https://critoxium.com/shop/

Terkini

Dr Asraf Jangan Mimpi Muhyiddin Nak masuk Umno


Ketua Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki nampaknya terus bermimpi di siang hari apabila sekali lagi membuat pelawaan agar Muhyiddin Yassin dan parti yang dipimpinnya, Bersatu kembali ke pangkuan UMNO.
 
Meskipun diakui UMNO dan Bersatu tiada beza dari segi orientasi dan ideologi serta penggabungan kedua-duanya lebih bermakna dalam konteks penyatuan ummah, yang membezakannya ialah kuasa.
 
Memang benar beberapa parti serpihan UMNO akhirnya kembali ke pangkuan UMNO, tetapi mereka kembali kerana kuasa ketika itu masih dalam genggaman UMNO.
 
Berbeza dengan Bersatu, kuasa kini dalam tangan mereka dan Muhyiddin selaku Presiden Bersatu adalah Perdana Menteri sekarang ini.
 
Di pihak UMNO pula, parti itu kini hanya ibarat menumpang saja dengan Bersatu dan Presiden UMNO bukan saja tidak memegang jawatan Perdana Menteri, malah sedang dibicarakan di mahkamah.
 
Dalam keadaan ini, untuk apa Muhyiddin mahu kembali ke pangkuan UMNO?
 
Kalau melalui Bersatu pun beliau sudah berjaya menjadi Perdana Menteri, buat apa mahu kembali kepada UMNO?
 
Beliau tidak saja berjaya menjadi Perdana Menteri bukan atas tiket UMNO, bahkan sedang menyusun papan caturnya bersama Pas untuk terus mengenepikan UMNO, kalau pun tidak selama-lamanya, sekurang-kurangnya dalam PRU15 akan datang.
 
Ia adalah bagi memastikan Muhyiddin dapat kekal lagi sebagai Perdana Menteri selepas PRU nanti.
 
Lagi pula, pernahkah dalam dunia ini seorang Perdana Menteri yang naiknya atas parti yang memenangknnya, tapi kemudian kembali kepada parti asal yang telah berjaya dikalahkannya?
 
Untuk itu, sebenarnya langsung tidak logik dan tiada keperluan untuk Muhyiddin mahu kembali atau membawa Bersatu bergabung dengan UMNO.
 
Muhyiddin bukan saja selesa memimpin Bersatu, lebih selesa lagi kerana melalui kuasa yang terkumpul dalam tangannya, beliau juga berjaya mencuri Pas daripada Muafakat Nasional untuk menyertai Perikatan Nasional, sebuah gabungan baru yang diketuainya.
 
Kalau beliau masuk UMNO, apa jawatan atau kedudukan yang diperolehinya?
 
Sediakah jawatan Presiden UMNO dan Pengerusi BN diserahkan kepadanya?
 
Maka, sebenarnya adalah membuang masa dan kerja sia-sia saja bagi Dr. Asyraf membuat pelawaan tersebut, bahkan ia secara tidak langsung menunjukkan UMNO sedang lemah dan tiada pemimpin yang layak menerajui parti itu.
 
Kalau Dr. Asyraf mahu Bersatu kembali ke pangkuan UMNO, cara yang terbaik ialah dengan memastikan UMNO berjaya memenangi PRU15 akan datang dan jawatan Perdana Menteri diisi kembali oleh pemimpin UMNO.
 
Setelah hilang kuasa dan menjadi parti kecil yang terpinggir, barulah ketika itu ada kebarangkalian untuk Bersatu kembali ke pangkuan UMNO.
 
Tetapi, selagi memegang kuasa, walaupun tetap parti kecil, adalah mustahil untuk Muhyiddin membawa dirinya atau Bersatu kembali ke pangkuan UMNO.
 
Berhentilah bermimpi yang tidak mungkin menjadi realiti!!
 
Sebaliknya, lebih mungkin jika UMNO terus berjaya dilemahkan oleh Muhyiddin, ada pemimpin UMNO sendiri yang akan menyeberang kepada Bersatu. (Shahbudindotcom

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.