https://critoxium.com/shop/

Terkini

'Kes Annuar rujuk AG? Kenapa tak dikompaun seperti orang lain?'


Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh mempersoalkan kenapa polis harus merujuk kepada kes Annuar Musa yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 kepada Peguam Negara (AG).

Dalam satu kenyataan, dia melabelkan kenyataan ketua polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin sebagai "mengarut" dan "pilih kasih".

"Mengapa kes Annuar begitu berbeza sehingga perlu sampai ke AG?

"Kecuali Annuar disiasat untuk kesalahan yang tidak dapat dikompaun di bawah Kanun Keseksaan, yang tidak ada petunjuk, dia harus diperlakukan seperti warganegara lain yang melanggar SOP.

"Tentunya, AG mempunyai perkara yang lebih mendesak untuk ditangani seperti berbagai cabaran berhubung nasihat Perdana Menteri kepada Yang Di Pertuan Agong tentang pengisytiharan ordinan yang secara efektif menggantung Parlimen semasa Darurat ini," katanya.

Ketua biro undang-undang kebangsaan DAP itu menyorot bahawa ramai yang melanggar SOP telah didenda di bawah Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Bahagian Akta tersebut menyatakan: "Ketua Pengarah atau mana-mana pegawai awam yang diberi kuasa olehnya bagi maksud ini secara bertulis boleh mengkompaun apa-apa kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta ini yang telah ditetapkan oleh peraturan-peraturan sebagai boleh dikompaun dengan mendapatkan daripada pesalah itu sejumlah wang yang tidak melebihi seribu ringgit."

Sehubungan dengan itu, Ramkarpal berkata: "Mengapa Annuar tidak dikenakan kompaun seperti yang lain?"

Dia menambah bahawa jika polis gagal mendenda menteri Wilayah Persekutuan itu, mereka mungkin dilihat mengamalkan pilih kasih dalam menangani ahli politik dan rakyat biasa.

Ketika dihubungi, Saiful enggan mengulas mengenai kenyataan itu, dengan mengatakan bahawa dia telah menjelaskan mengenai kes itu dalam sidang media hari ini.

Sebelumnya, Berita Harian melaporkan bahawa polis sedang meneliti fakta dan bukti kes tersebut sebelum menyerahkan kertas siasatan ke pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Perkembangan itu hadir setelah polis merakam kenyataan dari Annuar dan beberapa yang lain semalam.

Annuar dikatakan telah melanggar SOP setelah gambar dia dan enam individu lain duduk di meja yang sama ditularkan di media sosial.

Gambar itu dipercayai diambil dari sebuah acara di Seri Petaling pada 13 Februari.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.