https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tamak, khayal sokongan besar rosakkan politik Melayu-Islam


Oleh Dr Mohd Noor Yazid

 Struktur parti politik Melayu dalam sistem politik Malaysia sejak akhir ini mengalami perubahan besar. Paling ketara selepas terbentuk kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) dan berakhir pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), jelas dilihat struktur parti politik Melayu didominasi UMNO sebagai tunjang Barisan Nasional (BN).

UMNO menang besar pada pilihan raya sejak negara mencapai kemerdekaan melalui parti Perikatan. Penubuhan BN pada awal 1970-an tidak membawa perubahan besar kepada peranan UMNO dalam politik Malaysia amnya dan struktur parti politik Melayu khususnya.

UMNO tetap menjadi parti utama orang Melayu dan mendapat sokongan besar kaum majoriti itu di negeri Persekutuan Tanah Melayu dan kaum Bumiputera di Sabah.

Kedudukan dan peranan UMNO sangat kuat serta tidak dapat diganggu gugat mana-mana parti politik Melayu. Sokongan pengundi terhadap rakan UMNO seperti MCA dan MIC juga agak kuat oleh kaum masing-masing.

Realitinya, pemilihan Presiden UMNO sangat penting dalam politik negara kerana individu memegang jawatan itu bukan sahaja menguasai parti berkenaan dan orang Melayu, tetapi juga politik Malaysia serta menjadi ketua kerajaan selaku Perdana Menteri.

Itulah struktur parti politik Melayu dan kedudukan UMNO dalam proses dan pembentukan kerajaan.

Menguasai tunjang pimpinan UMNO bermakna menguasai tunjang politik negara. UMNO parti politik sangat berpengaruh tanpa disangkal sesiapa, namun, sejarah itu sudah berubah kini.

Mulai PRU-12, kedudukan UMNO dan BN mula dicabar Pakatan Rakyat (gabungan PKR, PAS dan DAP), tetapi masih gagal menguasai Kerajaan Pusat. Kedudukan pembangkang semakin meningkat pada PRU-13, tetapi masih gagal menguasai Kerajaan Pusat.

Tahun 2015 dan perkembangan selepasnya, khusus Perhimpunan Agung UMNO pada Disember 2015 menampakkan perpecahan jelas dalam UMNO apabila timbalan presiden parti mengkritik secara terbuka pimpinan presiden.

Presiden pada masa itu terus berkuasa, apabila pemilihan presiden ditangguhkan dengan alasan 'tangguhkan pemilihan' dan tumpuan diberikan kepada pilihan raya.

Secara logik, pengukuhan parti dan pimpinan yang baik serta bersih perlu bagi menghadapi PRU-14. Rakyat dan pengundi tidak mudah menerima pimpinan yang kurang bersih.

Isu pimpinan masa itu yang tidak diselesaikan perwakilan dan ahli UMNO - sesiapa yang mengkritik pimpinan tertinggi akan dikenakan tindakan - akhirnya membawa kepada kemarahan rakyat yang ditunjukkan melalui keputusan PRU-14 dengan menolak BN.

Keputusan itu mengubah struktur parti politik Melayu yang menidakkan UMNO sebagai parti politik utama bagi orang Melayu. Kawasan dikuasai UMNO secara turun-temurun dimenangi parti politik Melayu yang baharu dibentuk.

UMNO dan BN gagal menguasai politik Malaysia. Keadaan dan struktur parti politik Melayu sekali lagi berubah pada Februari 2020 dan berakhir dengan pembentukan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), UMNO dan PAS serta parti politik di Sarawak dan Sabah, bekerjasama menjatuhkan kerajaan PH dan membentuk sebuah kerajaan baharu.

Kerajaan baharu ini bukan lagi didominasi UMNO seperti sebelumnya, walaupun UMNO mempunyai bilangan Ahli Parlimen yang besar. Sebaliknya, UMNO hanya satu daripada entiti dalam gabungan parti politik di bawah pimpinan Muhyiddin yang dilantik secara sah Yang di-Pertuan Agong selaras perkara diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dari segi keabsahan, kerajaan PN pimpinan Muhyiddin adalah kerajaan sah, selaras Perlembagaan Persekutuan.

Namun, apakah bentuk struktur pati politik Melayu yang mendasari pentadbiran dan pemerintahan negara sekarang?

UMNO bukan lagi mempunyai kedudukan dan peranan seperti sebelum PRU-14. Peranan besar dimainkan UMNO sebelum 2018 bukan lagi realiti.

Pembentukan kerajaan sekarang adalah gabungan tiga parti utama orang Melayu bersama kerjasama parti politik di Sarawak dan Sabah.

Justeru, pimpinan UMNO sekarang perlu betul-betul memahami perubahan yang berlaku. Ia adalah proses baharu kepada pembentukan struktur parti politik Melayu dalam Kerajaan Malaysia.

Kekuatan dan peranan besar UMNO sejak selepas merdeka, khususnya selepas pembentukan BN awal 1970-an sudah berakhir. Dari segi sejarah politik, UMNO tidak dinafikan mempunyai jasa dan peranan besar kepada negara dan orang Melayu.

Realitinya sekarang sudah berubah, iaitu UMNO bukan satu-satunya parti politik utama orang Melayu. Dalam sebarang perbincangan dan penyusunan semula, kedudukan dan peranan BERSATU serta PAS tidak boleh diketepikan dan dipandang kecil semata-mata merujuk asas sejarah dan jasa besar silam UMNO.

Dalam melihat perpaduan Melayu-Islam, ketiga-tiga parti menunjangi Melayu-Islam iaitu UMNO, PAS dan BERSATU mesti digerak bersama. Muafakat Nasional juga perlu dilihat semula dengan situasi politik selepas 1 Mac 2020.

Kerjasama Melayu tidak lagi hanya berkisar kepada UMNO dan PAS, tetapi perlu diperluaskan kepada BERSATU. Perpaduan dan kerjasama amat perlu bagi ketiga-tiga parti politik ini. Perpecahan dan mengutamakan kepentingan diri hanya merugikan bangsa dan seluruh orang Melayu.

Kerjasama adalah tonggak membina kestabilan politik Melayu dan negara keseluruhannya. Pergolakan politik Melayu bermakna pergolakan politik negara. Bukan sahaja orang Melayu berasa kesannya jika politik negara tidak stabil, bahkan semua penduduk tanpa mengira kaum akan turut terjejas.

UMNO, BERSATU dan PAS tidak sepatutnya bergerak sendiri. Elakkan rasa tamak kuasa antara mana-mana tiga parti politik utama ini.

Rasa tamak dan berkuasa serta mendapat sokongan besar, hanya perasaan tanpa disokong realiti politik (kerana kini semua dalam proses yang sukar dibuktikan dengan jelas). Asasnya adalah perpaduan parti politik Melayu itu formula yang perlu diterima.

Mana-mana parti politik Melayu yang cuba bergerak sendiri dan membina kerjasama dengan parti politik bukan Melayu adalah tindakan kurang tepat.

Kerjasama Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) pada akhir 1940-an dan kerjasama Pakatan Rakyat (PAS dan DAP) perlu dijadikan pengajaran.

Kerjasama berasaskan pegangan, falsafah dan matlamat berbeza tidak akan kekal lama. Sebaliknya, kerjasama antara parti politik Melayu yang berasaskan matlamat sama, iaitu Melayu-Islam lebih mantap dan kekal bertahan.

Perlu diingat, kekuatan dan kestabilan politik Melayu, bukan hanya untuk Melayu semata-mata, tetapi bagi semua warga negara Malaysia.

Bersatulah Melayu bagi membina kestabilan dan kemakmuran untuk semua.

Penulis adalah Profesor Madya di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS)

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.