https://critoxium.com/shop/

Terkini

Risiko kelompok antivaksin 'terpinggir' ketika era pemulihan


 Oleh Muhd Nur Iman Ramli

 Hari ini, golongan yang sudah lengkap vaksinasi beransur-ansur diberi kebebasan dan kelonggaran seperti sebelum wujudnya COVID-19.

Bagi yang belum divaksin pula, akan mula sedar mereka bakal berdepan pelbagai sekatan walaupun untuk melakukan aktiviti semudah masuk ke pasar raya, apatah lagi ke luar negara.

Mungkin mereka sedia divaksin tetapi belum mendapat atau membuat janji temu vaksinasi atas sebab tertentu. Ada juga tidak mahu divaksin atas alasan fobia terhadap jarum (trypanophobia) atau lebih membimbangkan, terkeliru teori konspirasi seperti golongan antivaksin.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM), pengambilan vaksin mampu mengekang jangkitan COVID-19. Mereka yang enggan divaksin khususnya kelompok antivaksin mendedahkan diri kepada risiko besar dan berbahaya.

Virus memerlukan manusia untuk dijangkiti supaya dapat membiak. Semakin ramai kelompok manusia lemah dan terdedah jangkitan, lebih mudah untuk virus bermutasi.

Memang benar, tiada kesalahan dalam peruntukan Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (AKta 342) bagi individu tidak mahu mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Walaupun tidak dipaksa, golongan ini diharap tidak terlalu mementingkan diri. Mereka masih boleh menyumbang kepada usaha menurunkan kes penularan COVID-19, dengan cara mengamalkan sikap seperti mereka yang divaksin – jaga prosedur operasi standard (SOP) dan hormati orang lain.

Walau apa pun dakyah golongan antivaksin - contohnya mengatakan betapa gerunnya jika vaksin diragui disuntik ke dalam tubuh - kita khuatir suatu masa nanti, mereka pula akan menjadi golongan 'digeruni dan dihindari'.

Akan wujud pelbagai sekatan untuk tidak membiarkan golongan tidak divaksin bergerak secara berleluasa. Keadaan tidak akan menjadi lebih mudah kepada mereka.

Sebelum sebarang urusan harian biasa menjadi lebih sukar, lambat dan mahal, sebaiknya mereka mula memikirkan kepayahan lebih besar jika tidak divaksin. Bukan hanya kepada diri sendiri, bahkan insan di bawah tanggungan mereka.

Seperti mana golongan antivaksin mahukan kebebasan menolak vaksinasi dan dilindungi undang-undang antidiskriminasi, begitu jugalah golongan divaksin mahukan kebebasan daripada ancaman COVID-19.

Puncanya, supaya mereka bebas semula mencari rezeki, bebas pulang menjenguk ibu bapa di kampung dan bebas daripada ketakutan kehilangan nyawa sendiri dan keluarga angkara COVID-19.

Timbul persoalan, adakah akan munculnya era 'kasta' bentuk baharu yang akan mengasingkan atau mendiskriminasi golongan tidak divaksin daripada yang sudah divaksin?

Mungkin ada yang merungut apabila tempat tumpuan awam bakal memperkenalkan tempat duduk atau laluan VIP (orang penting) hanya kepada golongan yang sudah lengkap divaksin. Untuk menikmati kemudahan green-lane (lorong hijau) pula, seseorang yang mahu ke luar negara mungkin akan diminta mempamerkan sijil vaksinasi digital.

Mungkin golongan tidak divaksin akan mendapati diri mereka semakin terpinggir dalam gerak usaha negara dan juga dunia, yang mahu segera keluar daripada cengkaman COVID-19.

Realitinya, mana-mana pihak sekalipun tidak patut secara melulu mengambil sebarang langkah mendiskriminasi golongan yang masih belum divaksin atau menolak vaksinasi.

Penerangan dan pendidikan mengenai manfaat vaksinasi perlu diteruskan. Hak dan kebebasan setiap individu perlu dihormati dan dilindungi setiap masa. Namun, sekatan mungkin tidak dapat dielakkan jika negara mahu mencapai pemulihan maksimum.

Kita masih belum merdeka daripada cengkaman COVID-19. Sempena Bulan Kemerdekaan ini, sebarang usaha membebaskan negara daripada COVID-19 seperti program vaksinasi seharusnya disambut baik seluruh rakyat Malaysia.

Eksekutif Persidangan, Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam (IAIS) Malaysia

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.