Tiga penerima dos pertama vaksin COVID-19 di Singapura alami alergi
SINGAPURA: Lebih 113,000 individu di Singapura menerima dos pertama vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech manakala lebih 50 individu menerima dos kedua mereka, sekali gus menyempurnakan regimen penuh vaksinasi, setakat 27 Januari lalu.
Antara lebih 113,000 individu yang menerima vaksin itu, 432 kesan sampingan dilaporkan termasuk tiga kes anafilaksis iaitu permulaan reaksi alergi yang teruk.
"Anafilaksis adalah kesan sampingan diketahui namun jarang berlaku terhadap vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech," kata Pengarah Perkhidmatan Perubatan di Kementerian Kesihatan (MOH), Prof Madya Kenneth Mak dalam kenyataan semalam.
Seperti vaksin lain, Mak berkata, akan terdapat sebilangan kecil individu yang mudah mengalami reaksi alergi yang teruk semasa vaksinasi.
"Kami mengambil langkah berjaga-jaga seperti saringan pravaksinasi dan pemerhatian pasca-vaksinasi bagi memastikan program vaksinasi kami dapat dilaksanakan dengan selamat.
"Kesemua tiga kes anafilaksis menerima rawatan segera dan berada dalam keadaan baik," katanya.
Menurut kenyataan itu, individu terbabit berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an, mengalami pelbagai gejala seperti ruam, sesak nafas, bibir bengkak, sakit tekak dan pening.
"Ketiga-tiga individu terbabit mempunyai sejarah alergi termasuk rinitis alergi dan alergi makanan seperti kerangan namun tidak mempunyai sejarah anafilaksis yang akan mengecualikan mereka daripada menerima vaksin itu," katanya.
Sementara itu, kebanyakan yang lain melaporkan gejala biasa seperti bengkak serta kesakitan di tempat suntikan, demam, sakit kepala, keletihan, sakit badan, pening, rasa mual dan reaksi alergi iaitu gatal, ruam bengkak mata atau bibir.
Meskipun menjangkakan terdapat keperluan seperti ini, MOH berkata, pihaknya akan memperkenalkan satu program bantuan kewangan kecederaan vaksin bagi vaksinasi COVID-19 (VIFAP).
Katanya, ia adalah bantuan kewangan kepada mereka yang terjejas
sekiranya berlaku kesan sampingan yang dinilai mempunyai kaitan dengan
vaksin COVID-19 yang diberikan di Singapura. - BERNAMA




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.