Kuarantin 3 hari untuk menteri tidak logik, kata pakar kesihatan
Oleh Ragananthini Vethasalam
PAKAR kesihatan melahirkan kebimbangan dengan peraturan kuarantin selama tiga hari bagi menteri yang pulang dari tugas rasmi di luar negara kerana tiada bukti saintifik membuktikan status jangkitan Covid-19 seseorang dalam jangka waktu yang singkat.
Mereka juga mengecam kerajaan kerana sikap berat sebelah kerana rakyat biasa diwajibkan menjalani kuarantin 10 hari selepas kembali dari luar negara.
Profesor epidemiologi Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud dari Universiti Malaya memberitahu The Malaysian Insight tindakan itu tidak logik.
“Peraturan ini tidak logik. Ia datang pada saat ada kepercayaan menurun terhadap angka Covid-19 yang diumumkan oleh pihak berkuasa.
“Kepercayaan akan semakin terhakis disebabkan keputusan baharu ini.
“Saya tidak tahu asas peraturan baharu ini, tetapi saya sangat bimbang. Ada beberapa isu mengenainya. Pertama, nampaknya terdapat double standard di sini kerana peraturan ini tidak terpakai bagi mereka yang bukan menteri,” katanya.
Awang Bulgiba berkata langkah itu juga bertentangan dengan bukti saintifik yang ada saat ini, kerana tiada penemuan menunjukkan bahawa tiga hari sudah cukup untuk memastikan virus itu bebas daripada sistem.
Beliau juga membangkitkan kebimbangan yang strain virus berjangkit tertentu seperti B.1.1.7 dari UK, 501.V2 dari Afrika Selatan, P.1 dan P.2 dari Brazil dan L452R dari Denmark mungkin bertahan lebih lama daripada 10 hari.
Ini adalah alasan mengapa beliau mencadangkan agar tempoh kuarantin bagi kemasukan pelancong antarabangsa dilanjutkan menjadi 14 hari berbanding 10 hari sekarang.
“Saya sudah memberi amaran terhadap sikap double standard beberapa kali kerana tahap kepercayaan menurun ketika rakyat melihat double standard dalam pelaksanaan peraturan,” katanya.
“Apabila kepercayaan kepada pihak berkuasa kesihatan menurun, maka rakyat mungkin memilih untuk tidak mengikuti peraturan lain kecuali mereka berasa adanya pihak penguatkuasa.
“Secara sembunyi-sembunyi, mereka akan melanggar peraturan tersebut ketika kurangnya bahaya tertangkap dan penularan penyakit akan terus berlanjutan,” tambahnya.
Mulai hari ini menteri yang pulang dari tugas rasmi di luar negara akan dikecualikan dari Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Warta itu dikeluarkan semalam mengumumkan anggota Kabinet hanya perlu dikuarantin selama tiga hari dan bukannya tempoh wajib selama 10 hari jika mereka kembali dari luar negara.
Sejak pengumuman itu, netizen dan ahli politik mengecam keputusan itu kerana berlakunya berat sebelah
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.