Ku Nan 'cabar' pengkritik Zahid masuk gelanggang pemilihan Umno
Tidak perlu bertelingkah dan mengaibkan kepimpinan parti sehingga membawa kerugian kepada Umno, kata Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini.
Jelas bendahari agung Umno pemimpin yang mengaibkan kepimpinan parti itu perlu "ukur baju dibadan sendiri" dan masuk ke gelanggang apabila pemilihan parti berlangsung.
Katanya, setiap ahli perlu berpegang kepada prinsip menghormati institusi kepimpinan Umno agar nama baik parti tidak tercemar dan dipandang serong oleh rakyat.
"Tak perlulah nak perburukkan parti atau mengaibkan imej kepimpinan yang ada, sebaliknya - jika benar-benar dah ukur baju di badan - apabila tiba masanya nanti letaklah nama dan bertandinglah dalam pemilihan.
"Sekarang ini, hormatilah institusi yang ada kerana mereka inilah yang telah mengemudi Umno malah sanggup berlawan dan menang dalam pemilihan Umno.
"Ingatlah, bukan hanya ahli parti tapi rakyat juga sedang menilai.
"Umno perlu rukun dan teguh untuk kembali menjadi teraju negara kerana perjuangannya tetap relevan demi agama, bangsa dan kedaulatan tanah air, dulu, kini dan selamanya Insya-Allah," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Sebelum ini Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menerima kecaman sebahagian daripada pemimpin Umno apabila parti itu membuat keputusan menamatkan kerjasama dengan Bersatu.
Bukan atas individu semata-mata
Antara pemimpin yang lantang mengkritik Ahmad Zahid ialah bekas setiausaha agung Umno, Annuar Musa.
Pada 6 Jan lalu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh meragui kenyataan yang mendakwa kononnya 189 daripada 191 bahagian Umno menolak kerjasama dengan Bersatu.
Jelasnya, berdasarkan maklum balas yang dikumpulkan daripada pemimpin bahagian parti hanya 99 bahagian yang menolak kerjasama dengan Bersatu.
"Seluruh bahagian di Malaysia hanya ada 191 bahagian, dua tidak mengadakan mesyuarat, yang mesyuarat hanya 189.
"Adakah awak yakin semua 189 termasuk Ketereh menyokong untuk tidak bersama Bersatu dalam PRU15?" kata Annuar.
Dalam pada itu Tengku Adnan yang mesra disapa Ku Nan menegaskan pemimpin yang menerajui Umno ketika ini adalah pejuang Umno sejati kerana tidak tunduk kepada tekanan supaya menggadaikan maruah parti.
Katanya, mereka yang mendakwa Umno sekarang tak ada hala tuju dan tidak memiliki masa depan adalah mereka yang gagal menghayati perjuangan Umno.
"Ahli-ahli Umno yang ada hari ini tentunya tahu benar bahawa sokongan ke atas parti bukan semata-mata atas individu atau ada kepentingan peribadi kerana jika itu yang jadi paksi tentunya parti tidak akan berdiri.
"Siapa para pemimpin Umno hari ini... sebenarnya merekalah pejuang parti kerana tetap bersama-sama ketika hilang kuasa, malah sanggup berdepan pelbagai kesulitan dengan tekanan yang bukan mudah, harga diri dipermainkan dan jadi mangsa perundangan terpilih yang terang-terang berlaku.
"Mana yang beralih sokongan maka akan terselamatlah dari cengkaman dan mana yang tinggal dalam Umno terimalah natijahnya, tak apalah kerana lillahi taala penentu segala," kata Tengku Adnan lagi - dipercayai merujuk kepada kes-kes mahkamah yang dihadapinya serta beberapa ahli parlimen Umno yang lain
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.