https://critoxium.com/shop/

Terkini

Benarkah guru sering ditindas?


 Oleh Atriza Umar 

 ISU berkaitan guru kebelakangan ini sangat ketara memenuhi ruang media sosial. Ada yang berani menyuarakan secara telus dan benar. Hasilnya disebabkan keberanian itu, ada yang perlu 'menghadap' Unit Integriti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Tidak terkecuali sebaliknya, ada yang hanya memendam perasaan berikutan takut atau tidak rajin mendepani 'amaran-amaran' tertentu daripada pihak atasan.

Begitu juga saluran media negara banyak yang tidak mengetengahkan isu sebegini atau tepatnya mensensasikannya supaya pihak yang sepatutnya tersentak dan bersikap ambil peduli.

Dalam soal ini, bukan ingin menuding siapa yang menjadi kerajaan atau tidak, tetapi sewajarnya pihak memegang kuasa perlulah peka dan peduli dengan permasalahan atau cabaran dihadapi guru.

Sebagai contoh, terdapat guru yang menyuarakan pandangan kepada pihak atasan berhubung isu menyentuh soal kebajikan, keprihatinan, bebanan tugas, permasalahan dan lain-lain cabaran yang mengelilingi bidang tugas mereka.

Namun apa yang sedihnya, apabila isu begitu disuarakan, mereka berhadapan dengan amaran atau lain-lain tindakan yang tidak wajar dikenakan.

Justeru, sampai bila permasalahan yang dihadapi mereka perlu didiamkan? Sedangkan jika ia membabitkan isu pelajar, laju pula tindakan diambil.

Justeru, pihak KPM disaran bersikap wajar dengan mendengar dan mencari solusi terbaik segala isu yang dilontarkan, bukan menambahkan bebanan guru atau langsung tidak mempedulikan suara mereka.

Ini kerana pendidikan anak bangsa bermula daripada tangan seorang guru yang gigih melaksanakan tanggungjawab. Maka, bersikap prihatinlah dengan luahan hati kumpulan ini demi kelangsungan pendidikan anak bangsa.

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.