https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mereka jatuhkan Pakatan, naikkan Umno

 


SERI Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah berkenan melantik ahli Parlimen Bera Ismail Sabri bin Yaakob sebagai perdana menteri Malaysia kesembilan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan kerana beliau mendapat sokongan 114 ahli Dewan Rakyat.

Semua pihak perlu menghormati keputusan tersebut kerana ia berlandaskan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan prinsip keluhuran Perlembagaan.

Walaupun Ismail Sabri bukan pilihan saya dan rakan-rakan saya sebagai perdana menteri, namun kami perlu patuh kepada keputusan tersebut untuk memastikan kelangsungan sistem demokrasi berparlimen kita yang berteraskan kepada prinsip raja berperlembagaan.

Sudah tentu ramai penyokong kami yang kecewa dan bertanya mengapa parti Umno yang dikalahkan pada PRU14 kini kembali berkuasa? Mengapa pembangkang tidak ada strategi lain?

Mengapa bukan calon lain? Mengapa tawaran Muhyiddin untuk berdamai ditolak? Dan banyak lagi persoalan. 

Semua ini adalah polemik yang tidak ada kesudahannya kerana masing-masing ada pandangan sendiri. 

Hakikatnya ialah semua 105 ahli Parlimen dalam blok pembangkang bersatu dalam keputusan kita dan menyokong Anwar Ibrahim sebagai calon tunggal dari blok pembangkang.

Yang menyebabkan Pakatan Harapan tidak dapat mengambil balik semula tampuk kerajaan dan menaikkan semula Umno bukanlah sesiapa dalam blok pembangkang pada hari ini tetapi 18 ahli Parlimen yang menang di atas tiket PH pada PRU14 iaitu 12 dari PKR dan enam dari Bersatu.

Mereka menjatuhkan kerajaan PH pada Februari 2020 dan menaikkan Umno pada hari ini.

Pada hemat saya, biarlah rakyat menjadi penentu dan hakim dalam PRU15 nanti.

Tetapi dari sekarang sehinggalah PRU15, semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang perlu mencari satu titik persefahaman untuk mengembalikan fokus sepenuhnya terhadap usaha memerangi wabak Covid-19 dan merendahkan suhu politik.

Semua pihak perlu berlapang dada dan mengambil iktibar daripada nasihat Seri Paduka Baginda supaya menghulurkan tangan untuk bekerjasama supaya yang menang tidak menang semua manakala yang kalah tidak kalah semua. –

* Anthony Loke, ahli Parlimen Seremban dan bekas menteri pengangkutan dalam kabinet Pakatan Harapan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.