https://critoxium.com/shop/

Terkini

PKR terbuka kerjasama dengan mana-mana parti politik, kata Anwar


KUALA LUMPUR, Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedia bekerjasama dengan mana-mana ahli politik yang mahukan sebuah sistem bebas daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta mengangkat politik nilai.

Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata parti itu akan terus memperjuangkan agenda reformasi berpaksikan prinsip keadilan dan kesejahteraan untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Bersabit dengan Belanjawan 2021, ia harus menggembleng usaha dan peranan kedua-dua pihak (bipartisan) iaitu kerajaan dan pembangkang dalam merencana strategi yang ampuh bagi menangani pandemik Covid-19, pengangguran dan masalah kemiskinan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata peringatan dan penegasan Raja-Raja Melayu berkaitan dengan penyalahgunaan kuasa dan prinsip keadilan tidak harus dipandang enteng, malah harus didukung oleh semua pihak yang mempunyai kesedaran dan kejituan dalam menolak kebobrokan (kemusnahan).

Jelasnya, sebarang usaha mengembalikan mandat rakyat mestilah berpaksikan keutamaan mempertahankan maruah bangsa dan negara tanpa menggadaikan prinsip perjuangan dan idealisme.

“Saya mengambil maklum perkembangan politik negara yang berlaku mutakhir ini. Saya menzahirkan kesyukuran ke atas keprihatinan Raja-Raja Melayu mempertahankan keluhuran perlembagaan,” katanya. — Bernama

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.