https://critoxium.com/shop/

Terkini

Keputusan saat akhir KPM susahkan semua, kata Pemuda Amanah

Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda Amanah, Hasbie Muda, membidas Menteri Pendidikan Radzi Jidin atas keputusan "saat akhir" kerajaan untuk hanya membenarkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan penting hadir ke sekolah.

Hal itu menurut Hasbie menyusahkan banyak pihak, sedangkan peningkatan kes positif Covid-19 pada kadar empat angka bukan baru berlaku.

Sepatutnya kata Hasbie Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh membuat unjuran lebih awal.

“Pemuda Amanah kesal kerana pengumuman yang penting ini dibuat dalam selang waktu yang begitu singkat sebagaimana pengumuman-pengumuman mengejut Radzi sebelum ini.

“Amalan kerja saat akhir ini menyusahkan ramai pihak terutama ibu bapa, guru dan murid semasa mereka membuat persediaan.

“Trend kes Covid-19 yang semakin meningkat ke empat angka bukan baru bermula semalam. KPM sepatutnya sudah boleh membuat unjuran lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, kes baru mencatatkan angka empat digit secara berturut-turut setiap hari sejak awal Dis lalu.

KPM pada 11 Jan mengumumkan murid sekolah rendah dan sekolah menengah dari tingkatan 1 hingga tingkatan 4 di negeri-negeri yang akan dikuatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) kedua akan meneruskan pembelajaran secara dalam talian di rumah.

Pengumuman itu dibuat tidak lama selepas pengumuman PKP oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada hari sama. 


Hanya pelajar yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan peperiksaan setaraf yang lain dibenarkan untuk meneruskan pembelajaran bersemuka di sekolah, termasuk di sekolah asrama, bermula 20 Jan.

Pun begitu, bagi negeri yang tidak berada di bawah PKP 2.0, pelajar boleh meneruskan jadual pembelajaran masing-masing, kecuali pelajar tingkatan dua dan tiga yang hanya dibenarkan ke sekolah bermula 8 Mac.

Kata Hasbie, KPM perlu sedar masalah capaian jalur lebar yang masih rendah di kawasan pedalaman serta penyediaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang di luar kemampuan sebahagian guru, murid dan ibu bapa.

Dia turut mencadangkan KPM memperbanyak rancangan pendidikan di saluran percuma yang menurutnya terlalu sedikit buat masa ini.

PKP dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kelantan, Wilayah Persekutuan dan daerah Sibu di Sarawak.

PKP di Kelantan berkuat kuasa 16 hingga 25 Januari, Sibu dari 16 hingga 29 Januari, manakala yang lain bermula 13 hingga 26 Jan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.