Risiko besar jika PRU-15 diadakan tempoh terdekat
Kebelakangan ini timbul spekulasi mengenai kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan pada masa terdekat sebelum tamat tempoh dibenarkan Perlembagaan.
Sama ada ia menjadi kenyataan atau sebaliknya, sama-sama kita tunggu. Bagaimanapun spekulasi itu menimbulkan kerisauan kemungkinan penularan COVID-19 semakin meningkat dan berleluasa.
Apatah lagi kebelakangan ini dilaporkan tiada lagi negeri diletakkan sebagai Zon Hijau. Ini bermakna penularan COVID-19 ketika ini sangat serius dan semakin menggerunkan.
Sebagaimana diketahui umum, berikutan serangan COVID-19 pada awal tahun kerajaan mengambil beberapa langkah, termasuk pencegahan penularan wabak dengan penguatkuasaan undang-undang tertentu.
Antara langkah diambil ialah dikehendaki semua lapisan masyarakat mengamal norma baharu seperti memastikan penjarakan fizikal antara individu tidak kurang satu meter, sentiasa memakai pelitup muka dan kerap cuci tangan.
Namun, tidak semua mematuhi arahan ini sepenuhnya. Ini terbukti dengan beberapa tangkapan, denda dan sebagainya seperti dilaporkan media massa
Justeru, timbul persoalan bagaimana jika dalam waktu terdesak seperti ketika kempen PRU yang berlangsung secara serentak di seluruh pelosok negara.
Sudah menjadi kelaziman kempen pilihan raya di negara kita memerlukan aktiviti menghendaki kehadiran ramai orang bagi menyampaikan sesuatu mesej, khususnya manifesto parti.
Ketika kempen pilihan raya juga ada aktiviti memerlukan berinteraksi secara bersemuka sama ada yang dirancang atau kebetulan terutama antara jurukempen dengan khalayak pengundi.
Sedangkan aktiviti ceramah misalnya dilihat seolah-olah kemestian dan agak sukar untuk tidak mengadakannya sewaktu kempen pilihan raya, tidak kira peringkat apa sekalipun.
Majlis seumpama itu sudah menjadi medium penting menyampaikan sesuatu mesej atau manifesto parti bertanding sebagai salah satu wasilah mempengaruhi minda pengundi. Justeru lagi ramai hadir, lagi baik.
Bermula seawal hari penamaan calon sehingga habis tempoh berkempen. Biasanya lebih kurang dua minggu atau mungkin lebih.
Dalam tempoh itu rasanya keadaan bersosial secara norma baharu seperti dikehendaki pihak berkuasa keseluruhannya dilihat agak sukar sedikit, melainkan dengan peraturan dan seliaan lebih ketat. Namun, mungkin ada risiko politik.
Maka sudah pasti jika ada mana-mana pihak tidak mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa, maka potensi untuk penularan wabak COVID-19 lebih tinggi, terutama golongan berisiko.
Melihat senario ini secara logiknya tentu tidak begitu sesuai jika PRU-15 diadakan dalam tempoh terdekat ini atau tahun hadapan, melainkan ternyata penularan wabak COVID-19 tidak lagi berleluasa seperti sekarang.
Lagipun tempoh tamat sebenar masih panjang agak lama lagi. Bagaimanapun terpulang kepada kerajaan untuk menentukannya.
Saya rasa kerajaan mempunyai penilaian dan pandangan tersendiri untuk memilih masa terbaik diadakan PRU-15.
Cuma selaku rakyat biasa, kita mengharapkan apa dirancang semuanya akan mendatangkan kebaikan kepada negara dan rakyat keseluruhan, di mana kehidupan terus terjamin dan negara bertambah maju, makmur dan aman sejahtera.
Salleh Saad
ungai Petani, Kedah
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.