Ordinan Darurat Kuasa - Kuasa Perlu (No. 2) 2021
Oleh Dr Zulqarnain Lukman
1. Seperti yang pernah ditulis sebelum ini, Ordinan Darurat No. 2 menjelmakan kekhuatiran ahli Perlembagaan berhubungkait pemusatan kuasa kepada pihak eksekutif. Kuasa di bawah darurat ini amat besar dan sangat mudah untuk disalahgunakan. Bentuk negara moden mestilah ditadbirkan dengan undang-undang bertulis. Undang-undang bertulis perlu digubal oleh badan legislatif supaya mekanisme semak dan imbang itu terlaksana.
2. Kata Suruhanjaya Reid, peruntukan berkaitan darurat ini sepatutnya hanya perlu digunakan bila mana keadaan terlalu cemas yang tidak mampu ditangani dengan kuasa undang-undang biasa (grave situation arises which is beyond the power of ordinary law to combat). Adakah keadaan sekarang ini begitu mendesak sehingga pembuatan undang-undang tidak lagi perlu melalui proses demokrasi lazim?
3. Apabila kerajaan memproklamasikan darurat melalui Ordinan No. 1 sudah timbul kekhuatiran orang ramai tentang kuasa menggubal undang-undang yang begitu luas ini. Kekhuatiran itu akhirnya menjadi kenyataan apabila kerajaan tanpa konsultasi awam telah meminda Akta 342 dengan menaikkan kadar kompaun dari RM1000 kepada RM10,000. Seperti mana juga dijangka apabila BERNAMA melaporkan seramai 330 orang telah dikompaun dengan jumlah minima RM10,000 (malah ada yang kena kompaun sehingga RM50,000 atas perlanggaran 5 SOP) pada hari pertama penguatkuasaan maka ianya mendatangkan kemarahan ramai pihak khasnya pada masa ramai orang begitu susah untuk mencari makan sesuap nasi.
3. Apabila diwartakan pula Ordinan No. 2 ini kemarahan orang ramai bertambah membuak kerana Ordinan No. 2 telah mengambil hak dan kebebasan asasi rakyat. Sudahlah kebebasan asasi rakyat untuk bergerak telah disekat lebih setahun kerana PKP, kini kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat pula disekat tanpa konsultasi awam.
4. Lazimnya manusia ini tidak sedar kepentingan kebebasan asasi itu sehinggalah ianya disekat. Semakin lama kebebasan asasi itu disekat semakin mandom hati dan jiwa rakyat. Seekor harimau atau gajah yang liar akan menjadi jinak jika berterusan dikurung dan diberikan makan sekenyang-kenyangnya pada setiap hari.
5. Ordinan Darurat No. 2 ini jelas sekali akan menyekat kebebasan asasi rakyat untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat. Sesiapa yang melanggarinya boleh didakwa dan dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100 ribu dan 3 tahun penjara.
6. Walaupun Ordinan No. 2 ini mentafsirkan berita tidak benar ini kepada hal berkaitan Covid-19 dan proklamasi darurat sahaja tetapi ianya sudah cukup untuk menggerunkan orang ramai kerana skopnya yang sangat luas.
7. Bahkan, orang yang mendakwa air suam sebagai remedi untuk pencegahan Covid-19 juga boleh didakwa di bawah Ordinan No. 2 ini. Selain itu, Ordinan No. 2 ini akan mendedahkan tertuduh kepada perbicaraan yang berat sebelah. Ini kerana peruntukan Akta Keterangan juga boleh dilanggar begitu sahaja.
8. Maknanya, Mahkamah sudah tidak perlu menilai lagi sama ada bukti itu hanya bukti cakap dengar (hearsay) atau bukti itu dirampas secara tidak mengikut undang-undang atau ada pengakuan yang diperolehi dengan cara paksaan atau seksaan pun boleh diterima sebagai bukti. Bahkan cakap orang mati yang dah ditanam pun boleh diterima oleh mahkamah tanpa perlu menyelidiki kesahihannya. Hatta, jikalau bukti itu tersimpan dalam hardisk yang dilindungi dengan password pun pihak berkuasa boleh memaksa orang itu untuk mendedahkan passwordnya.
9. Pembuatan Ordinan No. 2 ini memang aneh kerana tatkala sebahagian Menteri PN yang dahulunya Menteri PH yang sama-sama mengusulkan untuk pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 (Akta 803) kini menyokong pula dibuat Ordinan yang seumpama Akta itu bahkan lebih teruk lagi berbanding Akta 803 kerana Akta 803 masih menghormati tatacara perbicaraan yang normal.
10. Melihat kepada perkembangan ini, nampaknya janji kerajaan semasa mula-mula proklamasi darurat ini dibuat pada Januari lepas bahawa kehidupan rakyat adalah seperti biasa tidak akan dikota. Bak kata orang, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta hak rakyat akan ditekan dengan pelbagai Ordinan aneh yang digubal tanpa proses demokrasi.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.