Sejauh manakah anda bersetuju dengan kenyataan-kenyataan berikut:
A: Malaysia adalah Tanah Melayu dan orang Melayu adalah tuan dan pemilik sebenar.
B: Malaysia adalah milik semua warganegara yang sah tidak kira dari Semenanjung, Sabah atau Sarawak.
Soalan-soalan sebegini diajukan dalam satu soal selidik untuk mengukur sejauh manakah sifat keterangkuman masyarakat Melayu.
(Soal
selidik ini dijalankan dari 1 Oktober hingga 24 Disember 2018, oleh Dr
Wong Chin Huat dari Penang Institute dan Ilham Centre.)
Andaiannya,
responden yang bersetuju dengan kenyataan A menuntut dominasi eksklusif
Melayu ke atas Malaysia, manakala responden yang bersetuju dengan
kenyataan B mengiktiraf Malaysia sebagai negara multietnik yang dikongsi
bersama.
Wong Chin Huat
Secara
logiknya, kenyataan A dan B membawa maksud yang saling bercanggah, maka
responden yang bersetuju dengan A, akan menolak B; begitu juga dengan
sebaliknya.
Namun, hasilnya menyanggah andaian sebegini. Daripada
2,614 orang responden Melayu-Muslim yang ditemu bual, 90% (dengan
wajaran) bersetuju dengan A; sementara 81% daripada responden yang sama,
bersetuju dengan B. Dengan kata lain, lebih dua pertiga responden
bersetuju dengan kedua-dua A dan B.
Mujur institusi kaji selidik
yang terbabit bersikap jujur untuk membentangkan kedua-dua hasil
dapatannya, lantas memberi gambaran yang lebih menyeluruh untuk
ditafsirkan. Cuma kita kurang pasti, dari sudut mana media memfokuskan
kameranya.
Persepsi yang dibentuk media
Bayangkan,
seandainya media yang membuat liputan pembentangan kaji selidik ini
menonjolkan “90% Melayu mendakwa Malaysia dimiliki Melayu” sebagai tajuk
beritanya, sudah tentu ia membentuk satu persepsi bahawa Melayu tidak
bersedia untuk berkongsi tanah air ini dengan etnik lain. Tetapi,
jikalau media menonjolkan “81% Melayu bersetuju Malaysia milik semua
rakyat Malaysia”, suasananya akan berbeza.
Ringkasnya, data
daripada kaji selidik yang sama, boleh dimanipulasikan untuk membentuk
persepsi yang berbeza. Persoalannya, tajuk berita manakah yang lebih
sensasi untuk menggoda “klik” netizen, tatkala “klik” menjadi antara
kayu ukur untuk menentukan harga ruangan iklan di medianya? Atau,
seandainya satu eksperimen dijalankan, dengan dua kandungan berita yang
sama dibubuhkan tajuk yang berbeza seperti di atas, manakah yang lebih
luas ditularkan di media sosial?
Kita semua dapat menjangkakan
jawapannya, barangkali juga kesannya. Berita dengan tajuk “90% Melayu
menuntut hak milik tanah air Malaysia untuk Melayu”, akan ditularkan
seluas-luasnya, dalam kalangan Melayu dan bukan Melayu. Masyarakat bukan
Melayu akan melontarkan “tuduhan rasis” semarah-marahnya, disusuli
dengan keluhan sehampa-hampanya. Melayu yang dituduh rasis akan
melenting, kerana asalnya dua pertiga daripadanya (jikalau mengikut
angka kaji selidik tersebut) bersedia untuk berkongsi tanah air ini
bersama etnik lain, tetapi kini mereka dituduh sebagai “rasis”. Akhirnya
mereka ditolak beransur-ansur ke arah menjadi rasis.
Gambar hiasan
Sentimen
negatif berlegar-legar, sedangkan suasana masyarakat akan berbeza
seandainya kita memilih “81% Melayu bersetuju Malaysia dimiliki semua
rakyat bersama” sebagai tajuknya. Apapun, cabaran media bukan untuk
memilih antara persepsi positif dengan negatif yang ingin dibentuk,
tetapi bagaimana untuk menggambarkan realiti kepada pembacanya. Kita
tidak mahu sentimen perkauman diapi-apikan untuk mencetuskan syak
wasangka dalam kalangan rakyat; pada masa yang sama, kita juga tidak
harus mewujudkan suasana “feel good” yang direka-reka, menafikan kegusaran yang sememangnya sedang membara dalam masyarakat kita.
Bagaimana pilihan manusia dipengaruhi?
Jadi,
apakah gambaran yang paling dekat dengan realiti? Menurut
penyelidiknya, Dr Wong Chin Huat, bacaan kita mungkin lebih tepat
seandainya mengambil 10% yang menolak A, dan 19% yang menolak B, dengan
mengambil kira faktor psikologi manusia yang lebih mudah untuk
mengiyakan daripada menidakkan. Pegangan atau kepercayaan seseorang itu
memacu sedikit momentum agar dirinya menongkah arus untuk menyatakan
bantahannya.
Saya bersetuju dengan tafsiran Dr Wong Chin Huat, dan
ingin memanjangkan sedikit perbincangan daripada itu. Kebanyakan
masanya, manusia tidak berpendirian, dan malas untuk membuat keputusan –
dari hal yang remeh-temeh, hinggalah isu yang berat dan rumit.
Contohnya, kita tidak tahu apa untuk dimakan, tetapi seandainya
kebetulan dihulurkan voucher diskaun 25% untuk KFC, dan voucher diskaun 40% untuk Mekdi pada masa yang sama, maka kebanyakan kita akan berakhir di Mekdi.
Dalam
kes ini, apakah pengguna telah membuat keputusannya sendiri? Ya, tetapi
keputusannya dipengaruhi. Malah pengguna mengambil jalan mudah, membuat
pertimbangan berdasarkan nilai wang ringgit, dengan andaian bahawa
potongan 40% lebih berbaloi berbanding potongan 25%. Itu pun belum
dikira apakah kita benar membayar lebih murah di Mekdi kerana harga
asalnya perlu dijadikan pertimbangan. Jauh lagi soal kerangupan, juga
nilai khasiat ayam goreng yang dihidangkan.
Biar kita lanjutkan dengan kes yang sedikit lebih rumit. Pernah majalah The Economist menawarkan pakej-pakej langganan tahunannya seperti berikut:
A. Edisi digital – AS$59/tahun B. Edisi cetakan – AS$125/tahun C. Edisi digital+cetakan – AS$125/tahun
Seorang
pensyarah menghidu sesuatu di sebalik iklan ini, lalu mengambil
keputusan untuk menjalankan satu eksperimen dalam kalangan 100 orang
penuntutnya. Hasilnya, majoriti memilih pakej C, dan tiada yang memilih
pakej B. Seterusnya pensyarah itu menyingkirkan pakej B, untuk dipilih
penuntutnya hanya antara pakej A dengan C. Kali ini, pakej A menjadi
pilihan majoriti, menewaskan C.
Jelas, pakej B sebenarnya tidak
ditawarkan untuk pilihan, tetapi untuk mempengaruhi pengguna supaya
memilih pakej C. Pengguna tidak tahu apakah pilihan asalnya, dan hanya
mampu memilih melalui perbandingan. Di sini pengiklan mengambil
kesempatan untuk mempengaruhi keputusan pengguna dengan menyelitkan
pakej B.
Seandainya ini yang dinamakan psikologi ekonomi,
barangkali kita perlu bertanya, apakah wujud perilaku yang mirip, yang
boleh dibaca sebagai “psikologi politik”?
“Psikologi politik”
Pernahkah
kita terfikir, bahawa seandainya kita diberi pilihan, antara Dr
Dzulkefly Ahmad (Amanah) dengan Dr Adham Baba (Umno), siapakah yang
lebih kita yakin akan kelayakannya sebagai menteri kesihatan? Antara
Bersatu dengan PKR, parti manakah yang lebih kita yakin untuk mentadbir,
jikalau dibariskan Mohd Redzuan Md Yusof, Rina Harun, Mohd Radzi Md
Jidin dan sekutunya, untuk dibandingkan dengan Saifuddin Nasution,
Fuziah Salleh, Lee Boon Chye dan sekutunya?
Seandainya dinilai
hanya berdasarkan prestasi, barangkali Dr Dzulkefly Ahmad jauh
mendahului; begitu juga dengan PKR dalam perbandingannya dengan Bersatu.
Namun demikian, jikalau dinilai dari segi persepsi, sudah tentu Dr
Dzukefly Ahmad jauh ketinggalan berbanding Dr.Adham Baba, apabila parti
yang diwakilinya diambil kira. Malah, dalam babak perbandingan antara
parti politik, rakan sekutunya akan diambil kira sebelum dibuat
keputusan.
Pernahkah kita terfikir, bahawa mungkin pakej B politik
diselitkan, untuk mempengaruhi keputusan kita? Misalnya, kita diberi
pilihan:
A. Umno (sekutu PAS) B. DAP (sekutu Amanah) C. Amanah (sekutu DAP)
Atau, voucher politik dihulurkan untuk mempengaruhi pilihan kita? Contohnya, kita diberi pilihan:
A. Bersatu (dalam Muafakat Nasional dengan 100% Melayu)
B. PKR (dalam Pakatan Harapan dengan 35% Melayu)
Barangkali
kurang jitu dibandingkan sebegitu, lantaran sistem politik yang
menuntut agar kita mengambil kira faktor parti calon dan gabungannya.
Namun demikian, persoalan yang ingin diketengahkan adalah, apakah kita
cukup peka dengan elemen yang cuba digunakan untuk mempengaruhi
keputusan kita, sama ada dalam bentuk pakej B, mahupun voucher,
sehingga kita mengetepikan pertimbangan faktor kecekapan, idealisme,
integriti, keberkesanan, ketelusan dan sebagainya, yang ditampilkan oleh
calon dan parti?
Dan seandainya kita memahami taktik-taktik
sebegini, apakah kita akan terkejut apabila faktor DAP diperbesarkan,
dan sentimen perkauman dibakar sewenang-wenangnya? Jadi, tepuk dada
tanya selera, apakah pilihan kita benar-benar pilihan kita?
LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).
Pilihan kita bukan pilihan kita
Reviewed by editorreformis
on
September 02, 2020
Rating: 5
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.
Oleh Johari Yap KARYA telefilem Pok Ya Cong Codei masih hangat dibica-rakan di media sosial sejak ditayangkan pada penghujung Januari ya...
Bicara Islam
Comments
Recent Comments:
Recent Posts
Email
Teknologi
Wawancara
Notis
Sebarang kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan sumbangan artikel srta pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :denyutreformasi@gmail.com
Jumlah Paparan Halaman
PERINGATAN : Apa jua yang disiar dalam web/blog ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan web denyutan Reformasi.Kami tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.