https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kebebasan bersuara bukan lesen menghina agama


Oleh MUHAMMAD HAFIZ BIN MOHD BABA 

Dunia Islam dikejutkan dengan tindakan biadap Presiden Perancis Emmanuel Macron Yang menyifatkan Islam sebagai sebuah agama krisis serta mempertahankan tindakan menyiar karikatur dan gambaran Rasulullah di negaranya.

Kenyataan ini dibuat susulan insiden seorang guru telah dipenggal kepalanya ekoran tindakan provokatif menyiarkan gambaran Rasulullah dengan alasan kebebasan untuk bersuara.

Saya jelaskan dan mengambil pendirian saya bahawa tindakan remaja tersebut adalah salah dan perlaksanaan hukuman tersebut tidak boleh dibuat oleh orang persendirian, ia memerlukan badan berautoriti atau pihak kerajaan bagi mengadili dan melaksanakan hukuman tersebut.

Walaubagaimanapun, tindakan menyiar gambaran dan karikatur yang didakwa sebagai Rasulullah merupakan suatu perkara yang dilarang oleh Islam. Perkara ini melibatkan hak dalam pengamalan agama dan seharusnya kebebasan bersuara tidak digunakan dalam menjustifikasikan tindakan menghina sesuatu agama.

Ini bukan kebebasan bersuara sekiranya mereka yang menghina sahaja diberi hak dan pihak yang dihina pula yang dikenakan tindakan.

Keterlanjuran ini sememangnya mengundang perasaan marah umat Islam, bukan di Perancis sahaja bahkan di seluruh dunia. Islam merupakan agama yang menjamin keselamatan dan keharmonian kepada penganut dan orang disekitarnya. Namun kegagalan menghormati Baginda Rasulullah merupakan suatu perkara yang menyakitkan hati umat Islam.

Bagaimana seorang anak boleh diam melihat pelindungnya diseksa dan dibuli, begitulah juga umat Islam terasa dengan tindakan menghina Rasulullah yang dibuat sebagai langkah provokasi pihak berkepentingan kononnya bagi kebebasan bersuara.

Tindakan anak muda tersebut salah dan tidak menepati tuntutan syariat di mana hukuman dijatuhkan dan dijalankan oleh pihak berkuasa bukanlah orang perseorangan. Namun tindakan mereka yang sengaja menghina Rasulullah dan Islam merupakan suatu perkara yang tidak dapat dilupakan.

Bertambah pedih apabila Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan guru tersebut sebagai suatu tindakan “hero” serta diangkat sebagai pejuang kebebasan bersuara amat jelik dan menghina Islam.

Inilah manifestasi ‘keterbabasan’ barat dalam gelap bayang mereka sendiri. Negara yang kononnya menjulang semangat kebebasan bersuara tersebut jugalah yang menyekat kaum wanita Islam daripada berpurdah atau bertudung. Masjid dan pusat ibadah diperhatikan dan diserbu pihak berkuasa, badan kebajikan Islam disekat dan diperhatikan.

Bagaimana negera yang sangat “tersekat” sebegini boleh berasa bangga dengan laungan pejuang kebebasan bersuara itu? Sungguh benarlah kata-kata Presiden Turki bahawa Macron sakit otaknya dan perlu dirawat.

Macron si hati tisu

Sebagai umat Islam yang pastinya mengharapkan syafaat Baginda Rasulullah di akhirat kelak, antara yang boleh kita lakukan ialah memboikot produk Perancis yang terdapat di pasaran tempatan.

Desakan ekonomi ini mestilah dibuat sekurangnya sebagai tekanan kepada Macron yang negaranya teruk dibadai Covid-19, dengan kumulatif kematian menjangkau 30 ribu.

PMIUM juga mendesak Macron memohon maaf atas keterlanjuran dalam ucapannya yang menyifatkan Islam sebagai agama krisis dan menjamin keamanan kepada umat Islam di sana.

Minta maaf atau berhadapan dengan kemarahan umat Islam.
———————
Penulis adalah Naib Presiden 2, Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMIUM)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.