https://critoxium.com/shop/

Terkini

Perikatan perlu dikalahkan di Melaka demi penyatuan ummah

 


Dalam ceramah Muhyiddin Yassin kepada jentera Perikatan Nasional (PN), beliau menyatakan Langkah Sheraton dibuat apabila melihat tahap sokongan kepada Bersatu merudum teruk dan kalah beberapa siri pilihan raya kecil.

Pada ketika itu beliau (Muhyiddin) berjumpa dengan Dr Mahathir Mohamad dan berkata jika keadaan ini berterusan maka Bersatu akan terkubur dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak. Oleh itu, sesuatu perlu dibuat.

Lalu mereka jatuhkan kerajaan sendiri dan mendapatkan sokongan orang lain pula.

Ini adalah suatu pengakuan terbuka oleh Muhyiddin dan ini membuktikan apa yang saya kata selama ini iaitu tujuan mereka (Bersatu) bekerjasama dengan Umno bukanlah sebab penyatuan Melayu seperti yang mereka laung-laungkan. 

Mereka sebaliknya mahu mengambil kesempatan dan bersikap oportunis dan pentingkan diri untuk menyelamatkan tengkuk mereka sendiri yang sedang tenggelam.

Penyatuan Melayu hanyalah retorik politik mereka sahaja.

Penyatuan Melayu atau penyatuan ummah yang sebenar dan genuine adalah antara Umno dan PAS melalui Muafakat Nasional (MN).

Penyatuan dua parti terbesar orang-orang Melayu dalam MN ini amat serasi dan berjaya membuahkan hasil dan mendapat sokongan masyarakat. Ini menakutkan musuh-musuh orang-orang Melayu dan juga Bersatu.

Tetapi selepas Langkah Sheraton, penyatuan ummah dan muafakat ini terganggu dan digugat oleh “orang ketiga” iaitu Bersatu yang merenggangkan hubungan antara Umno dan PAS.

Bersatu terdiri daripada pengkhianat Umno, akar umbi Umno tidak akan boleh menerima pengkhianat ini sebagaimana juga PAS tidak boleh menerima pengkhianat mereka yang membentuk Amanah.

Selagi ada “orang ketiga” (Bersatu) ini, penyatuan ummah tidak akan tercapai, dan parti Melayu akan terus bertelagah dan berpecah-belah dengan banyak serpihan terbentuk seperti Bersatu.

Sebelum ini saya pernah berkata bahawa untuk penyatuan ummah dan menyatupadukan orang Melayu, parti serpihan Melayu perlu dibubar dan kembali ke pangkal jalan dengan sama ada masuk Umno ataupun PAS.

Namun ini tidak akan berlaku sekiranya parti-parti serpihan ini masih ego dan tidak sedar, dan kesan keegoan mereka ini adalah pemecahan undi Melayu dalam pilihan raya yang akan memenangkan PH yang diterajui DAP serta musuh orang-orang Melayu.

Parti serpihan seperti Bersatu ini hanya akan sedar dan bubar apabila mereka kalah pilihan raya seperti yang berlaku kepada Semangat 46 dahulu.

Jika mereka menang dan dapat kerusi, mereka akan menuntut lebih konsesi dan mengakibatkan pertelingkahan yang berterusan antara parti-parti Melayu, dan ini menyebabkan penyatuan ummah akan terhalang atau menjadi mustahil.

Umno dan PAS adalah parti besar yang telah berakar umbi sekian lama, kedua-dua parti ini tidak akan bubar walaupun kalah pilihan raya berbanding parti serpihan.

Sebaliknya jika Bersatu (PN) kalah di Melaka dalam pilihan raya negeri ini, kemungkinan dua perkara akan berlaku:

Pertama, mereka (Bersatu) akan sedar dan bubar parti mereka dan pengikut-pengikut mereka akan kembali ke pangkal jalan memasuki Umno atau PAS.

Kedua, tanpa gangguan “orang ketiga” (Bersatu) ini, hubungan antara Umno dan PAS melalui MN akan dapat dikukuhkan.

Apabila perkara ini berlaku maka barulah penyatuan ummah dan penyatuan orang-orang Melayu yang sebenarnya akan dapat dicapai.

Ini juga membolehkan MN berhadapan dengan PH dalam dua penjuru pada PRU15 akan datang untuk mendapat kemenangan dan membela nasib orang-orang Melayu dan Islam, tanpa meninggalkan kepentingan kaum lain di Malaysia.

Sebab itu pada pilihan raya negeri Melaka kali ini orang-orang Melayu perlu mengalahkan PN dengan tidak memberi undi kepada mereka ke arah mencapai penyatuan ummah yang sebenar, insya-Allah. –

* Isham Jalil, penasihat komunikasi Barisan Nasional.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.