https://critoxium.com/shop/

Terkini

Takiyuddin tak salah, tetapi titah Agong perlu dilaksana segera


Oleh Khairul Naim Rafidi

Malaysia kecoh dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berkenaan tafsirannya tentang titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Takiyuddin menyatakan bahawa baginda tidak memperincikan bila sidang Parlimen perlu diadakan dan berpandangan bahawa perkataan yang digunakan baginda adalah “secepat mungkin.”

Secara undang-undang, tidak sukar untuk menghadam dan memahami situasi yang berlaku.

Pertama sekali, terdapat sesetengah yang berpandangan kononnya hanya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sahaja yang mempunyai kuasa untuk menentukan bila sebenarnya sidang Parlimen harus dimulakan. Hal ini telah dihujahkan dengan merujuk Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu Agong hendaklaH bertindak atas nasihat Jemaah Menteri.

Pada hemat saya, perkara ini sebenarnya adalah kurang tepat dan dapat disangkal secara undang-undang dengan merujuk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, melalui Seksyen 14(1), seperti yang dinyatakan:

Persidangan Parlimen

14. (1) Bagi tempoh darurat berkuat kuasa –

(a) Peruntukan yang berhubungan dengan memanggil, memprorog dan membubarkan parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai kesan; dan

(b) Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

Justeru, selagi mana darurat masih berlangsung, maka undang-undang ini terpakai.

Adalah terang lagi bersuluh bahawa segala perkara yang melibatkan tindakan untuk memanggil Parlimen bersidang mesti menurut undang-undang darurat yang dibuat kerajaan sebelum ini.

Dalam kata mudah, Agong telah membuat suatu tindakan yang wajar, sah dan menurut intipati undang-undang sebagai Raja Berperlembagaan.

Kedua, ramai yang mengkritik keras kenyataan Takiyuddin tentang tafsirannya itu.

Seperkara yang menarik, beliau secara teknikalnya tidak salah.

Jika membaca peruntukan Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat, baginda sememangnya diberi kuasa oleh undang-undang yang dibuat oleh kerajaan memerintah untuk memanggil sidang Parlimen pada “suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai”.

Oleh itu, pendapat Takiyuddin bahawa tiada perincian dalam titah baginda tidak boleh dikatakan 100% salah.

Dalam isu ini, Agong boleh memberikan tarikh sebagai suatu tindakan untuk menguatkuasakan peruntukan Seksyen 14 Ordinan Darurat tersebut secara tegas.

Selanjutnya, harus diingatkan bahawa kerajaan memerintah perlu mematuhi undang-undang yang digubalnya sendiri kerana darurat masih lagi berkuatkuasa.

Parlimen tidak boleh terus dibiarkan bersawang kerana suara rakyat akan dibungkam dan didiamkan.

Walaupun secara teknikalnya kenyataan Takiyuddin itu tidak salah, tetapi titah Agong juga harus dilaksanakan dengan kadar segera demi kemaslahatan negara dan rakyat yang sedang berdepan dengan malapetaka besar Covid-19.

Akhir sekali, saya ingin menyatakan bahawa perbincangan khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun lalu berkenaan isu wabak Covid-19 menunjukkan bahawa Raja-Raja Melayu turut sama bersekutu memelihara piagam pembelaan rakyat yang memelihara antara satu sama lain seperti yang pertama kali dibuat oleh Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba di zaman purba dahulu. Daulat Tuanku!

Khairul Naim Rafidi adalah seorang Peguambela dan Peguamcara yang beramal di Tetuan Khairul Naim Rafidi dan menetap di Port Klang, Selangor. Penulis boleh dihubungi melalui laman facebook Khairul Naim Rafidi atau Messrs Khairul Naim Rafidi.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.