Trump - presiden yang ditimbun penipuannya sendiri
Oleh Lim Kit Siang
Saya bangun tidur pada jam 4:30 pagi hari ini dan menyemak keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat.
Keputusannya tidak berubah, seperti semasa saya masuk tidur.
CNN menyiarkan tajuk berita “Jalan ke 270 undi bergantung kepada enam negeri utama”.
Ia melaporkan sedikit berbeza berbanding penerbitan lain di Amerika Syarikat (AS), yang Joe Biden mendahului dengan 237 undi badan pemilihan berbanding 213 undi yang diraih Trump.
Setakat 6:15 pagi, CNN menyiarkan “Joe Biden menghampiri 270”.
Ia menyebut Biden mendahului dengan 253 undi badan pemilihan berbanding dengan Trump yang masih tersekat setakat 213 undi.
Cerita 253-213 ini kekal tidak berubah untuk beberapa jam sehinggalah tajuk berita CNN sekali lagi bertukar pula kepada “Biden menyasarkan 270 sambil pengiraan undi diteruskan”.
Walaupun pengundian ini akan memakan masa berjam-jam lagi sebelum keputusan rasmi siapa yang mendapat 270 undi diumumkan, untuk menjadi presiden AS bagi tempoh empat tahun akan datang, besar kemungkina Joe Biden telah pun menang untuk menjadi presiden ke-46.
Tetapi, bukanlah Joe Biden yang mengalahkan Donald Trump. Wabak Covid-19 yang mengalahkan Trump.
Amat ironi, dalam hari-hari terakhir kempen Trump, ketika dia menyebarkan kekeliruan, mengatakan Covid-19 di AS sedang berubah arah ke arah yang lebih baik, negara itu mencatatkan peningkatan harian tertinggi.
Dalam enam daripada tujuh hari, jangkitan Covid-19 di AS memecah rekod baharu, antara 81,892 kes pada 28 Oktober sehingga ke 101,538 kes pada 30 Oktober 2020.
Seakan-akan mesej dalam minggu terakhir kempen ini tidak cukup untuk membawa kesedaran.
Amaran Dr Birx
Semalam AS mencatatkan peningkatan harian tertinggi dengan 108,389 kes, mengesahkan amaran Dr Deborah Birx, penasihat kanan koronavirus Rumah Putih, pada 2 November.
Dr Birx mengatakan wabak ini akan bertambah teruk sebelum beransur pulih.
Menurut Washington Post, Dr Birx memberikan amaran “kita sedang memasuki fasa baharu wabak ini yang sangat membimbangkan dan berbahaya… membawa kepada peningkatan kematian.”
Dia juga memberi amaran Rumah Putih tidak cukup bertindak.
“Perkara ini bukannya mengenai sekatan pergerakan -- ia bukan mengenai sekatan pergerakan sejak daripada bulan Mac atau April lagi.
“Tetapi apa yang tiada adalah satu pendekatan agresif yang seimbang untuk mengekang wabak ini.”
Satu model penularan Covid-19 menjangkakan jumlah kematian akibat Covid-19 di AS akan meningkat tiga kali ganda menjelang pertengahan Januari.
Perkara ini selepas Amerika Syarikat mendahului dunia dengan mencatatkan jumlah jangkitan dan kematian tertinggi, dengan lebih 8.9 juta kes dan lebih daripada 239,000 kematian.
Satu lagi perkara yang tidak menyenangkan, pencapaian baharu Covid-19, yang mencatatkan rekod baharu peningkatan harian 571,314 kes di seluruh dunia semalam.
Ini hampir lima kali ganda jumlah 118,000 kes terkumpul secara global pada masa wabak ini diumumkan sebagai pandemik pada 11 Mac.
Jelas sekali Trump telah dikalahkan oleh pandemik Covid-19 dan bertimbun-timbun penipuan dan berita palsu dia sendiri.
LIM KIT SIANG ialah ahli parlimen Iskandar Puteri daripada DAP.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.