https://critoxium.com/shop/

Terkini

'Buang syarat imbuhan RM500 pada petugas baris depan KKM'


Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuang syarat kelayakan yang telah ditetapkan dalam imbuhan one-off kepada petugas barisan hadapan KKM.

Jelas Presidennya Adnan Mat, pihaknya berpendapat semua petugas barisan hadapan KKM layak menerima bantuan tanpa mengira syarat tambahan.

“Cuepacs menggesa agar KKM membuang semua syarat dan kelayakan yang telah ditetapkan dalam pemberian one-off ini kepada petugas barisan hadapan.

“Cuepacs berpendapat semua petugas KKM yang dikategorikan sebagai barisan hadapan dan telah bertungkus lumus dalam menangani pandemik Covid-19 layak diberi RM 500 tanpa mengambil kira syarat tambahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adnan berkata demikian selepas meneliti surat edaran yang dikeluarkan kementerian terbabit pada 11 Feb lalu.

Menurutnya, terdapat perbezaan kadar dan kelayakan ketara dalam pemberian bantuan tersebut.

Berdasarkan surat terbabit yang dilihat Malaysiakini, kadar dan kelayakan bagi pemberian one-off telah ditetapkan kepada kadar penuh RM500 dan kadar separuh RM250.

Bagaimanapun, petugas KKM hanya layak mendapat kadar penuh RM500 jika telah dibayar Elaun Khas Covid-19 tahun lalu pada kadar penuh selama tiga bulan atau lebih.

Manakala mereka yang menerima elaun kurang daripada tiga bulan atau kadar separuh hanya layak menerima kadar separuh RM250.

Selain itu, petugas barisan hadapan perlu membuat tuntutan one-off ini secara manual dengan mengisi borang tuntutan.

Mengulas lanjut, Adnan berpendapat, KKM perlu menyerahkan kuasa kepada ketua jabatan untuk menentukan siapa petugas barisan hadapan yang layak untuk menerima one-off RM500.

“Sudahlah pemberian Elaun Khas Covid-19 penuh dengan dokumentasi dan pelbagai syarat sehingga petugas barisan hadapan merasa malas untuk menuntut elaun berkenaan.

“Kini pemberian one-off yang telah diumumkan untuk diberikan kepada semua petugas barisan hadapan KKM juga mahu diremehkan dengan pelbagai syarat dan kerenah birokrasi,” jelasnya sambil berharap KKM dapat menyelesaikan isu ini dengan segera.

Untuk rekod, kerajaan akan memberikan RM500 kepada kumpulan barisan hadapan KKM bagi menghargai jasa mereka mengekang Covid-19.

Imbuhan itu diumumkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada 6 November tahun lalu.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.