https://critoxium.com/shop/

Terkini

Muhyiddin punca segala kekalutan politik negara


Selepas pengumuman keputusan Umno meletakkan syarat ke atas kerjasama dengan PN, jelas Bersatu melalui presidennya, Muhyiddin Yassin lemah dan wujud hanya atas belas kasihan Umno.

Bersatu akan dijadikan kuda tunggangan kleptokrat dan terpaksa menuruti kehendak Umno untuk terus kekal berkuasa.

Keengganan Muhyiddin akan berakhir dengan kehilangan sokongan. Betapa kasihan dan hinanya kewujudan parti Melayu yang satu ini.

Ada kemungkinan langkah Zahid Hamidi hanya bertujuan menggertak Muhyiddin supaya menuruti kehendaknya.

Namun Zahid bersedia meneruskan ancaman beliau dengan bekerjasama dengan PKR jika keadaan memaksa.

Umno dan DAP bersaudara?

Ada yang berpendapat, jika benar Umno (atau sebahagian mereka - hanya perlu dua atau tiga anggota parlimen untuk PN tumbang) meneruskan hasrat tidak lagi menyokong PN, DAP dan Amanah berkemungkinan tidak akan menerima sebarang tawaran menjadi sebahagian kabinet Anwar Ibrahim.

Umno seterusnya masih dapat menjaja mereka tidak bekerjasama dengan DAP. Dan ini akan menenangkan perasaan ahli-ahli mereka.

Pilihan lain adalah Umno menyokong Anwar tanpa perlu dimasukkan ke dalam kabinet.

Ini akan melemahkan struktur dan menterhadkan kuasa Bersatu yang sebelum ini digunakan ke atas Umno untuk melemahkan mereka.

Bersatu tanpa kuasa

Bersatu sebagai parti yang terkenal dengan pengkhianatannya akan kehilangan leveraj.

Tanpa leveraj ini, Umno tidak perlu menuruti kehendak mereka serta boleh mengolah naratif baharu. Umno-lah 'abang besar' sebenar.

Muhyiddin akan terpaksa menerima "norma baharu" tersebut jika mahu partinya hidup dan PAS yang selama ini bermain dua tiga kolam akan kembali semula menjadi pengikut yang baik.

Akibat langsung, perbincangan tentang agihan kerusi dan pilihan perdana menteri akan menjadi lebih mudah dan cenderung berpihak kepada Umno.

Umno tidak akan rugi apa-apa, mereka mempunyai sokongan asas pengundi setia yang kuat, yang selama ini pun diambil kesempatan oleh Bersatu.

Hal yang sama bagi PKR yang mahu pengaruh Mahathir Mohamad dihapuskan.

Apabila tiba PRU15 kelak, Umno dan PKR boleh ikut haluan masing-masing kembali.

Langkah mengkonsolidasi kuasa dua parti, yang secara tradisinya adalah lawan, dapat direalisasikan.

Falasi 'Melayu bersatu'

Apa-apa retorik "Melayu harus bersatu" adalah falasi, idea utopia yang digunakan untuk meraih sokongan Melayu yang sebelumnya ditakutkan - kononnya orang Cina secara pukal akan menguasai negara lantas mengancam survival mereka sebagai tuan tanah.

Maufakat Nasional (MN) yang digagaskan Umno/PAS adalah ‘produk' keluaran baru kedua-parti politik tersebut dalam usaha memenangi pilihan raya dan mengembalikan keyakinan orang Melayu.

Hakikatnya, kerjasama ini amat longgar dan hanya sekuat kuasa atau wang yang boleh diagihkan sesama mereka.

Begitu jugalah halnya dalam PN mahupun GRS.

DAP "DAP akan menghancurkan orang Melayu" untuk menghalalkan pengkhianatan parti beliau juga hanya fabrikasi.

Fabrikasi yang ampuh dalam menakutkan orang Melayu dan akan terus digunakan ke atas bangsa tersebut selagi mereka membenarkan parti-parti politik memanipulasi mereka sedemikian rupa.

Wayang

Semua ini telah dijangka oleh Mahathir lebih awal. Beliau menyebut tentang sokongan Umno yang bersyarat.

Hari ini dakwaan tersebut dibuktikan sahih melalui kenyataan media Biro Politik Majlis Tertinggi Umno yang dibacakan oleh Ahmad Maslan.

Ia juga menunjukkan Anwar bergelut untuk mengumpul sokongan tapi pengikutnya sering menyalahkan Mahathir sebagai punca beliau gagal menjadi PM.

Tambahan lagi, ia membuktikan yang paling kuat berpolitik adalah Muhyiddin melalui proksi beliau Hamzah Zainuddin.

Walaupun Muhyiddin sering menafikannya atau cuba mencermin dirinya sebagai PM yang "bekerja" melalui kaedah public relations serta kawalan media yang ekstensif, beliau merupakan punca segala kekalutan politik.

Walau apa pun, ini semua kekal hanya spekulasi.

Spekulasi ini akan ditentukan melalui kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Sekali lagi kerajaan pimpinan ‘Abah’ akan diuji keabsahannya. Jika berjaya Anwar atau mana-mana calon PM lain, merasalah Abah ubatnya sendiri (a taste of his own medicine).


NIK FATHURAHMAN NIK RASLI ialah bekas ketua penerangan Armada Selangor.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.