PAS, Umno bertembung semula di Terengganu, kata pemimpin akar umbi
Oleh Diyana Ibrahim
PEMIMPIN akar umbi Umno di Terengganu percaya parti gabungannya Barisan Nasional (BN) akan bertembung semula dengan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
Mereka percaya pertembungan itu sememangnya akan berlaku dan ada yang melihat perkara itu menguntungkan kedua-dua parti dan ada pula yang berpandangan sebaliknya.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, hubungan Umno Terengganu dengan PAS kini dingin biarpun kedua-dua parti diikat dengan kerjasama Muafakat Nasional (MN).
Malah kerjasama MN yang dibentuk pada 2019 sebenarnya tidak pernah wujud di Terengganu, kata salah seorang pemimpin bahagian, Apli Yusoff.
Di sebalik latar tersebut pula, kedua-dua parti sememangnya berhasrat untuk bertanding di semua kerusi di negeri itu, kata ketua bahagian Umno Kuala Nerus itu.
Apli menjelaskan, hubungan kedua-dua parti di Terengganu dingin kerana parti Melayu terbesar itu melihat tiada kejujuran di pihak PAS dalam kerjasama tersebut.
“Pengerusi Perhubungan Negeri Ahmad Said sudah jelas menyatakan Umno akan bertanding semua kerusi dan PAS pun beri kenyataan sama.
“Memang betul penyatuan ummah ini benda bagus tapi tak ada keikhlasan pihak satu lagi(PAS) sebab itu kita tak boleh terima perkara ini, “ katanya yang menjelaskan situasi di Terengganu.
Dengan itu PAS dan Umno dijangka bertembung di semua kerusi, lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi negeri, walau kedua-duanya bekerjasama dalam MN.
Pemimpin Umno melihat kerjasama yang dibentuk sejak selepas pilihan raya umum 2018 menemui jalan buntu di Terengganu kerana tiada kata putus mengenai isu pembahagian kerusi.
Perkara itu dinafikan oleh Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar, namun Ahmad Said sekali lagi pada Ogos menyebut kerjasama PAS dan Umno dalam MN tidak berlaku di Terengganu.
Sewaktu persidangan DUN, bekas menteri besar itu juga secara terbuka menyatakan PAS masih lagi dengan perangai lama sebagai lawan Umno.
Masalah hubungan PAS dengan Umno itu juga dikesan melalui satu video yang tular minggu lalu, didakwa sebagai rakaman ucapan Ketua Pemuda Umno Asraf Wajdi Dasuki.
Ucapan didakwa dirakam dalam program tertutup bersama jentera dan pemimpin sayap itu di Terengganu menggambarkan kerjasama MN akan putus dan Umno sedia menentang PAS.
“Alhamdulillah, Umno Terengganu kalau dibunyikan semboyan dan dipalu gendang perang, kalau ditakdirkan kita terpaksa masuk dalam gelanggang dalam keadaan kita sebagai BN serta melawan PAS sebagai kerajaan negeri, Umno Terengganu sudah bersiap-siaga,” ucapan dalam rakaman itu dipetik.
Asyraf bagaimanapun menafikan membuat ucapan berkenaan dan PAS negeri menafikan mereka memutuskan kerjasama dengan Umno dan sebaliknya akan terus komited dengan MN.
Satu lagi perkembangan yang menarik perhatian ialah majlis pelancaran jentera pilihan raya Perikatan Nasional melibatkan PAS dan Bersatu yang dipandang sepi oleh Umno.
Mengulas mengenai acara itu, Sapli berkata Umno Terengganu tidak mahu mencampuri urusan kedua-dua parti tersebut seperti majlis yang pengerusikan Ahmad Samsuri itu pada Isnin.
Sebaliknya, Umno Terengganu mahu menumpukan kepada usaha memperkasa BN, kata Sapli yang menambah mereka juga akan turut melancarkan jentera pilihan raya sendiri untuk negeri itu.
Hubungan Umno Terengganu dengan PAS kini dikatakan dingin biarpun kedua-dua parti diikat dengan kerjasama Muafakat Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2021.
Hubungan Umno Terengganu dengan PAS kini dikatakan dingin biarpun kedua-dua parti diikat dengan kerjasama Muafakat Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2021.
Bentuk MN selepas PRU15
Ketua Bahagian Kuala Terengganu Wan Hisham Wan Salleh pula berkata Umno tidak mengganggap keputusan untuk bertanding di semua kerusi dilihat sebagai menentang PAS.
Sebaliknya beliau berkata pendirian Umno itu bertujuan untuk meraikan demokrasi dan memberi pilihan kepada rakyat dalam pilihan raya.
Jelasnya lagi, kerjasama MN seterusnya boleh dibentuk selepas PRU15 dan kedua-dua Umno dan PAS Terengganu masih lagi berhubung.
“Itu normal. PN gabungan Bersatu dan pasti mereka mahu ada jentera untuk persiapan politik. Kita juga ada jawatankuasa MN di Terengganu. Kita tak bubar lagi cuma tak bermesyuarat saja tapi masih ada lagi hubungan,” katanya.
Katanya, pertembungan Umno dan PAS dalam pilihan raya juga sepatutnya dilihat sebagai perkara positif.
“Sebenarnya kita bukan nak lawan PAS. Kita cuma nak beri rakyat pilihan sebagai negara demokrasi sebab ancaman( PH) sudah tak ada.
“Jadi bukan nak lawan PAS cuma nak beri rakyat pilihan di kalangan terbaik. Bagi saya ayat lawan ini konotasi yang negatif,” katanya.
Ketua Pemuda Umno Terengganu Tengku Haphiz Tengku Putera pula menafikan kebimbangan apabila PAS melancarkan jentera bersama Bersatu tanpa perbincangan rasmi dengan partinya.
Ujarnya, Umno memahami PAS cuba untuk kekal komited dalam PN namun tindakan itu dilihatnya tidak dapat memulihkan hubungan MN di Terengganu.
Ini kerana Bersatu sudah mengumumkan hasrat untuk bertanding di kerusi Umno, katanya.
“Kita tertanya-tanya kalau jawatankuasa itu (jawatankuasa pilihan raya PN) hanya di peringkat dalam PAS. Sebagai contoh PAS bersama dengan Berjasa dalam Gagasan Sejahtera.
“Kita faham sebab pertandingan (Berjasa) tak libatkan kerusi Umno. Tapi Bersatu dah buat pengumuman rasmi mereka akan bertanding di mana Umno bertanding.
“Bersatu nak lawan nak kukuhkan kerusi mereka di kawasan Umno. Jadi kita tak boleh tunggu,” katanya lagi.
Jelasnya, jika Umno tidak bertindak dan berdiam diri tanpa menganjurkan perbincangan, hubungan dengan PAS tidak akan pulih.
“Kalau kita tunggu PAS hanya merasmikan PN dan kemudian tak ada perbincangan rasmi dengan Umno dalam soal politik bagi saya itu bukan satu perkara pulihkan hubungan MN di Terengganu.”
Namun pada masa sama, beliau optimis kerjasama MN di negeri itu tidak boleh diukur dengan pembahagian kerusi dan pilihan raya semata-mata.
Beliau berkata kedua-dua Umno dan PAS merupakan parti dominan di Terengganu yang mempunyai demografi politik berbeza dengan negeri lain.
Oleh itu, Umno dan PAS mesti bertanding dalam pilihan raya umum kerana itu merupakan kehendak rakyat, katanya yang bimbang kerjasama akan menyebabkan kedua-dua parti kecundang.
“Umno dan PAS mesti menjadi sebuah parti pilihan kepada rakyat. Sebagai contoh kita pernah jadi satu pasukan dalam pilihan raya 1974, di mana PAS bersama dengan BN dan kita bersama dengan BN.
“Apa berlaku pada waktu itu calon bebas memang satu kerusi. Dan calon parti PSM hampir menembusi kerusi di Terengganu.
“Jadi saya nak beritahu risiko itu jika ambil pendekatan MN untuk pembahagian kerusi masa pilihan raya saja,” katanya.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.