https://critoxium.com/shop/

Terkini

Seorang wartawan bernama Ahmad Lutfi


Oleh Muhaimin Sulam

Cahaya kesedaran peri pentingnya kebebasan bersuara antaranya lahir melalui tinta wartawan.

Kira-kira lebih dua dekad lalu, sekumpulan wartawan menganjurkan majlis makan malam dan forum sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2001 di Hotel Vistana, Kuala Lumpur.

Majlis itu dianjurkan oleh Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami) dan akhbar Harakah. Saya hadir sewaktu majlis tersebut berlangsung sebagai penulis sambilan Harakah.

Namun sosok terpenting dalam menggerakkan majlis itu ialah Ahmad Lutfi Othman. Ketika itu dia merupakan ketua pengarang akhbar rasmi PAS.

Dalam majlis itu, Said Zahari hadir sebagai pengucap utama.

Said merupakan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Singapura, selain pengarang yang mengetuai mogok bersejarah Utusan Melayu pada 1961 ketika mereka menolak penguasaan parti ke atas media.

Ketika itu, Kami menyenaraikan beberapa perkara sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia. Antaranya usaha mempromosi konsep dan idea kebebasan media secara menyeluruh dalam kalangan pengamal media, pemerintah dan rakyat.

Kami juga mendesak agar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang menekan dan berkuasa besar itu dimansuhkan.

Tugas wartawan sedang dicabar

Kini media menikmati kebebasan yang jauh lebih luas terutama jika dibandingkan dengan era regim Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri. Hal itu berlaku meskipun semua perkara yang diperjuangkan Kami tidak satu pun dipenuhi.

Kebebasan ini merupakan kesan langsung kepesatan teknologi maklumat sehingga membolehkan masyarakat memiliki media sendiri melalui pelbagai aplikasi atau medium internet.

Media utama yang suatu ketika dulu berlagak sebagai pemilik ‘mimbar kebenaran’ kini dicabar oleh kuasa media sosial.

Pun begitu pada masa yang sama perlu diketahui bahawa dunia media sosial kurang mempunyai tanggungjawab. Apatah lagi untuk memenuhi etika dan disiplin kewartawanan.

Kadangkala wartawan dari media arus perdana terikut-ikut rentak pemikiran wartawan jadi-jadian media sosial.

Tugas kewartawanan untuk mencerdaskan pemikiran masyarakat sebagai jurutera sosial kini sedang dicabar.

Justeru sebaiknya wartawan yang bertanya soalan tidak berkaitan, tidak relevan, di luar konteks atau tidak cerdik janganlah dilayan seperti penjenayah. Melainkan wartawan itu jelas memiliki hasrat untuk mengharu-birukan negara.

Berpada-padalah wahai Sang Saka Biru. Zaman penguasa berotak dentingan loceng sudah berlalu.

Meraikan proses transisi kerajaan perpaduan ke suasana baru memungkinkan ada pihak yang terlajak, terlanjur atau ghairah tidak bertebing. Oleh kerana itu, kolam pengetahuan wartawan perlu banyak, dalam dan luas.

Wartawan yang suka berkubang pada kolam sama lazimnya gemar menjaja isu-isu sensasi seperti 3R. Larangan menyentuh isu terkait 3R pula terlalu subjektif.

Ada kebimbangan wujudnya jembalang lain berselindung di balik bayang-bayang 3R. Itu juga salah satu ancaman kepada kebebasan bersuara.

Kebebasan bersuara adalah perjuangan yang abadi.

Seperti Ahmad Lutfi dan rakan-rakan seangkatan dengannya yang tidak lelah berjuang. Mereka bukan sekadar berdepan dengan ancaman saman, penjara dan denda yang dikenakan.

Bahkan Ahmad Lutfi pernah meringkuk dalam cengkaman ISA.

Jadi penanda aras

Sehingga hari-hari akhir nafasnya, Ahmad Lutfi tekal menulis memberikan pencerahan dan kesedaran tentang peri pentingnya kebebasan bersuara.

Dia meninggal dunia pada 9 Julai 2022 yang kebetulan bersamaan hari Arafah. Gemulah ketika itu berusia 59 tahun.

Bukunya Lorong Sunyi Media Bebas (2016) merakamkan perjuangan kewartawanannya dalam membongkar salah guna kuasa. Ia mencatatkan perjalanannya selama 30 tahun mencari kebebasan akhbar sekali gus kebebasan bersuara.

Dalam mempertahankan prinsip kebebasan akhbar, Ahmad Lutfi kerap tidak sehaluan dengan pihak pengurusan.

Kerana itu dia pernah empat kali angkat kaki meninggalkan Harakah. Dia bukan memilih untuk menjadi pesaing Harakah tetapi demi mewujudkan suasana kewartawanan yang lebih kritis dan bebas.

Susuk wartawan seperti Ahmad Lutfi memang anugerah buat perjuangan kebebasan suara yang bertanggungjawab pada negara.

Ketika menandatangani bukunya yang saya beli, dia menulis: ‘Saudaraku Dr Muhaimin, Berani untuk berbeda.’

Sekeras mana pun kritikannya, Ahmad Lutfi kekal menggunakan bahasa yang lembut sebagaimana ketika dia bertutur kata. Dan berbicara dengannya kadangkala menuntut kesabaran bagi menanti buah fikirannya.


Ahmad Lutfi bertanggungjawab menerbitkan puluhan buku politik, siri majalah, makalah dan penerbitan lain. Misalnya akhbar Siasah, Cabaran, Detik, Memo dan beberapa akhbar yang mempunyai pelbagai nama.

Kupasan dan ulasannya tentang politik semasa sentiasa dinanti-nantikan oleh orang awam.

Jika bercakap tentang sejarah kebebasan bersuara terutama ketika era reformasi, nama Ahmad Lutfi adalah wajib dan boleh dianggap sebagai salah satu penanda aras.

Dia menyebut keperluan wartawan melakukan penelitian mendalam, bertanggungjawab, tidak membataskan sumber berita dan memahami (menginsafi) peranan sebagai jurnalis.

Menelusuri pemikiran Ahmad Lutfi tentang kebebasan suara banyak terkandung terutama dalam bukunya, Catatan Hujung (2011), Pencuri Pilih Anjing (2013), Lorong Sunyi Media Bebas (2016), dan lain-lain.

Dia istiqamah menyatakan pendiriannya itu meski dihambat dengan keuzurannya kerana menghidap pelbagai jenis penyakit.

Kegigihannya menerbitkan pelbagai jenis majalah dan pada masa sama berdepan kuku tajam Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah sesuatu yang luar biasa dan tiada tandingannya.

Berbisa di mata penguasa

Langkah pengharaman majalah terbitannya dan pengurangan kekerapan penerbitan Harakah tidak menimbulkan protes yang meluas.

Seolah-olah masyarakat menerima tindakan KDN dan parti-parti politik pembangkang kehilangan kudrat selain sekadar bersyarah keras di atas pentas dan berdemostrasi jalanan.

Sebaliknya, Ahmad Lutfi bersama rakan-rakan medianya membina jalan sendiri.

Sewaktu di luar Harakah, ideanya jauh lebih bebas. Dia menulis, dia sendiri uruskan reka bentuk, terbitkan, mengedar dan pasarkan sekali gus.

Sewaktu memimpin Harakah, dia memberi ruang kepada kolumnis dan penulis yang luar berada bersama kelompok PAS. Dia memecah tembok PAS yang eksklusif, keras dan sempit.

Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan, menyebutkan bahawa Ahmad Lutfi ialah pejuang kebebasan akhbar yang sangat berani.

Kerana itu dia menyarankan Janet Steele menemui Ahmad Lutfi untuk mendapat pandangan tentang kebebasan akhbar di Malaysia.

Setelah Janet bertemu Ahmad Lutfi, pensyarah Universiti George Washington di AS itu berasa kagum dengan buah fikiran, kepintaran dan kebaikan Ahmad Lutfi.

Faisal Tehrani pula beranalogi bahawa Ahmad Lutfi ialah wartawan spesies T-rex yang agam, hebat dana berbisa. Oleh itu, di mata penguasa, sosok itu mesti dihapuskan.

Biarpun dari sisi fizikal, Ahmad Lutfi bukan seorang yang sihat untuk benar-benar ditakuti, dia sangat berbahaya kepada penguasa di sebalik bahasanya yang halus dan tertib.

Tokoh media dari Bumi Kenyalang, Jeniri Amir, pula menganggap Ahmad Lutfi sebagai wira media alternatif yang mencabar hegemoni kerajaan, manakala Adam Adli sewaktu masih mahasiswa pula menganggap tokoh tersebut sebagai inspirator buat gerakan di universiti.

Lim Hong Siang – bekas kolumnis Harakah – menyebutkan bahawa mustahil nama Ahmad Lutfi boleh dipadamkan dari sejarah akhbar tanah air.

Kini hampir empat tahun pemergiannya, nama Ahmad Lutfi seakan-akan mula tenggelam, hanyut dalam percikan gemerlapan kerajaan perpaduan.

Benarlah catatan Sasterawan Negara, A Samad Said, dunia kewartawanan Ahmad Lutfi sebagai bangga tapi pedih; dihargai tapi diketepi.

MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.