https://critoxium.com/shop/

Terkini

Sudah jatuh ditimpa balak


Apa gunanya seni diciptakan kalau ia tidak dapat memperlihatkan penyelewengan dan ketidakadilan?

Sesungguhnya drama yang disaksikan di parlimen sepanjang sidang khas minggu lalu sekali lagi mengingatkan kepada pada Shit! karya Shahnon Ahmad.

Suara sasterawan negara kedua yang menghasilkan sebuah kanun satira politik Melayu di tengah ketidaktentuan politik negara pada 1999 itu serasa kembali dibisikkan.

“Ucapan sebusuk taik itu dengan sendirinya melibatkan berbagai permasalahan lain mencakupi keperihalan fitnah, rasuah, pilih kasih, nepostisme, kronisme, korap, lucah, porno, gila kuasa, gila harta, bunuh membunuh, seksa menyeksa, dera mendera, tipu helah, dendam kesumat, hasad dengki, politik wang, politik jilat menjilat, politik burung belatuk, jatuh menjatuh, jeling menjeling, calit mencalit, tindas menindas, kejam, pembohongan, kepura-puraan, keanjingan, kebabian, dan seribu satu lagi yang terwabak dari ucapan sebusuk taik itu.”

Ternyata apa yang disuarakan Shahnon itu memang benar. Ucapan-ucapan yang kita dengar di Dewan Rakyat bukanlah sangat tentang rakyat yang sekarang hidup dalam kepayahan. Tidak juga tentang kematian ribuan rakyat yang sungguh-sungguh mahu diperjuangkan dengan integriti dan tanggungjawab.

Ucapan yang didendangkan menteri hanyalah hadiah politik yang dibungkus dengan pakej-pakej keprihatinan. Jawapan yang diperdengarkan hanyalah tentang kejayaan palsu kerajaan.

Realitinya rakyat makin resah, makin susah dan bertambah tenat. Rakyat sudah mula patah hati kerana demokrasi negara ini sudah jatuh ditimpa kayu balak.

Sementara di luar sana ada begitu banyak penularan penyakit. Malah jumlah kematian melebihi 9,000 orang. Namun dalam keadaan begitulah menteri yang bertanggungjawab dalam isu kesihatan berkata: "Tak ape yang berhormat, at least ada.”

Jiwa orang selalu kalah

Dalam keadaan serba-serbi sulit sekarang apa yang diperlukan rakyat ialah kebijaksanaan. Selebihnya ialah pelaksanaan segera dan berkesan. Maksudnya sifat bijaksana yang diperlukan ialah kesungguhan yang ikhlas, bukannya kepintaran bermain kata dan mengilas hujah.

Negara tidak memerlukan loyar buruk yang lebih ramai, apatah lagi jika ia bercokol dengan penuh gaya dan segak dalam parlimen bersama gelarang "yang berhormat."

Di luar juga ada jutaan kesedihan dan penderitaan yang datang bersama bermacam-macam ketidakadilan. Seperti suara doktor kontrak yang tidak diendahkan sehingga mendorong mereka keluar berhartal.

Segala yang berlaku ini memanggil kita untuk memikirkan isi cerpen Pilihan Raya yang dikarang Usman Awang dan disiarkan Utusan Zaman pada 1952.

“Tak tahukah mak cik bahawa dalam dunia ini tidak ada manusia yang mahu mengatakan dirinya tidak jujur, bodoh, dungu dan pembohong besar dengan hati yang jujur! Menuduh-nuduh orang lain tak jujur, pembohong dengan maksud melonjakkan diri ke atas adalah suatu kerendahan dan kehinaan; dan mengatakan dirinya baik, jujur dan amanah dengan memburuk-burukkan orang lain yang menjadi saingan mereka bertanding adalah suatu keburukan.”

Cerpen yang ditulis sebelum Malaya merdeka itu memperincikan betapa kecilnya jiwa orang kita yang selalu kalah dengan politik busuk namun dibalut dengan sikap berpura-pura.

Usman Awang

Kita terlalu mudah berbangga dengan perkara yang entah apa-apa. Sekadar ditawar sebatang rokok oleh ‘orang besar’ saja sudah membuat maruah kita melayang ke longkang.

Sasterawan negara ketiga itu sudah lama memberitahu bahawa kepercayaan orang kita mudah dibeli dengan harta benda. Bahkan hanya dengan sekeping tiket menonton wayang Hindustan atau dijemput dengan bas ke pawagam saja kita sudah membuat orang kita berasa dirinya penting kepada negara.

“Tuan-tuan harus bersatu memilih saya sebagai wakil tuan-tuan yang jujur, yang bertimbang rasa dan yang memperjuangkan nasib tuan-tuan dan hidup tuan-tuan. Tuan-tuan yang sekarang mendiami bilik sempit, dengan keadaan longkang-longkang kotor, jalan tak baik, hingga selalu mendatangkan penyakit, akan merasa lapang dan senang dan mendapat tempat yang bagus bila tuan-tuan memilih saya sebagai wakil tuan-tuan yang amanah dan jujur…”

Pada hari ini jalan pulang buat manusia tidak semestinya agama. Namun selain daripada ras, kaum dan bangsa, agama kini turut dijadikan mangsa untuk melariskan jual beli undi parti politik dalam pilihan raya.

Melihat kepada pemikiran dua seniman negara tadi, sekali lagi ditekankan betapa perlunya seni dikembalikan kepada tempatnya yang sebenar. Tempat seni dan budaya itu tinggi, bukan di perlimbahan seperti yang dilakukan orang sekarang.

Justeru segala kepayahan yang ditanggung rakyat hari ini harus ditulis, dipentaskan, difilemkan, dinyanyikan, disajakkan, ditarikan dan diposterkan di seluruh ceruk negara agar ia menjadi perhatian ramai. Agar masalah kemelaratan itu tidak dijadikan sampah oleh penguasa lalu menyapunya ke bawah tikar.

Anak muda yang resah

Sistem kesihatan awam negara sedang huru-hara. Hospital-hospital sedang berdepan masalah wad atau katil. Peralatan bantuan terhad sehingga terpaksa dikongsikan walaupun ia dicipta bukan untuk itu.

Namun apabila orang kenamaan datang melawat, semua masalah tersebut menjadi sampah dan habuk lalu disapu ke bawah tikar. Realiti disembunyikan. Dan orang tertentu yang berkepentingan mendapat pujian, atau sekurang-kurangnya terhindar daripada teguran pihak atasan.

Semua 'sampah' ini memerlukan sebuah kerajaan yang cekap untuk menanganinya, yang tidak hidup dalam penafian, apa lagi menggunakan khidmat loyar buruk atau burung tiung yang hanya mengangguk atau mengajuk di dalam parlimen.

Kerajaan yang angkuh, degil dan bongkak harus diasak dengan segala cara, terutama seni. Hal itu kerana selama ini pelbagai ikhtiar yang dibuat menuju ke jalan mati.

Seni harus didukung agar berdiri bagi mendepani tirani ini. Seni harus sama berdiri atau duduk dengan golongan tertindas, seperti petani, nelayan, peniaga, doktor kontrak, dan seluruh kumpulan pekerja.

Juga bersama anak muda yang resah dengan masa hadapan mereka, dan bersama kanak-kanak yang keciciran pelajaran.

Kerana seni memang diciptakan untuk bersuara bagi mereka itu.


HARIS HAUZAH Ialah bekas pengikut sebuah parti yang berasa takjub kepada hukum halalnya menipu dalam politik.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.