https://critoxium.com/shop/

Terkini

Anwar, PH perlu campur tangan isu nyah warta Hutan Simpan Kuala Langat Utara, kata NGO


PETALING JAYA: Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Alam Sekitar (COEN) meminta pemimpin utama Pakatan Harapan untuk campur tangan dan menolak cadangan menyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) untuk tujuan pembangunan.

Shariffa Sabrina Syed Akil yang mewakili COEN berkata, pelaksanaan projek berkeluasan kira-kira 930.93 hektar di kawasan itu bukan sahaja melanggar hak asasi manusia dari segi hak tanah tetapi juga hak untuk hidup di persekitaran bersih dan selamat.

“Kerajaan negeri mesti mempertahankan status warta hutan simpan berkenaan agar dikekalkan dan dipelihara dengan baik supaya khazanah alam tidak terjejas pada masa akan datang.

“Saya dan COEN tidak bersetuju dengan alasan diberikan kerajaan negeri Selangor untuk mengadakan hutan ganti selepas penyahwartaan hutan tersebut dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi.

Sabrina yang juga Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) berkata, cadangan untuk mengadakan hutan ganti selepas penyahwartaan HSKLU menunjukkan bahawa kerajaan negeri pimpinan Amirudin Shari itu tidak memiliki kefahaman jelas berkenaan sifat dan keadaan semula jadi biodiversiti tempatan.

“Ini kerana HSKLU merupakan salah satu daripada hutan paya gambut yang begitu sedikit yang masih wujud di bahagian selatan negeri Selangor dengan kepelbagaian spesies unik.

“Cadangan bahawa hutan ‘boleh ditukar’ dan boleh ‘dipotong dan ditampal’ kepada empat kawasan hutan ganti yang lain menunjukkan bahawa menteri besar kurang faham hubung kait antara hutan dengan hidrologi serta biodiversiti tempatan,” katanya.

Katanya, pembangunan di hutan simpan berkenaan akan mengakibatkan perubahan yang jelas kepada iklim di kawasan itu, spesies yang hidup di persekitarannya dan komuniti yang tinggal berdekatan.

Sabrina berkata, pihaknya dimaklumkan Exco Selangor akan bermesyuarat esok (Rabu) bagi dapatkan konsensus kelulusan Exco untuk menyahwartakan hutan berkenaan.

Selain menyerahkan surat bantahan kepada menteri besar, surat yang ditandatangani 23 NGO itu juga turut dihantar kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo.

Untuk rekod dalam pentadbiran Selangor, PKR mempunyai enam wakil exco, DAP tiga dan dua lagi dari Amanah.

Sementara itu, Setiausaha Otai Reformasi Abdul Razak Ismail berkata, pihaknya akan mengguna apa juga cara untuk menghalang usaha memansuhkan dan menyahwarta hutan simpan berkenaan.

NGO yang juga penyokong kuat Anwar itu turut menuntut kerajaan negeri menunaikan janji yang diluluskan dewan undangan negeri (DUN) Selangor untuk mempertahankan status pewartaan hutan simpan dan memeliharanya dengan baik pada Nov 2020.

Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang diwartakan pada 13 Mei 1927, terletak di mukim Tanjung 12, daerah Kuala Langat, Selangor mula menjadi perhatian umum susulan notis penyiasatan awam di bawah Seksyen 11 Akta Perhutanan Negara Enakmen (Pemakaian) 1985 (Subkaedah 7(2)) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada awal tahun lalu.

Notis itu, yang bertujuan mendapatkan pandangan umum berikutan cadangan pemansuhan pewartaan hutan tersebut, mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat terutama komuniti Orang Asli yang bergantung hidup dengan sumber hutan sejak ratusan tahun lamanya.

Kumpulan aktivis dan NGO alam sekitar juga turut mengancam untuk mengheret kerajaan Selangor ke mahkamah sekiranya ia berkeras mahu memansuhkan hutan simpan berkenaan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.