Perlukah kita beri hadiah sampai 100 juta.
Oleh Tun Mahathir
1. Kerajaan Ismail Sabri bersetuju untuk memberi tanah dan membuat rumah
yang bernilai RM100,000,000 konon sebagai menghargai khidmat Najib
sebagai Perdana Menteri.
2. Apa dianya sumbangan Najib kepada
negara? Yang kita tahu ialah ia didapati bersalah mencuri duit Kerajaan,
menghilang duit Kerajaan berbillion Ringgit. Dia dihukum penjara 12
tahun dan denda lebih dari 200 juta Ringgit. Ia sedang dibicara terhadap
lebih 800 juta $AS yang ada dalam banknya. Dan dia tidak dapat jelas
bagaimana ia memperoleh wang yang sebegitu banyak. Ini bukan perkara
lama. Ini perkara sekarang dan masa depan kerana sampai puluhan tahun
Kerajaan Malaysia terpaksa bayar faedah sebanyak 2 billion Ringgit
setahun dan hutang pokok 42 billion. Anak cucu kita akan tanggung beban
ini.
3. Ia juga merosak parti UMNO yang buat pertama kali kalah
dalam PRU-14. Pentadbiran negara juga dirosakkan sehingga pegawai tinggi
terpaksa dihentikan kerana rasuah.
4. Ekonomi negara hancur. Dan
sekarang ini keadaan politik tidak stabil sehingga dalam masa tiga
tahun berlaku pertukaran Perdana Menteri tiga kali.
5. Negara
ini yang dahulu dikenali sebagai Asian Tiger sekarang menjadi
kleptokrasi iaitu negara pencuri yang diperintah oleh pencuri, hasil
pemerintahan Datuk Seri Najib.
6. Dunia pandang hina kepada Malaysia sekarang.
7.
Untuk semua ini dan banyak lagi Kerajaan Ismail Sabri melulus 2.7 ekar
tanah bernilai 60 juta Ringgit lebih dan akan bangun sebuah rumah
bernilai RM40 juta kerana mengenang “jasa” Najib.
8. Tunku Abd
Rahman yang menjadi Perdana Menteri Malaysia dan berjaya memerdekakan
negara hanya dapat sebuah rumah papan. Rumah Tun Razak dijadi monument.
Tun Hussein pun tidak dapat apa-apa yang bernilai tinggi. Tun Rahah
dapat rumah Kerajaan yang sedia ada.
9. Saya jadi Perdana Menteri
selama 22 tahun tidak tuntut dan tidak dapat apa-apa selain dari pencen
dan RM10,000 sebulan untuk selenggara rumah yang didiri oleh saya
sendiri. Sebidang tanah di Putrajaya telah ditawar kepada saya secara
percuma apabila saya bersara tetapi saya telah tolak dan sebaliknya saya
beli tanah di Putrajaya dengan harga seperti yang ditawar kepada
penjawat awam apabila bersara.
10. Setiap tahun saya bayar cukai tanah sebanyak RM6,071 dan cukai taksiran sebanyak RM1,792.
11.
Najib yang menghancurkan negara sehingga menjadi kleptokrasi pula akan
diberi RM100,000,000 tanpa dilulus oleh Parlimen – bahkan dirahsia.
Najib membuat permohonan sedangkan bekas Perdana Menteri lain tidak buat
permohonan untuk tanah tertentu. Sama ada Kerajaan susulan hendak balas
budi atau tidak adalah hak Kerajaan.
12. Dunia ketawa melihat Malaysia di mana seorang banduan yang lesap berbillion Ringgit begitu disanjung tinggi dan dihormati.
13. Sebagaimana biasa Najib cuba salahkan saya kerana buat pindaan pada tahun 2003 kepada Akta Saraan Ahli Parlimen 1980.
14.
Pindaan itu bertujuan untuk Kerajaan menimbang memberi sedikit ganjaran
kepada bekas Perdana Menteri sebagai mengenang jasa mereka. Biasanya
ganjaran yang diberi ialah rumah Kerajaan yang sedia ada.
15. Ia tidak bertujuan untuk memberi kemewahan atau kekayaan kepada bekas Perdana Menteri.
16.
Perdana Menteri tidak perlu kepada banyak ganjaran selepas bersara
kerana pencen, gratuiti dan elaun yang diperolehi lebih dari mencukupi
untuk membina rumah sendiri yang selesa. Itulah yang saya lakukan.
17.
Kita boleh hargai jasa seseorang Perdana Menteri tetapi tidaklah sampai
menjadinya millionaire. Sumbangan mereka sebenarnya juga perlu diambil
kira. Bagi seorang Perdana Menteri yang merosakan negara sehingga
dihukum penjara, perlukah kita beri hadiah sampai 100 juta, sedangkan
yang merdekakan negara diberi hanya sebuah rumah dinding papan
berbumbung genting sahaja?
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.