Mencabut rasuah hingga ke akar umbi
Berdiri sama tinggi, duduk biarlah sama rendah. Peribahasa ini sangat sesuai diterapkan kepada semua orang tanpa mengira darjat, pangkat apalagi kedudukan apabila dirinya melakukan kesalahan rasuah, bukan ‘mengkastakan’ mengikut darjat yang ada pada diri mereka itu.
Sedarkah kita, negara Arab Saudi yang berada di peringkat ke-51 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International, menghadapi beberapa dekad isu rasuah akibat mengamalkan sikap ‘pilih kasih’?
Berikutan itu, kempen anti-rasuah yang digerakkan oleh negara itu telah menyebabkan puluhan penangkapan dilakukan sehingga akhir tahun lalu
Permulaan kempen ini sebenarnya telah dilakukan secara besar-besaran sejak 4 November 2017, ketika kerajaan memulakan dasar anti-rasuah baru, dan kempen itu adalah salah satu kempen paling besar dalam sejarah Arab Saudi yang mana lebih 3,000 orang ditangkap dan dituduh melakukan kes rasuah.
Sebagaimana kenyataan Putera Mahkota Saudi, Putera Mohammed bin Salman mengatakan bahawa rasuah telah tersebar dalam kerajaan Arab Saudi selama beberapa dekad yang lalu seperti barah, dan bahawa ia telah mengurangkan 5 peratus hingga 15 peratus daripada dapatan negara.
Ini bermaksud bahawa 5 peratus hingga 15 peratus menunjukkan prestasi yang lebih buruk sekurang-kurangnya dari segi perkhidmatan, projek, jumlah pekerjaan dan sebagainya. Bukan hanya selama satu atau dua tahun, tetapi secara kumulatif lebih 30 tahun!
Hinggakan hasil kempen anti-rasuah jelas menggusarkan mereka yang melakukan jenayah jahat itu. Impak besar daripada kempen tersebut, menjadikan jumlah hasil penyelesaian anti-rasuah mencapai 247 bilion riyal bagi tempoh tiga tahun terakhir, yang mewakili 20 peratus daripada jumlah pendapatan bukan minyak, selain aset lain dalam puluhan bilion riyal yang dipindahkan ke Kementerian Kewangan.
Bayangkan berapa angka yang dapat dihasilkan negara jika ‘pandemik rasuah’ itu tidak berlaku? Tentunya, angka-angka besar dapat kita lihat dan dengan lancar hasilnya dapat dinikmati negara dan rakyat jelata!
Boleh saja kita mengambil contoh sebagai puncak usaha besar ini dalam memerangi rasuah negara itu. Melalui khutbah Jumaat lebih 20,000 masjid di seluruh UAE pula mendesak integriti dan kejujuran, memerangi rasuah, memelihara wang rakyat dan keselamatan pihak yang melaporkan jenayah tersebut bertepatan dengan Hari Pencegahan Rasuah Antarabangsa tahun lalu.
Jauh kita menerobos isu rasuah di UAE, kita hinggap kembali di lapangan realiti tanah air kita, Malaysia.
Terus dedahkan salah laku rasuah
Hakikatnya, pencapaian markah 51/100 Malaysia pada tahun 2020 dalam tinjauan Indeks Persepsi Rasuah Transparency International sangat menyedihkan kita semua. Berapa banyak ketirisan kewangan akibat daripada rasuah ini terjadi di negara ini kian terserlah satu demi satu.
Isu ini dibangkitkan oleh Pengerusi Karangkraf, Datuk Haji Hussamuddin Yaacub dalam Persidangan Meja Bulat ‘Integriti dan Tata Kelola Negara: Di Mana Kedudukan Malaysia?’ yang dianjurkan Institut Darul Ehsan (IDE Selangor) pada 25 Februari lalu.
“Rasuah bukan isu orang Melayu, isu orang Islam, tetapi keseluruhan rakyat Malaysia tidak kira kaum, agama dan bangsa, sama ada pemberi atau penerima atau pemberi yang terpaksa. Ia adalah satu gejala atau pandemik yang sudah berakar umbi. Covid-19 baru datang tetapi rasuah telah lama berakar umbi.”
Pendedahan demi pendedahan yang dibongkarkan oleh sebuah syarikat media popular negara, Sinar Harian wajar diangkat, dipuji. Bukan itu sahaja, kita semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan inginkan negara yang aman makmur, wajar menyebarluaskan isu yang berlaku di negara ini.
Fenomena rasuah adalah satu bentuk fenomena global yang sangat meluas dan mendalam yang mengambil dimensi luas, yang mana faktor yang berbeza sukar dibezakan antaranya dan tahap kepelbagaiannya berbeza dari satu masyarakat ke masyarakat yang lain.
Jadi, semua ini memerlukan penubuhan sistem pemantauan yang strategik dan berkesan serta bebas yang tugasnya adalah untuk melaporkan dan membanteras sesuatu perbuatan rasuah yang dilakukan oleh pihak terbabit tanpa mengamalkan konsep pilih kasih, dari pihak atasan hinggalah rakyat bawahan.
Seperti penulisan saya sebelum ini yang bertajuk ‘Rasuah Busters: Jom perangi rasuah!’, saya tegas mengatakan bahawa ia memang bukan sesuatu yang mudah, namun ia wajib terus diperjuangkan agar jenayah berat ini dapat ditumpaskan dan tidak lagi berleluasa di negara kita ini.
Maka, seharusnya kita semua menyokong kempen ‘Rasuah Busters’ Sinar Harian ini selain menyahut kempen-kempen membanteras rasuah oleh badan bukan kerajaan seperti yang Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) laksanakan secara besar-besaran pada bulan Mac ini.
Melalui kenyataan media pada 26 Januari 2021 yang lalu, Ikram menyambut baik dan menyokong penuh gerakan rakyat Sinar Untuk Malaysia #KarakterNilaiMoralBangsa yang diusahakan oleh Datuk Hussamuddin Yaacub.
Dalam pada itu, Presiden Ikram, Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad menyeru semua rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama untuk menyambut gesaan ini bagi menyelamatkan negara daripada amalan rasuah yang kini telah sampai ke kemuncak sehingga negara boleh tergadai dan mandat rakyat tidak dihormati.
Dalam isu ini, peranan kerajaan tidak dapat diketepikan dan ia perlu dilihat kembali adakah pihak kerajaan telah menerapkan peraturan untuk memastikan adanya undang-undang yang adil, tegas dan keras bagi menemukan penyelesaian masalah besar yang telah berlegar sekian lama.
Musuh nombor satu negara
Sebagai musuh nombor satu negara, pendidikan mengenai bahaya rasuah perlu dipergiatkan sehingga negara kembali aman, makmur dan sejahtera tanpa ‘wabak’ yang sangat jahat ini.
Tidak terkecuali di mimbar-mimbar khutbah Jumaat dan ceramah, media perdana seperti TV1, TV3 dan Astro wajib memupuk kesedaran terhadap ‘penyakit’ ini kerana ini adalah ruang dan peluang rakyat mengetahui mengenai rasuah dan apakah implikasi besar yang akan berlaku apabila berleluasanya gejala itu.
“Sejarah turun naiknya pencapaian Malaysia dalam Corruption Perception Index (CPI) berlaku pada tahun 2014 dan 2019. Ini adalah dua titik tertinggi negara dalam membenteras rasuah,” kata Presiden Transparency Information Malaysia, Dr Muhamad Mohan dalam sidang meja bulat tersebut.
Dalam usaha kita semua menangani pandemik Covid-19, sewajarnya usaha membenteras gejala busuk yang membarah ini juga wajib dilakukan segigih #KitaJagaKita yang diguna pakai untuk menghindari virus ini.
Memetik kata-kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2020 lalu:
“Rasuah adalah tindakan jenayah yang tidak bermoral dan pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat, dan keburukannya lebih parah pada masa krisis ketika dunia sedang berjuang dengan pandemik Covid-19.”
“Dengan menangani virus ini, mewujudkan peluang baru untuk memanfaatkan pengawasan yang lemah dan ketelusan yang tidak mencukupi, kerana wang dialihkan daripada seseorang pada ketika mereka sangat memerlukan wang itu.”
Beliau berkata demikian pada 9 Disember 2020 dengan menegaskan bahawa rasuah adalah fenomena sosial, politik dan ekonomi yang kompleks yang mempengaruhi semua negara memandangkan rasuah merosakkan demokrasi, melambatkan pembangunan ekonomi dan menyumbang kepada ketidakstabilan kerajaan.
Lihat sahaja sebagaimana situasi negara kita ketika ini. Sepertinya, keadaan yang disebutkan itu sangat tepat dan mengena. Siapa punya angkara?
Pendidikan dan herdikan tanpa henti
Usaha terus-menerus tanpa henti oleh semua pihak untuk membanteras rasuah daripada akarnya, ia akan membawa banyak kebaikan kepada kepimpinan, negara dan rakyat serta menyentuh segala aspek bagi mencapai sebuah negara yang makmur.
Berjaya atau gagalnya usaha itu, ia akan menjadi faktor penyumbang kepada kemakmuran ekonomi, kelangsungan pembangunan serta menjauhkan negara daripada cengkaman barah ekonomi dan musuh pembangunan.
Mengikut kajian, punca berlakunya rasuah adalah disebabkan kurangnya keimanan dan ketakwaan.
Seseorang itu mengetahui bahawa rasuah dilarang oleh agama dan undang-undang, tetapi ia dilakukan juga kerana matanya dikaburi oleh harta duniawi, imbuhan dan ganjaran yang banyak, begitu juga kerana tekanan hidup seperti terlalu banyak hutang dan masalah-masalah lain.
Pendidikan berkaitan rasuah perlu didedahkan sedari kecil agar anak-anak faham dan tahu betapa rasuah itu adalah satu perbuatan yang jahat dan jenayah yang sangat dibenci agama. Ia perlu dilakukan secara berterusan agar kefahaman mengenai perkara itu semakin jelas dalam fikirannya.
Dalam program 25 Februari itu juga, mantan Pengarah Pendidikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Samad Kasah berkata:
“Apabila bercakap aspek pencegahan rasuah, terdapat tiga aspek penting yang perlu dilihat iaitu penguatkuasaan undang-undang, penambahbaikan sistem dan prosedur dan aspek pendidikan.”
Bukanlah semua ini tidak pernah didedahkan dalam mana-mana medium oleh mereka yang berpengaruh mahupun agamawan, pendidik atau pemimpin negara sebagaimana kata Hussamuddin, tetapi semua itu tidak masuk ke hati dan lebih kepada retorik. Segalanya perlu dinilai dan diteliti kembali antaranya sistem nilai.
Kita perlu terus mempergiatkan usaha melalui kempen yang didakan ini bagi membendung musuh nombor satu negara ini, seterusnya kita semua kembali kepada apa yang diperintah dan dilarang oleh yang Maha Esa.
Sebagai rakyat, teruskanlah #HerdikanSosial bagi membanteras segala rasuah dan ketidakadilan yang berlaku agar negara lebih makmur dan sejahtera serta menggapai negara rahmah yang aman, damai dan makmur yang menjadi impian semua umat.
Moga impian itu dapat kita rasai dan nikmatinya.———————-
Penulis adalah petugas Jabatan Penerangan dan Perhubungan, Pertubuhan Ikram Malaysia.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.