https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mahiaddin dan Takiyuddin sudah derhaka?

Oleh Mohd Sayuti Omar


 KENYATAAN Istana Negara yang dikeluarkan hari ini seperti memberi tanda akan berakhirnya penantian rakyat daripada sidang khas parlimen berlangsung sekarang yang  diharapkan ia memberi hasil dan keputusan boleh merungkai masalah yang sedang dihadapi kerajaan kini.

Walaupun tujuan sidang khas itu dipanggil untuk membicarakan pandemik Covid-19, tetapi apa yang menjadi agenda tersembunyi, ialah untuk melihat apakah natijah dan kesudahan Mahiaddin Md Yassin sebagai perdana menteri dan kerajaannya (PN) yang dibentuk hasil pencurian.

Ramai yang menunggu sidang itu akan memberi jawaban kepada kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan sudah hilang majoriti itu. Sidang yang berlangsung sekarang ini mahu dijadikan penentu mendapat keabsahan kerajaan PN dan Mahiaddin yang didakwa sudah lama hilang. 

Namun setelah tiga hari bersidang, tidak nampak mesyuarat akan membincang atau membawa perkara itu ke dalam mesyuarat. Tidak ada apa-apa agenda atau perkara yang boleh dilakukan pengundian satu-satu mekanisme bagi menentukan keabsahan itu. Speaker yang jelas berpihak kepada kerajaan mencari sejuta dalih dan helah agar tidak berlaku apa-apa pengundian demi menyelamatkan Mahiaddin dan kerajaannya.

Bagiamana pun takdir dan kehendak Allah itu tidak dapat siapa atasi. Kenyataan spontan Menteri Undang-Undang (Onde-Onde) Takiyuddin Hassan pada sidang 27 Julai yang memaklumkan semua ordinan darurat telah dimansuhkan (revoke) pada 21 Julai menjadi isu baru yang hangat di dewan.

Kenyataan itu menjadi senjata ampuh kepada pembangkang untuk menyerang kerajaan. Pengumuman ahli parlimen Kota Bharu itu membawa celaka kepada kerajaan PN dan Mahiaddin, apabila ia membabitkan Perlembagaan dan membelakangkan Yang di-Pertuan Agong.

Pengumuman Takiyuddin itu mengejutkan dan menjadi persoalan apakah ia mendapat perkenan Agong atau pun tidak. Walaupun kerajaan diasak berkali-kali untuk menjelaskan perkara itu, tetapi ia didiamkan sahaja dan diminta agar tunggu hingga Isnin untuk dijelaskan. Speaker melindungi Takiyuddin daripada menjawab seperti induk melindungi anak dari disambar Helang.

Hari ini, perkara itu terbongkar dan menjadi anti klimaks apabila Istana Negara mengeluarkan kenyataan yang sungguh mengejutkan dan berat untuk dipikul oleh Mahiaddin dan Takiyuddin, apabila Istana memaklumkan bahawa pembatalan ordinan itu tidak dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Billah Shah. Telahan Anwar sebelum ini benar.

Kenyataan dua muka surat itu yang telah dibaca oleh Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam dewan semasa perbahasan pembentangan pakej rangsangan ekonomi ketika ia dibahas oleh wakil Bagan (Lim Guang Eng).

Pembacaan kenyataan Agong oleh Anwar itu mengejutkan semua ahli parlimen dan menggemparkan negara.

Kenyataan itu menyebut pembatalan itu juga jelas tidak menghormati Yang diPertuan Agong, sehingga Agong menzahirkan rasa DUKACITA.

Pengumuman dibuat oleh Takiyuddin sudah tentu atas "perkenan" Mahiaddin itu juga sebagai mengelirukan parlimen dan membelakangkan Yang di-Pertuan Agong.

Dengan kenyataan dan penzahiran DUKACITA Yang diPertuan Agong itu kedudukan dan maruah Mahiaddin dan Takiyuddin serta seluruh kerajaan "jatuh berdebak". Mereka perlu bertanggungjawab atas kekhilafan itu dan tindakan terbaik dan terhormat bagi Mahiaddin ialah BERUNDUR tidak ada alternatif lain lagi.

Belum pernah berlaku dalam sejarah negara ini seorang perdana menteri boleh mempermain-main dan membelakangkan Yang di-Pertuan Agong sesuka hati begitu sahaja kerana semata-mata untuk mempertahankan kedudukan peribadi.  


 

*Kenyataan Agong disertakan di atas.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.