https://critoxium.com/shop/

Terkini

Solusi Muhyiddin dikecam, tidak seharusnya cuba iktiraf negara haram Israel


Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seolah-olah mengiktiraf negara haram Israel apabila menyeru untuk segera mewujudkan dua negara atau ‘two state solution’ iaitu Palestin dan Israel sebagai solusi kepada konflik yang sedang berlaku.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mengecam tindakan itu dan menegaskan bahawa Malaysia sepatutnya menyokong hak rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka atau ‘the right to return’.

Jelasnya, apabila rakyat Palestin dapat kembali ke negara mereka termasuk di bumi yang dipanggil Israel pada hari ini, mereka berhak menubuhkan kerajaan yang mereka mahukan.

“Jika majoriti memilih pemimpin beragama Islam, maka bumi tersebut dipimpin oleh orang Islam. Kalau majoriti memilih kaum Yahudi, maka mereka boleh juga menjadi pemimpin di situ.

“Yang penting berikan hak kepada rakyat Palestin yang diusir dari tanah air mereka ini sejak tahun 1948 untuk kembali ke Palestin.

“Ini yang perlu disegerakan, bukannya mengiktiraf kewujudan negara haram Israel,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, Malaysia sepatutnya mengiktiraf satu negara Palestin yang didiami oleh berbagai kaum dan agama, termasuk hak rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka dan bukannya berusaha wujudkan dua negara.

“Jika dua negara bermakna kita mengiktiraf wujudnya negara Zionis Israel.

“Kita menentang keras usaha Malaysia yang diketuai Muhyidin untuk mewujudkan dua negara Palestin dan Israel, sebaliknya kita mahu semua rakyat Palestin kembali ke kampung halaman mereka di bumi Palestin dan tidak ada nama kerajaan Israel di sana.

“Yang ada hanyalah Palestin,” katanya lagi.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.