa perkara ditumpukan meliputi soal integrasi nasional membawa kepada pelaksanaan Rukun Negara dan memperkenalkan Wawasan 2020 sebagai usaha membawa Malaysia melangkah ke hadapan mendepani cabaran gelombang mega yang semakin melingkari masyarakat global.

Ini termasuk pembentukan negara bangsa, melahirkan masyarakat Malaysia bebas yang kukuh dari segi moral, bersifat demokratik, progresif, adil, matang dan makmur serta dinamis. Elemen ini diwujudkan sebagai usaha melahirkan 'Bangsa Malaysia' yang menjadi nadi kelangsungan masa depan negara.

Tahun ini, genap 62 tahun kita mencapai kemerdekaan. Walaupun Wawasan 2020 sebenarnya bukan sebuah dasar rasmi negara, namun ia dilihat sebagai pendekatan komprehensif dan menyeluruh merangkumi soal ekonomi, politik, psikologi dan sosial.

Sungguhpun cita-cita kebangsaan murni ini menekankan soal pendekatan komprehensif, ia masih tidak dapat mengelak berhadapan fenomena yang sentiasa wujud bagi negara bekas jajahan yakni fenomena 'watak tertawan.'

Sejak 1970-an, fenomena ini dikenal pasti Allahyarham Dr Syed Hussein al-Attas sebagai sesuatu yang ditinggalkan penjajah dalam usaha mengekalkan penguasaan epistemologi dalam negara bekas jajahan mereka. Fenomena ini masih berterusan wujud meskipun sudah lama kita merdeka.

Penerapan elemen mitos dalam mengekang kemaraan perkembangan wacana kearifan tempatan menjadi agenda utama kolonial British ketika dijajah masih lagi berbekas dalam masyarakat moden Malaysia.

Kita tidak menafikan sumbangan besar pemikir kolonial dalam menyumbang kepada pembangunan, namun dengan wujudnya kumpulan watak tertawan ini, aktiviti penafsiran sejarah bersifat tiada penilaian kritis menyukarkan proses merealisasikan cita-cita kebangsaan di Malaysia.

Kita tidak boleh menyalahkan legasi kolonial semata-mata, bahkan sifat rakyat yang masih mempunyai sisi kekaguman pada warisan kolonial antara punca merencatkan proses ini. Mungkin kerana kita masih ingin bergantung kepada korpus kolonial khususnya dari Barat mencetuskan fenomena ini.

Walaupun Wawasan 2020 diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat seakan tidak tercapai, cita-cita ini murni yang kemudian diteruskan dengan pelaksanaan program 1Malaysia sebagai slogan keharmonian kaum oleh Datuk Seri Najib Razak.

Begitu juga Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) yang menumpukan soal pembangunan keterangkuman antara semua kaum diperkenalkan ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH). Kini turut menjadi agenda utama pemerintahan di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8 yang semakin meningkat populariti selepas kemampuan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengurus dan mengawal gelombang COVID-19.

Dalam memenuhi cita-cita kebangsaan, perkara paling asasi harus kita hadapi ialah cabaran melahirkan 'Bangsa Malaysia' bersatu padu dan mempunyai keperibadian tersendiri.

Ini cabaran utama yang masih lagi gagal direalisasikan. Isu perkauman masih hangat dibicarakan dan dijadikan tumpuan utama di ruang awam, sekali gus menyukarkan untuk memastikan kelangsungan kaum di negara ini.

Bagaimanapun, soal perkauman ini masih dalam ruang 'ketegangan stabil' menjadikan usaha merealisasikan cita-cita kebangsaan yang digubal lama masih mampu dijayakan.

Walaupun Malaysia melalui beberapa fasa pertukaran rejim, ia masih kekal sebagai cita-cita kebangsaan bagi masyarakat Malaysia mendepani cabaran pada peringkat global dan tempatan dan asas didirikan pembentukan 'Nasionalisme Malaysia' yang hasilnya melahirkan bangsa yang paksinya atas inti masyarakat majmuk.

Sekiranya kita berjaya merencanakan faham 'bangsa idaman' ini, nescaya ia akan menjadi kayu ukur komprehensif bagi negara lain yang latar masyarakatnya bersifat majmuk juga.

Seruan pemerintah perlu disambut dengan baik seandainya membabitkan kelangsungan negara kita pada masa depan. Ditambah keadaan masyarakat yang berhadapan perkembangan pandemik global yang merencatkan banyak aktiviti khususnya ekonomi.

Dalam melawan pandemik ini, jika kita memahami visi masa depan cita-cita kebangsaan dibentuk sebelum ini, kita mampu menukarkan musibah menjadi muhibah. Untungnya, kita mampu melahirkan 'Bangsa Malaysia' sebagai bangsa idaman.

Kata tokoh sosiologi politik Malaysia, Allahyarham Dr Rustam Sani yang begitu mengidamkan kejayaan merealisasikan konsep itu: "Bangsa Malaysia bukanlah sesuatu yang cuba menghilangkan identiti etnik, bahkan ia adalah satu cara meraikan perbezaan dan menghargai persamaan kaum di Malaysia."

Jika kita berjaya, kita akan melahirkan 'Bangsa Malaysia' yang memahami kepentingan keharmonian kaum, masyarakat kita akan lebih bersifat demokratik dan progresif dalam meraikan pandangan dan perbezaan.

Begitu juga pengukuhan negara bangsa dan masyarakat industri maju juga akan terbentuk serta bangsa dilahirkan itu mampu menguasai peradaban moden terutama sains dan teknologi dengan adunan asasnya mengikut kerangka kebudayaan yang ada di Malaysia.

Penulis adalah Pensyarah Sains Politik di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Raub

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.