https://critoxium.com/shop/

Terkini

Seni muzik jalanan dan persepsi

Oleh

“BUSKING di mana, dik?” tanya seorang makcik usia awal 60-an tatkala melihat saya berjalan sambil menyandang gitar di bahu ketika sampai di stesen LRT Setiawangsa.

“Saya bukan busker," jawab saya yang malas melayan soalan-soalan remeh yang tak perlukan jawapan pun sebenarnya.

“Oh, ingatkan busker," kata makcik itu lalu berlalu pergi.

Bayangkan seorang makcik usia 60-an pun sudah tahu apa itu “busking”. Kalau 13 tahun dulu, apabila saya sandang gitar dengan gaya yang sama, soalan mereka, “Nak memancing di mana tu?”

Begitulah bezanya persepsi dan pandangan masyarakat terhadap golongan pemuzik jalanan atau busker dulu dan sekarang. Mengusung gitar tong hari ini trend atau fesyen rugged yang disukai anak-anak muda zaman ini.

Busker gelaran dalam Bahasa Inggeris untuk pemuzik yang bermain muzik di jalanan. Sampaikan pemuzik buta pun dah pandai sebut busker, kalau dulu masyarakat menggelar pemuzik OKU (orang kurang upaya) ini dengan gelaran “pemuzik orang buta” yang tidaklah glamor seperti hari ini.

Perkembangan seni muzik jalanan ini sebenarnya sudah bermula sejak penghujung 1970-an. Pelopornya dR Sam, penyanyi berkonsep reggae yang popular dengan lagu Saya Anak Malaysia pada 1980-an dulu.

Cuma kalau di Indonesia budaya busking atau disebut “pengamen” ini sudah bermula sejak 1960-an lagi. Penyanyi folk legenda kelahiran Surabaya , Gombloh memulakan karier muziknya sebagai pengamen pada 1960-an sebelum menubuhkan kumpulan muziknya Lemon Trees pada 1969.

Begitu juga dengan penyanyi folk legenda mereka Iwan Fals, yang juga bermula sebagai pengamen sebelum menjadi kaya dan popular sebagai penyanyi yang bertaraf legenda sehinggalah ke hari ini.

Kalau di Malaysia, lokasi busking yang paling diingati pada hujung 1970-an terletak di sekitar Wisma Yakin, Jalan Masjid India. Apabila Pasar Seni mula dibuka pada pertengahan 1985, di situlah lahir ramai pemuzik jalanan antara yang terawal seperti arwah Sidek, Adi Jagat dan Wahid.

Manakala dR Sam pula pada 1980-an sudah bergelar artis rakaman dan berhenti daripada aktiviti buskingnya.

Pada waktu itu juga sekelompok penggiat seni jalanan seperti Pyanhabib, Sani Sudin, Khalid Salleh dan kawan-kawan sering bersajak di bawah tiang lampu di belakang bangunan Pasar Seni. Itu kita kata “performance art” yang juga dalam kategori seni jalanan.

Daripada segi penerimaan masyarakat dan badan-badan kerajaan mahupun NGO pada 1980-an sehinggalah 30 tahun kemudian, boleh dikatakan peratusnya lebih ke arah negatif belaka.

Busker waktu itu digambarkan sebagai penagih dadah dengan pakaian selekeh yang tidak terurus dan tidak ramai pun anak muda pada waktu itu yang berminat menceburi dunia busking, sebagai aktiviti sampingan apatah menjadikan ia sebagai satu kerjaya.

Proses permulaan dari segi penerimaan itu bermula pada pertengahan 2005, ketika saya dan kawan-kawan pernah dijemput membuat persembahan muzik santai di Putrajaya di hadapan perdana menteri waktu itu, Abdullah Ahmad Badawi.

Proses evolusinya berterusan secara perlahan sehinggalah tujuh tahun kemudiannya busker semakin diterima, sampailah ke hari ini, budaya muzik jalanan bukanlah suatu yang asing dalam kalangan masyarakat kita.

Bahkan sokongan pihak kerajaan yang mewakili DBKL juga persatuan Karyawan itu jelas, dengan memperkenalkan sistem permit pada 2013 bagi anak muda yang berminat untuk menceburi bidang busking.

Juga pada tahun itu sudah wujud persatuan busker, Persatuan Penghibur Jalanan Malaysia (MYBC) yang menguruskan hal ehwal dan hala tuju para pemuzik jalanan ke arah yang lebih tersusun dan dihormati.

Hari ini, busking bukanlah suatu yang asing dalam kalangan masyarakat kita. Di mana-mana ada busker. Di kompleks beli belah Sogo, KLCC, Bukit Bintang dan di stesen-stesen LRT juga di kompleks beli-belah sekitar Lembah Klang, juga seluruh Malaysia, kita boleh menderma sambil menonton persembahan muzik jalanan daripada para busker.

Menurut Wady Hamdan, selaku presiden MYBC, terdapat kira-kira 11,000 busker di seluruh Malaysia pada 2016.

Terbaru, pada 25-26hb November, 2017 akan datang, buat julung kalinya akan berlangsung acara “Non Stop Busking” di Balai Seni Lukis Negara.

Acara yang akan berlangsung tanpa henti selama 34 jam ini akan melibatkan seramai 68 peserta yang melibatkan acara seni jalanan seperti baca sajak, badut, persembahan muzik dan sebagainya.

Program tersebut juga akan dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records sebagai acara persembahan seni jalanan secara “live” paling lama berlangsung di Malaysia.

Wady berkata program yang dianjurkan turut mendapat kerjasama yang penuh daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Program ini juga katanya tanda sokongan golongan busker kepada kerajaan yang menyokong penuh budaya busking sehingga berjaya mencapai tahap yang membanggakan.

Saya suka melihat dari sudut persepsi masyarakat tentang golongan busker hari ini. Intinya sokongan kerajaan, sebab kalau kerajaan positif, secara tidak langsungnya persepsi masyarakat juga positif. –


* Meor Yusof Aziddin ialah seorang pemuzik, penyanyi folk yang telah menghasilkan 10 album antara 2001 dan 2013, juga penulis buku bertema kehidupan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.