https://critoxium.com/shop/

Terkini

Saifuddin: Walau perlu ikut nasihat jemaah menteri, Agong bukan 'rubber stamp'

 


Tindakan seolah-olah Yang di-Pertuan Agong sebagai "rubber stamp" adalah salah walaupun tuanku memang perlu bertindak atas nasihat jemaah menteri, menurut Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata, selain mendapatkan nasihat, Agong juga berhak memberi nasihat dan peringatan kepada perdana menteri dan jemaah menteri.

"Saya amat kesal membaca kenyataan media Pejabat Perdana Menteri (PMO) bertarikh 29 Julai yang membalas kenyataan Istana Negara, yang bukan sahaja biadab dan tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong tetapi juga telah dengan jelas membelakangi tuanku sebagai Raja Berperlembagaan.

"Walaupun Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan tuanku perlu bertindak di atas nasihat jemaah menteri, amatlah salah untuk kita perlakukan tuanku hanya sebagai ‘rubber stamp’ atau sebagai ‘pak turut’ kepada jemaah menteri walaupun nasihat itu jelas salah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Istana Negara antara lain berkata Yang di-Pertuan Agong amat dukacita susulan makluman kerajaan kepada parlimen bahawa ordinan darurat dibatalkan pada 21 Julai, sedangkan ia tidak mendapat perkenannya.

Istana berkata tindakan mengelirukan Dewan Rakyat itu bercanggah dengan persetujuan dalam majlis menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara Idrus Harun pada 24 Julai - supaya ia diungkai di parlimen.

Susulan itu, PMO berkata pembatalan ordinan darurat dibuat secara teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang serta perlembagaan.

PMO antara lain membangkitkan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Agong perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat jemaah menteri.

Namun Saifuddin berkata sebagai "pelindung" Perlembagaan Persekutuan, Agong juga berhak menolak nasihat yang "melanggar Perlembagaan atau cacat (defective)".

"Tuanku juga berhak memberi peringatan atau teguran kepada Jemaah Menteri berkenaan sebarang cadangan yang melanggar perlembagaan dan menasihati jemaah menteri untuk perbetulkan kecacatan atau kesalahan tersebut," katanya lagi.

Dia berkata Perkara 150(2C) dan (3) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan pembalatan ordinan darurat perlu dibentangkan di Parlimen dan penerangan menteri yang dibuat baru-baru ini tidak memenuhi syarat itu.

"Perdana menteri dan jemaah menteri gagal memohon ampun di atas kesalahan yang telah mereka lakukan, malah dengan begitu biadabnya mereka terus mempertikai dan mencabar bahawa Yang di-Pertuan Agong telah salah bertindak.

"Perdana menteri dan seluruh jemaah menteri wajib meletakkan jawatan sekarang," katanya lagi.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.