AirAsia catat penurunan 85 peratus jumlah penumpang pada suku ketiga 2020
KUALA LUMPUR: Jumlah penumpang AirAsia Group Bhd (AirAsia) susut sebanyak 85 peratus kepada 1.91 juta pada suku ketiga 2020 daripada 13 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Di sebalik pandemik
COVID-19, faktor muatan AirAsia berkurangan sebanyak 18 mata peratusan
(ppts) tahun ke tahun kepada 66 peratus, kata syarikat penerbangan
tambang murah itu dalam satu kenyataan semalam.
Bagi
tempoh bulanan, metrik operasi utamanya meningkat pada bulan September
berbanding Julai dengan mencatatkan jumlah penumpang yang lebih tinggi
dalam operasinya di Malaysia, India dan Thailand, ia meningkat
masing-masing sebanyak 36 peratus, 79 peratus dan 65 peratus.
Ia berkata faktor muatan untuk kumpulan itu meningkat 7.0 ppts pada bulan September berbanding bulan Julai.
"Peningkatan
ini menunjukan trend kenaikan yang kukuh untuk permintaan bagi
perjalanan udara di pasaran utama untuk kumpulan tersebut," katanya.
AirAsia
Malaysia beroperasi pada tahap 52 peratus daripada kapasiti domestiknya
pada bulan September berbanding 40 peratus pada Julai kerana permintaan
perjalanan telah berada pada trajektori menaik sejak suku kedua
berikutan kelonggaran terhadap perjalanan antara negeri.
AirAsia Malaysia mencapai faktor muatan sebanyak 68 peratus dengan mencatat hampir 1.8 juta penumpang pada suku tersebut.
Walaupun
kapasiti telah dikurangkan pada bulan Oktober susulan daripada Perintah
Kawalan Pergerakan (PKPB) yang dilaksanakan kerajaan, AirAsia sedang
berusaha untuk pulih kepada tahap 60 peratus pada suku keempat sama
seperti tempoh sebelum penularan COVID-19 dalam kapasiti domestik.
Faktor
muatan AirAsia Indonesia turun sebanyak 36 ppts kepada 49 peratus pada
suku ketiga 2020 manakala AirAsia Filipina beroperasi pada tahap hanya
lima peratus sahaja daripada kapasiti tahun lepas pada suku yang dikaji.
-- BERNAMA
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.