https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kempen pilihan raya perlu pendekatan baharu


 PANDEMIK COVID-19 menatijahkan perubahan di seluruh dunia, merangkumi pelbagai bidang kehidupan.

Dalam usaha mencegah penularan wabak pada tahap minimum, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan warga global mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ini termasuk memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

Malaysia menunjukkan kejayaan apabila kepatuhan SOP membolehkan lekuk penularan dilandaikan. Namun, menjelang September tahun lalu, gelombang ketiga kembali menunjukkan peningkatan membimbangkan hingga kini.

Punca terbesar menyaksikan penularan ini meningkat semula ialah sikap ahli politik yang ingin berkuasa. Namun, tuding-menuding tidak lagi boleh menyelesaikan masalah kerana nasi sudah menjadi bubur.

Harus diingat, perkara yang menjadi kerunsingan dan kemarahan pelbagai pihak, terutama rakyat adalah kegagalan ahli politik untuk insaf terhadap tragedi melanda dunia dan negara.

Walaupun kes harian mencatatkan peningkatan sehingga mencecah empat angka, ahli politik masih berpolemik terhadap keperluan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dalam hal ini, jika Parlimen dibubarkan, hal mungkin menarik perhatian ramai ialah konsep baharu kempen pilihan raya bagi meraikan proses demokrasi tetap berlangsung dalam suasana COVID-19 dengan selamat dan berkesan.

Satu hal yang pasti ialah kekurangan atau ketiadaan ceramah politik yang selama ini memeriahkan kempen pilihan raya.

Konsep seperti ini menjadi hiburan kepada penduduk dan membuka peluang rezeki kepada peniaga.

Ceramah sering dianggap antara kaedah komunikasi cukup penting kepada mana-mana parti politik untuk menyampaikan manifesto, mengkritik atau menjawab tuduhan lawan serta menaikkan sokongan dan pengaruh.

Walaupun kehadiran ramai penduduk ketika ceramah belum menjamin kemenangan, perkara ini jarang diberikan perhatian.

Justeru, jika program ceramah dilarang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai mematuhi SOP baharu dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM), adakah kemeriahan kempen politik akan terjejas?

Tanpa menafikan norma baharu dunia merencatkan pergerakan dan perancangan aktiviti penduduk serta organisasi pelbagai negara, keadaan ini perlu segera dibiasakan memandangkan COVID-19 hampir tidak mungkin dihapuskan sepenuhnya.

Malaysia mungkin boleh meneladani Singapura yang berjaya melalui pilihan raya Julai tahun lalu.

Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong merasionalkan keperluan pembubaran Parlimen seperti diumumkan Presiden negara itu, Halimah Yaacob pada 23 Jun bagi mendapatkan mandat baharu untuk memastikan negara itu dapat menangani kemelut ekonomi akibat COVID-19.

Sepanjang tempoh kempen sembilan hari, semua parti politik lebih banyak menumpukan aktiviti secara dalam talian selepas ceramah dan himpunan dilarang kerajaan. Pada hari pembuangan undi, pengundi diingatkan patuh kepada SOP ditetapkan.

Korea Selatan juga melalui pilihan raya pada April tahun lalu dengan selamat apabila pihak kesihatan melaporkan tiada sebarang transmisi tempatan berlaku sepanjang kempen berlangsung.

Seramai 29 juta pengundi keluar mengundi pada 15 April, tetapi tiada satu kes dicatatkan sebagai kluster pilihan raya selepas tempoh inkubasi 14 hari.

Kejayaan Seoul mencegah kemunculan kluster pilihan raya dicapai ekoran penguatkuasaan bersepadu pihak berkuasa yang mengambil langkah keselamatan ketat termasuk mengarahkan pengundi memakai pelitup muka dan sarung tangan plastik pakai buang ketika mengundi.

Dua contoh negara ini mungkin agak ideal untuk digunakan kerana Malaysia berada dalam situasi kontradik. Peningkatan gelombang ketiga COVID-19 tercetus kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September lalu yang turut membabitkan petugas parti dari Semenanjung.

Memandang ke hadapan, apakah corak komunikasi politik akan dimanfaatkan parti bertanding menggantikan kempen konvensional?

Bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), aplikasi seperti Zoom dan Google Meet meningkat sebagai pilihan untuk mengadakan mesyuarat serta perbincangan.

Sesetengah penggiat politik turut menggunakan akaun media sosial dengan mengadakan siaran langsung setiap malam untuk berkongsi pendapat dan kritikan.

Namun, ahli politik juga menyedari komunikasi begini akan mengambil masa agak panjang bagi membina pengaruh dalam kalangan pengguna internet khususnya menyampaikan manifesto masing-masing.

Sesetengah ahli politik terutama yang berusia dan tidak mesra media sosial akan sedikit kekok berhadapan kamera berbanding berdiri di hadapan ribuan hadirin ketika berceramah.

Dijangkakan pembabitan dan kepakaran individu berpengaruh (influencer) di media sosial akan digunakan untuk membantu parti politik mengubah konsep pemasaran agenda politik melalui video drama pendek yang lebih mudah menarik perhatian warganet.

Ini tidak begitu sukar dilakukan kerana Malaysia mempunyai bakat baharu berpotensi dan dikenali ramai untuk membantu kempen parti politik.

Kaedah pemasaran dan komunikasi politik begini juga boleh kembali menarik minat rakyat untuk memberi perhatian kepada isu penting dalam negara.

Jika konsep kempen baharu lebih segar dan menarik dimulakan serta diperluaskan, tidak mustahil ceramah politik yang kandungannya bosan dan kerap diulangi akan tidak relevan lagi selepas ini.

Mohd Arif Juhani Abdul Rahman
Kuala Lumpur

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.