https://critoxium.com/shop/

Terkini

Syabas atas ketegasan MP Pasir Mas bantah kenaikan cabutan judi

 


Tahniah dan syabas kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Mohd Fadhli Shaari di atas ketegasan beliau terhadap isu kenaikan cabutan judi nombor ekor oleh kerajaan.

Beliau menunjukkan konsistensi yang sebetulnya dalam isu ini iaitu desakan agar kerajaan menimbang kembali keputusan menaikkan jumlah cabutan judi.

Keputusan pihak kerajaan menaikkan jumlah cabutan dari lapan kali pada era pentadbiran Pakatan Harapan kepada 22 kali pada pentadbiran Perikatan Nasional dan kini, amat dikesali.

Tindakan ini bukan sahaja tidak membantu menyelesaikan masalah sosial dalam kalangan masyarakat, bahkan boleh menambah lagi kepincangan sosial dalam negara terutamanya melibatkan institusi keluarga.

Tindakan pihak kerajaan juga telah mencemar imej “Melayu Islam” yang dijaja oleh kumpulan Mahiaddin sebelum ini seolah yang mengantikan kerajaan Pakatan Harapan terdahulu.

Namun begitu, ketegasan Ahli Parlimen Pasir Mas seharusnya didokong oleh menteri-menteri Kabinet dari Pas yang turut sama bertanggungjawab terhadap kenaikan cabutan judi ini.

Pas mempunyai tiga orang menteri Kabinet iaitu, Tuan Ibrahim Tuan Man, Takiyuddin Hassan, dan Idris Ahmad di mana ketiga individu terbabit mempunyai tanggungjawab kolektif sebagai menteri Kabinet.

Tanggungjawab kolektif ini bermaksud Tuan Ibrahim Tuan Man, Takiyuddin Hassan, dan Menteri Agama, Idris Ahmad turut diheret rakan lain dalam Jemaah Menteri atas apa yang dilakukan bagi memastikan Jemaah Menteri bertindak sebagai satu entiti.

Dalam hal ini, tindakan Menteri Kewangan yang menaikkan jumlah cabutan ditanggung serupa oleh wakil Pas di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang dilantik sebagai Menteri Kabinet

Di atas tanggungjawab ini, semua menteri mesti menyokong dasar diputuskan Jemaah Menteri atau mereka hendaklah meletak jawatan atau mengundur diri sekiranya tidak dapat bersetuju dengan keputusan dicapai menerusi persetujuan ahli Jemaah Menteri.

Buktikan bahawa Pas sememangnya serius dalam menolak tindakan pihak kerajaan menaikkan cabutan judi, bukan hanya membiarkan Ahli Parlimen yang tidak berjawatan dalam Kabinet untuk bersuara kerana bimbang kehilangan jawatan disandang.

Muammar Qaddafi Bin Mohd Nasir
Setiausaha Pemuda AMANAH Terengganu

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.