https://critoxium.com/shop/

Terkini

Keluar duit KWSP: Apa isu sebenarnya?


SELEPAS orang ramai mendesak, kerajaan berkata sedia untuk mengkaji saranan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Simpanan Wang pekerja (KWSP) bagi membantu rakyat yang berhadapan dengan situasi sukar.

Pengumuman ini berbeza dengan apa yang dikatakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dua hari lepas – beliau berkata rakyat tidak boleh mengeluarkan wang simpanan KWSP kerana ia merupakan wang untuk persaraan. 

Sebelum saya membahaskan mekanisme yang perlu diambil oleh kerajaan dalam isu simpanan KWSP ini, elok sekiranya kita berbincang tentang akar kepada permasalahan wang simpanan rakyat Malaysia. 

Kajian Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2019 dengan kerjasama Visa mendedahkan sebanyak 43% rakyat di negara ini membelanjakan semua pendapatan mereka.

Menurut kajian yang sama, 3 daripada 4 rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM1,000 di akaun bank mereka. 

Budaya hidup bergaya walaupun papa kedana

Saya kira tidak adil untuk kita mengatakan semua orang yang tidak mempunyai simpanan mengamalkan hidup yang bergaya, walaupun papa kedana. 

Sepengalaman saya dalam menyantuni mereka yang memerlukan, ramai keluarga yang terpaksa bergantung sepenuhnya kepada gaji bulanan tanpa ada ruang untuk menyimpan. 

Hakikat ini masih berlaku disebabkan beberapa faktor – kadar gaji yang rendah, kenaikan gaji tahunan yang perlahan dan eksploitasi buruh. 

Kajian Unicef tentang penduduk PPR di sekitar Kuala Lumpur pada 2018 memperlihatkan mereka yang datang daripada keluarga yang susah selalunya bekerja lebih lama berbanding purata waktu bekerja setempat. 

Walaupun bekerja dengan lebih masa, gaji mereka masih terlalu kecil untuk membolehkan mereka menyimpan. 

Taraf pendidikan yang rendah menyebabkan kumpulan ini kerap dieksploitasi oleh majikan dengan bayaran yang sangat rendah dan tidak punya caruman KWSP atau Perkeso.

Akhirnya mereka menjadi individu yang bergaji rendah, tiada wang simpanan – dan lebih teruk, tiada jaringan keselamatan sosial dan simpanan persaraan. 

Pandemik Covid-19 “mengkantoikan” masalah pasaran buruh kita yang sebelum ini kebanyakan ahli politik cukup ‘malu’ untuk bercakap tentangnya. 

Kemudian, bagi mereka yang memiliki ruang untuk menabung pula, mereka sering hanyut dengan permainan materialistik yang menjadi kiblat kebanyakan masyarakat kita pada hari ini. 

Akibat terlalu yakin dengan kestabilan kerja dan kesihatan diri, ada segelintir yang gemar menghabiskan wang dengan berhutang pelbagai bentuk harta benda – yang selalunya mereka tidak perlukan. 

Mentaliti masyarakat seperti ini harus diubah, keberjayaan seseorang tidak boleh dilihat semata-mata dengan kereta apa yang mereka guna, atau sebesar apa tandas rumah yang mereka miliki. 

Oleh itu, saya berpandangan program literasi kewangan harus diperbanyakkan dan wajib bermula di peringkat sekolah.

Selama saya mengikuti pendidikan formal di Malaysia, tidak ada subjek khusus yang mengajarkan saya untuk mengurus kewangan secara berkesan. 

Kelompangan ini sering diambil oleh “money guru” yang mengenakan bayaran yang tinggi dan ada sesetengah mereka terkenal dengan skim penipuan. 

Kebenaran bersasar 

Akibat kedangkalan kita sejak zaman-berzaman dalam mengatasi hal ini – kita harus menghadapi cabaran rakyat kehabisan wang simpanan dan kehilangan sumber pendapatan.

Salah satu cara untuk memberi pelegaan kepada masalah ini adalah pengeluaran wang KWSP dalam jumlah tertentu. 

Sebelum semua hal ini dilaksanakan, ada beberapa hal yang saya fikir perlu dipertimbangkan oleh kerajaan. Salah satunya menubuhkan sebuah entiti bebas untuk meneliti mekanisme pengeluaran. 

Kita tidak boleh menyelesaikan masalah dengan semata-mata bergantung kepada sentimen emosi semata-mata.

Entiti yang perlu diketuai oleh ahli profesional ini perlu datang dengan kajian mekanisme dan impak terhadap keputusan ini. 

Apa jua kaedah yang digunakan dalam pengeluaran simpanan KWSP, perlu dipastikan wang yang dikeluarkan adalah untuk tujuan kelangsungan hidup, bukan untuk pembelian hal yang tidak perlu.

Selepas itu, perancangan untuk meningkatkan simpanan tersebut harus  difikirkan. 

Cara yang paling mudah adalah meningkatkan kadar caruman bagi pihak majikan atau meningkatkan tempoh perkhidmatan.

Sudah tentu ia akan mendatangkan kesan sampingan seperti rungutan majikan dan hujah peningkatan umur persaraan akan menyebabkan kekosongan pekerjaan semakin berkurang.

Semua persoalan ini perlu difikirkan oleh kerajaan yang digajikan oleh rakyat.

Covid-19 memperlihatkan masalah yang berlaku secara sistematik di Malaysia.

Walaupun kita gusar dengan keadaan yang sedang berlaku, ia adalah peluang untuk kita membetulkan masalah yang telah lama ada. Peluang untuk menjadikan negara kita lebih baik ini tidak sepatutnya dilepaskan.

 Rahman Imuda, bekas aktivis mahasiswa

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.