https://critoxium.com/shop/

Terkini

Isu Thaipusam: NGO mohon Sultan Kedah nasihatkan menteri besar


Sebuah NGO hari ini menyembah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah memohon supaya berkenan menasihatkan menteri besar Muhammad Sanusi Md Nor selepas keputusan pembatalan cuti peristiwa Thaipusam di Kedah pada 28 Januari ini.

Dalam memorandum yang disembahkan melalui Pengelola Bijaya Diraja Istana Kedah, NGO Pertubuhan Hindu Agamam Ani Malaysia mendakwa keputusan Sanusi menindas penganut Hindu di Kedah sejak PAS mengetuai kerajaan negeri pada Mei 2020.

"Sejak kebelakangan ini perbuatan, pertuturan, dan dasar-dasar menteri besar menimbulkan ketakutan, kemarahan, keresahan dan kerisauan di kalangan rakyat yang beragama Hindu di negeri Kedah.

"Menteri besar bahkan kehilangan peradaban, sombong, dan takbur dalam mengendalikan isu-isu sensitif keagamaan dan perkauman di negeri Kedah.

"Kami memohon Kebawah Duli yang Maha Adil lagi Mulia, untuk menasihatkan menteri besar Kedah untuk bersikap lebih prihatin, sopan, adil dan saksama dalam mengendalikan urus pentadbiran Kedah dan mengembalikan cuti Thaipusam," kata pengerusi NGO itu Arun Dorasamy.

Memorandum NGO itu berhubung beberapa keputusan menteri besar Kedah yang tidak disenangi oleh masyarakat Hindu di negeri itu.

Sanusi didakwa mengundang kemarahan masyarakat India di Malaysia, selepas dituduh mengarahkan perobohan dua kuil Hindu di Kedah pada tahun lalu.

Seterusnya, dia juga dikritik menggunakan perkataan sensitif seperti 'mabuk todi' ketika membidas pihak yang membangkitkan isu perobohan kuil.

Terbaru, Sanusi dikecam hebat oleh MIC dan pemimpin pembangkang apabila mengumumkan tiada cuti peristiwa bagi perayaan Thaipusam di Kedah kerana situasi semasa berkaitan Covid-19. 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.