Syed Saddiq berjaya kutip RM196,668 beli tablet pelajar memerlukan
Selepas berjaya dengan kempen mencukur rambut untuk kempen 1 Keluarga 1 Laptop, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sekali lagi berjaya mengutip dana untuk membantu pelajar kurang berkemampuan di Muar, Johor.
Syed Saddiq yang juga MP kawasan itu berkata menerusi inisiatif #ThunderBOLD yang dilancar pada 2 Feb lalu, Pejabat Parlimen Muar menerima sumbangan berjumlah RM196,668.
Dana itu untuk membeli tablet bagi memudahkan pelajar kurang berkemampuan di Muar untuk mengikuti kelas dalam talian.
Awal bulan ini, bekas menteri belia dan sukan itu menawarkan kursus pendek dalam talian dan dia sendiri akan mengajar kursus yang merangkumi pemikiran kritikal, seni berpidato dan kemahiran menulis.
Menurutnya, orang awam boleh menyokong inisiatif itu sama ada mendaftarkan diri untuk kursus berharga RM200, menjadi penaja kepada pelajar lain atau membantu pelajar di Muar dengan menyumbang dana secara terus.
Syed Saddiq pada kenyataan hari ini berkata kursus pendek itu akan disertai 890 pelajar bermula 20 Feb ini.
"Tadi petang saya pergi sendiri dan buat urusan memilih tablet dengan kualiti yang sangat baik.
"Terima kasih sangat-sangat kepada semua yang terus menyokong Parlimen Muar dan para pelajar sekolah.
"Kepada yang sudah menyumbang, kita jumpa di kelas pertama pada 20 Februari, Sabtu ini," katanya di Facebook.
Ini kali kedua Syed Saddiq berjaya mengumpul dana bagi tujuan membeli tablet untuk kegunaan pelajar memerlukan sejak mencukur rambut dan meraih RM383,000 pada Disember tahun lalu.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.