https://critoxium.com/shop/

Terkini

PdPR: PN gagal tangani tiga isu kritikal pendidikan – Nie Ching


oleh Ghafar NS

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching hari ini membangkitkan tiga isu kritikal yang gagal ditangani oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan dengan persiapan serta kesediaan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“KPM sejak Mac tahun lalu diarahkan untuk melaksanakan inisiatif PdPR ini, namun sehingga hari ini kita masih menghadapi masalah dan berada pada tahap yang sama,” kata Nie Ching dalam kenyataannya hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Kulai itu, tiga isu kritikal PdPR yang masih gagal ditangani oleh kerajaan adalah:

1) Tiada alat peranti elektronik

Sejak April 2020, KPM sedar bahawa 36.9 peratus pelajar di Malaysia tidak mempunyai alat peranti elektronik bagi menjalani pembelajaran atas talian. Ini bermakna lebih kurang 1.7 juta pelajar terdesak memerlukan komputer riba ataupun tablet bagi memenuhi PdPR.

Nie Ching memberitahu, pada November tahun lepas, beliau telah menyatakan bahawa 150,000 komputer riba yang dijanjikan oleh Menteri Kewangan dalam bajet 2021 adalah amat tidak mencukupi untuk para pelajar.

“Malah, di mana 150,000 komputer riba yang dijanjikan itu?

“Bagaimana kerajaan boleh berpuas hati dengan menjanjikan 150,000 komputer riba, sedangkan PdPR adalah norma baharu yang akan dilalui dalam satu tempoh masa yang panjang?” soalnya.

2) Tiada akses internet

“Tahun lepas kita menerima banyak berita mengenai susah payah yang terpaksa dilalui oleh para pelajar, guru dan ibu-bapa hanya untuk mendapatkan akses internet.

“Apakah pengajaran yang diambil oleh kerajaan melalui kisah Veveonah Mosibin, Cikgu Mujalifah Kassim dari SMK Sibu Jaya, Cikgu Sambau Dugat dari SMK Lubok Antu dan tiga pelajar yang tercedera ketika mencari akses internet di Ranau Sabah?” soalnya lagi.

Nie Ching turut bertanya pada pihak kerajaan tentang perancangan mereka bagi pelajar-pelajar yang tiada akses internet ini, dan adakah kerajaan bersedia untuk menyediakan pakej data internet satelit percuma untuk mereka?

3) TV Pendidikan

Menurut Nie Ching, servis TV Pendidikan adalah amat penting sekali, namun kandungan dan tempoh masa tayangan tidak mencukupi.

“Sejak tahun 2020, kami telah menyatakan kekurangan saluran TV Pendidikan ini, bahkan turut diakui Menteri Pendidikan sendiri. Namun, mengapa masih belum ada penambahbaikan?” tambah Nie Ching lagi.

Beliau bagaimanapun berkata, situasi pandemik ini adalah cabaran amat besar buat semua dan turut memahami kesulitan yang dihadapi pihak kerajaan.

“Kerajaan harus pantas menangani isu-isu kritikal dan cabaran ini kerana masa depan anak-anak Malaysia yang dipertaruhkan,” tegasnya.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.