https://critoxium.com/shop/

Terkini

Setahun rampasan kuasa Sheraton – mengapa Chin Tong kekal optimis


 BANYAK cerita yang boleh saya kongsikan mengenai rampasan kuasa setahun lalu. Tetapi, mungkin saya simpan kisah tersebut untuk hari yang lain.

Hari ini, saya ingin jelaskan mengapa saya masih kekal optimis biarpun setelah apa yang berlaku.  

Jika kita bandingkan dengan sejarah terdekat Amerika Syarikat, kita boleh umpamakan pentadbiran Obama seperti pentadbiran Pakatan Harapan, dan zaman Perikatan Nasional seperti pentadbiran Trump.

Gabungan Biden pula dijangka akan membawa sedikit kewarasan apabila pasukan beliau menerajui negara.

Tentunya, keadaan boleh menjadi buruk atau lebih teruk daripada itu. Misalnya, katakan Muhyiddin Yassin mendapat tahu yang gabungan politik beliau mungkin kalah teruk dalam pilihan raya akan datang, beliau mungkin akan melanjutkan perintah darurat. Jika perkara ini berlaku, keadaan kita tak ubah seperti Myanmar.  

Sebaliknya, terdapat juga beberapa sebab mengapa kita masih boleh bersikap optimistik.

Sebelum itu, kita perlu menjawab satu persoalan: adakah kemenangan pada tahun 2018 satu kebetulan atau sorotan daripada aturan struktur?

Kalau kita lihat daripada 165 kerusi parlimen di Semenanjung, gabungan besar pembangkang menang 55 kerusi dalam tiga pilihan raya berturut-turut (2008, 2013,2018).

Baki 10 kerusi lagi telah dimenangi dalam dua pilihan raya berturut-turut (2013,2018).

Sekiranya pilihan raya umum diadakan hari ini, kemungkinan besar kesemua 65 kerusi ini masih dimenangi gabungan besar pembangkang. Tidak kiralah apa komposisinya sekalipun. 

Umno hanya memenangi 46 kerusi di Semenanjung pada pilihan raya lepas ketika mereka di saat paling lemah dari sudut reputasi dan kepemimpinannya.

Tanpa kluster mahkamah yang korup, beserta pembaharuan kepemimpinan dan sikap rendah diri, mungkin ditambah dengan permohonan maaf secara ikhlas, Umno berkemungkinan boleh memenangi kesemua 46 kerusi ini dengan selesa, walaupun bertembung dengan Bersatu atau PAS.  

Baki 54 kerusi daripada 165 kerusi di Semenanjung akan menjadi kawasan penentu. Mana-mana gabungan parti yang berjaya mendapat lebih 100 kerusi di Semenanjung, mereka akan membentuk kerajaan.

Pada malam pilihan raya 2018, Pakatan Harapan telah memenangi 98 kerusi di Semenanjung. 

Pakatan Harapan memenangi pilihan raya lepas kerana ia memenangi kerusi campuran separa bandar dengan majoriti Melayu, seperti Pagoh, yang mempunyai 64 peratus pengundi Melayu dan selebihnya pengundi bukan Melayu.

Struktur ini masih belum berubah. Dengan struktur yang sedia ada, tidak mustahil Muhyiddin dapat ditewaskan di Pagoh.

Selain itu, pada malam pilihan raya, Pakatan dan sekutunya di Sabah, Parti Warisan, berjaya memenangi 14 kerusi secara bersama manakala PKR dan DAP di Sarawak telah menang 10 kerusi.

Barisan Nasional (BN) Sarawak hanya memenangi 19 kerusi daripada 31 kerusi.

Saya mendapat tahu daripada beberapa orang rakan saya dalam BN yang mereka telah menduga nasib mereka setelah melihat melihat keputusan ini.

Struktur yang memberi ruang kepada gabungan pembangkang untuk memenangi 65 kerusi di Semenanjung masih belum berubah.

Cabarannya sekarang adalah bagaimana untuk memenangi 35 kerusi seterusnya untuk mencapai sekurang-kurangnya 100 kerusi.  

Rampasan kuasa Sheraton merupakan langkah yang melangkaui kemampuan bagi mereka yang termakan dengan idea hanya kerajaan bersifat Melayu adalah baik untuk orang Melayu.

Tempoh setahun lepas jelas membuktikan bahawa, hanya kerana kerajaan itu bersifat Melayu tidak bermakna ia memberi manfaat kepada orang Melayu, apatah lagi untuk seluruh rakyat Malaysia.

Orang Melayu sendiri merasakan sikap “dua darjat” pentadbiran Muhyiddin begitu menebal.

Mereka yang mentadbir atas alasan perjuangan Melayu juga yang banyak mendatangkan mudarat kepada kehidupan kebanyakan orang Melayu. 

Golongan muda di Malaysia tidak rela diperbodohkan ahli politik. Mereka yang berusia bawah 30 tahun tidak pernah hidup tanpa internet.

Mereka membesar meragui figura berkuasa. Jika ibu bapa mereka memberitahu sesuatu, mereka akan segera melayari Google untuk melihat apa yang dinyatakan dalam Wikipedia.

Malah, anak muda tidak mudah mempercayai pandangan ibu bapa mereka dan kita tak tidak boleh beranggapan mereka akan tunduk kepada pihak berkuasa. 

Perkara ini perlu disedari oleh ahli-ahli politik semua parti. Anak muda yang berumur 30 tahun ke bawah tidak lagi mencari adiwira tunggal seperti Superman atau Batman.

Mereka lebih cenderung memilih kepemimpinan seperti Avengers yang mengutamakan kerjasama berkumpulan.

Sama ada Dr. Mahathir Mohamad mahupun Anwar Ibrahim, era Superman sudah berakhir. Pemimpin perlu dilihat sebagai dalam satu pasukan dan dilihat dapat bekerjasama.

Hal ini membawa kita pula kepada persoalan mengenai persepsi kepopularan Muhyiddin.

Penilaian ini dibuat dengan titik rujukan yang lama. Muhyiddin mungkin nampak lebih popular sekarang jika dibandingkan dengan individu lain seperti Dr, Mahathir atau Anwar.

Namun, kepimpinan Muhyiddin tidak diukur dengan membandingkan prestasi pasukan beliau.

Apabila kita mula bandingkan –Dr. Wan Azizah Wan Ismail lawan (lwn) Rina Harun; Dr. Dzulkefly Ahmad lwn Dr. Adham Baba; Anthony Loke lwn Ir. Dr. Wee Ka Siong; Darell Leiking lwn Azmin Ali dan yang lain-lain – jelas sekali pasukan Muhyiddin hanya mencetuskan kemarahan pengundi. 

Ini adalah pengajaran yang perlu dipelajari segera oleh gabungan besar pembangkang.

Ia bukan lagi soal individu, tetapi pengundi memilih sebuah pasukan kepemimpinan yang berfungsi. Lagipun, Malaysia mengamalkan sistem parlimen Westminster, bukan presiden. Tiada lagi Superman, tetapi kita perlu mencontohi Avengers. 

Krisis Covid-19 telah mengajar dunia untuk menilai kepimpinan dengan pendekatan baharu.

Oleh sebab krisis berlaku serentak di seluruh dunia yang dihubungkan melalui internet, tiada siapa yang dapat menyembunyikan kelemahan mereka.

Kes positif Covid-19 dan kadar kematian dibandingkan di seluruh dunia. Kecekapan negara memperoleh vaksin pun dibandingkan dengan negara jiran kita.  

Seseorang tidak lagi boleh berpura-pura bijak jika beliau tidak. Orang awam mahukan kepemimpinan yang cekap dan berempati. Setiap faktor ini atau kekurangannya akan membawa akibat yang besar kepada orang ramai. 

Politik dan dasar awam bukanlah hanya persembahan sahaja. Ia adalah soal hidup dan mati. 

Dan orang awam telah belajar mendengar pendapat pakar dan menolak ahli-ahli politik yang tidak memahami sains.

Hal ini adalah antara pengajaran yang telah meresap dalam kesedaran awam secara beransur-ansur.

Trend ini tidak akan pergi begitu sahaja selepas lenyapnya Covid-19. Sains dan penggubalan dasar berdasarkan fakta akan dinilai dengan lebih baik. 

Proses penggubalan dasar secara spontan melalui sidang media pemimpin, kepemimpinan tidak berkemampuan, tanpa timbang rasa atau sombong atau pendekatan “dua darjat”,  akan dibenci.  

Pasukan Muhyiddin masih terperangkap dengan pemahaman kepemimpinan yang lapuk.

Setelah genap setahun rampasan kuasa Sheraton, sudah tiba masanya buat semua seteru Muhyiddin untuk berganding bahu dan berusaha memenuhi harapan rakyat untuk mendatangkan kepemimpinan yang berwibawa, berempati dan didorongi sains dan fakta. 

Sebab itu, saya masih kekal optimis.  – 1 Mac, 2021.

* Liew Chin Tong merupakan Pakar strategi DAP dan bekas ahli Parlimen Kluang, Johor.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.