https://critoxium.com/shop/

Terkini

Apa nasib Belanjawan Darurat?

Walaupun ramai tidak sukakan ungkapan darurat namun Belanjawan 2021 boleh diibaratkan sebagai keperluan darurat untuk membela golongan miskin, menganggur, bergaji rendah, dan sesiapa lain yang terpinggir.

Darurat kerana bantuan tidak boleh dilengahkan. Keperluan mereka mendesak dan menuntut pembelaan segera kerajaan.

Tentunya rakyat menunggu esok dengan penuh debaran sama ada Menteri Kewangan Zafrul Abdul Aziz akan membentangkan belanjawan yang mampu menangani kesulitan hidup jutaan penduduk yang terkesan dengan Covid-19 sejak awal tahun ini.

Fokus rakyat tentunya kepada persoalan seperti adakah kerajaan PN akan membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan KWSP. Adakah moratorium pukal atau keseluruhan pinjaman bank di perkenalkan semula? Juga, apakah bantuan bulanan Jabatan Kebajikan akan ditambah?

Penjaja dan pekerja gig ingin mengetahui apakah imbuhan atau bantuan yang bakal diberikan kepada mereka. Adakah “frontliners” yang bertungkus lumus bekerja membendung Covid-19 akan diberi pengiktirafan dalam bentuk kewangan? Bagaimana dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS)?

Apakah rancangan kerajaan untuk menjana pekerjaan dan merancakkan semula ekonomi ketika dunia masih bergelut dengan wabak Covid-19?

Segala persoalan ini terjawab esok apabila Zafrul membentangkan Belanjawan dan selepas itu ia akan dikupas oleh rakyat. Pada masa sama, pembangkang terpaksa membuat penilaian sama ada menyokong atau menolak belanjawan sulung kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin.

Jika rakyat mendokong Belanjawan 2021, persoalan penting tentunya sama ada ahli Parlimen Pakatan Harapan dan blok pembangkang lain di Parlimen akan turut memberikan persetujuan bulat agar tidak menjadi sasaran kemarahan rakyat.

PH sebelum ini dilapor meletakkan syarat bahawa sokongannya untuk Belanjawan 2021 bergantung kepada persetujuan PN mengikat Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (Contract and Supply Agreement) dengan PH.

PN mempunyai majoriti amat rapuh di Parlimen dan ini dipergunakan oleh PH untuk menuntut Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan. Antara lain, perjanjian itu memerlukan PN menyediakan peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang sebagaimana yang disediakan untuk wakil rakyat kerajaan.

Namun awal-awal lagi beberapa pemimpin kanan Umno menolak syarat itu, lebih-lebih lagi kerana PH sendiri tidak memberikan kemudahan itu sewaktu berkuasa. Malah ada yang menentang sebarang perjanjian sebegitu dengan PH.

Jika PN tidak memeterai Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan dengan PH, apakah akan ada cubaan untuk menafikan sokongan majoriti terhadap Belanjawan 2021, meskipun Yang di-Pertuan Agong menggesa semua ahli Parlimen menyokong belanjawan itu?

Pengalaman luas Muhyiddin sebagai ahli politik dan pemimpin kerajaan sudah tentu bermakna beliau tidak berpeluk tubuh dan membenarkan agenda pembangkang mencorakkan nasib Belanjawan 2021.

Walaupun sering menyifatkan diri sebagai tidak suka bercakap politik, namun perdana menteri mempunyai rekod mantap meniti laluan licin politik untuk mencapai matlamatnya.

Justeru, kebolehan Muyiddin mengatur sokongan majoriti, walau tipis mana, untuk Belanjawan 2021 tidak boleh dinafikan oleh sesiapa yang arif dalam susur galur politik negara.

Tentunya, beliau sedar bahawa misi pertama adalah membentangkan Belanjawan 2021 yang berupaya memperolehi sokongan meluas rakyat sebelum “mengurus” atau menangani jalan yang bakal diambil oleh pembangkang di Dewan Rakyat.

Semalam, Muhyiddin berkata kerajaan bersedia mengkaji saranan untuk membenarkan pencarum tertentu mengeluarkan dana daripada Akaun 1 KWSP.

Sebelum itu, beliau dipetik berkata agak susah untuk menimbangkan saranan itu kerana ia boleh menjejaskan simpanan usia tua pencarum.

Mungkin pendirian terbaru Muhyiddin mencerminkan kesediaan kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan dan imbuhan pada skala besar untuk memberi impak kepada keseluruhan masyarakat. Soal-soal seperti kesan defisit fiskal yang melebar akan ditangani berpada-pada.

Apa pun, Belanjawan 2021 akan dinilai sama ada ia berjaya mengisi keperluan darurat rakyat atau dipergunakan pembangkang untuk menolak kerajaan yang berkemungkinan mencetus pusingan baharu kemelut politik.

Di harapkan Belanjawan Darurat tidak akan memberi laluan kepada darurat politik dengan rakyat terus dahagakan pembelaan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.