https://critoxium.com/shop/

Terkini

Ingat, Ismail pernah jual ikan di pasar pagi Temerloh


Oleh Al-Azharri Siddiq Kamunri

Menjelang 100 hari pentadbiran Ismail Sabri sebagai perdana menteri, tiba-tiba muncul isu kenaikan harga barang basah yang dijadikan modal serangan politik yang agak luar biasa.

Izinkan saya berkongsi pengalaman di Putrajaya ketika para perdana menteri lain pernah melalui dan menangani isu ini.

Kebetulan beberapa hari lalu saya bersembang dengan seorang pegawai pertubuhan peladang yang merupakan kawan sekolah lama dahulu. Beliau menyatakan, isu ini berlaku sejak sekian lama kerana rantaian orang tengah merupakan faktor besar kenaikan harga kepada pengguna terakhir.

Katanya, kitaran orang tengah ini menikmati untung 100% kerana mereka tidak mengeluarkan satu sen modal membeli racun, baja, kos pekerja dan sebagainya.

Sebaliknya, orang tengah ini membeli murah di ladang-ladang tani dan menjualnya dengan harga berganda melalui rantaian peraih sebelum dijual di kedai runcit.

Hari ini, semua pihak khususnya rakyat menerima kesan lebih perit kerana ia berlaku ketika rakyat baru merangkak keluar daripada pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.

Sejak lebih 14 tahun di Putrajaya, saya bernasib baik kerana dapat menyaksikan beberapa perdana menteri berhadapan dengan serangan isu kenaikan harga barang.

Semasa era Pak Lah, kenaikan harga mendadak adalah tepung, beras, minyak masak dan minyak patrol.

Kakitangan kerajaan terpaksa turun padang berjumpa rakyat untuk menerangkan sebab-sebab kenaikan tersebut dan langkah-langkah kerajaan menanganinya.

Isu ini dapat diselesaikan dalam seminggu dua.

Apabila Najib Razak menjadi perdana menteri, kenaikan harga barang merupakan serangan politik yang paling besar khususnya dikaitkan dengan sistem percukaian cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Nampaknya, selepas GST dihapuskan, harga barang tidak juga turun sebaliknya semakin naik.

Semasa Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri kali kedua pada tahun 2018, kerajaan juga berhadapan isu kenaikan harga barang.

Malah jawapan menteri-menteri ketika itu menjadi bahan lelucon di media sosial kerana ia dilihat tidak merakyat yakni tidak menyelami hati nurani rakyat marhaen.

Muhyiddin Yassin turut berhadapan isu sama apabila Indeks Harga Pengeluar naik dan ramalan Bank Negara kadar inflasi yang akan meningkat.

Pendek kata, semua perdana menteri berhadapan isu yang serupa.

Pengalaman Ismail Sabri berniaga di pasar tani

Perdana menteri Ismail Sabri mempunyai pengalaman berguna semasa berhadapan kenaikan harga keperluan ketika beliau menjadi menteri pertanian dan industri asas tani (2013) bagi memastikan bekalan ikan segar tempatan mencukupi dan dijual pada harga berpatutan.

Antara tindakan Ismail ketika itu ialah menghentikan eksport ikan ke luar negara kerana yang penting ketika itu adalah rakyat.

Berkenaan kenaikan harga ayam, Ismail mengumumkan kerajaan akan mengimport ayam sejuk beku bagi menampung permintaan dan membolehkan rakyat mendapat bekalan pada harga lebih rendah berbanding ayam segar tempatan.

Sementara itu, 200 kontena bekalan ayam sejuk beku import dijangka berada di pasaran selewat-lewatnya minggu depan.

Dalam masa sama, Ismail juga mahu isu penglibatan orang tengah ditangani secara serius. Ismail pernah buat dahulu semasa di Kementerian Asas Tani melalui kempen jihad perangi orang tengah dan usaha ini berjaya dalam masa yang singkat.

Langkah terbaharu Ismail ialah menubuhkan Jualan Keluarga Malaysia di seluruh negara. Permulaan di Lembah Pantai baru-baru ini menyaksikan harga minyak masak jauh lebih murah berbanding di pasar raya, walhal kawasan Lembah Pantai terletak di pusat ibu kota.

Sebenarnya, ramai orang tidak tahu Ismail semasa remaja pernah melalui pengalaman sebagai penjual ikan di pasar pagi Temerloh.

Pasar pagi Temerloh

 Ismail sangat dekat di hati rakyat, sebab itu mereka yang pernah bekerja dengan Ismail bawah pelbagai kementerian mengetahui beberapa sikap beliau yang suka bersama rakyat di kantin, warung tanpa layanan VIP malah perkara biasa duduk di atas batang pokok untuk makan bersama orang-orang kampung.

Saya telah menulis banyak kisah success story para perdana menteri kita untuk bacaan anda supaya ia boleh membuka minda. Saya dapati Ismail ini agak unik daripada sudut merakyat dan humbleness.

Baru-baru ini, beliau berehat di ibu kota untuk menikmati secawan kopi sambil membaca berita-berita semasa. Orang ramai tidak perasan, kerana beliau memakai topi Chelsea dan pelitup muka.

Ismail mahu pun isterinya kelihatan seperti rakyat biasa tanpa pengawal keselamatan berdekatannya.

Congakan saya, beliau mahu melihat dan mendengar sendiri luahan hati rakyat.

Buku 555 Mahathir

Jika dahulu, Dr Mahathir sentiasa ada buku nota 555 di tangannya untuk mencatat sesuatu. Saya lihat Tok Pa juga sentiasa ada buku kecil 555 di poketnya untuk mencatat sesuatu.

Berdasarkan pengalaman saya, serangan ke atas perdana menteri menggunakan modal kenaikan harga barang ini bermotifkan politik jua kerana ia dinyalakan ketika sambutan 100 hari Ismail sebagai perdana menteri.

Kedua, saya percaya isu kenaikan harga barang ini bersifat sementara dan kerajaan sedang menanganinya dengan tekun.

Kesimpulan, perkara yang terbaik dilakukan sekarang ialah beri peluang dan masa kepada kerajaan untuk memulihkan kehidupan rakyat daripada pandemik. Berikan rakyat ruang meniti kehidupan normal selepas pandemik yang sangat panjang.

Kita bercakap hal yang lebih besar iaitu keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat bukannya pilihanraya segera. PRU15 sesuatu yang pasti tidak berapa lama lagi.

Tetapi yang lebih pasti sekarang ialah rakyat baru hendak bernafas selepas terkesan oleh impak pandemik Covid-19 yang mengharukan seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Saya mengajak anda bersatu hati. Mari berhenti berpolitik. Berikan rakyat masa pulih sehingga tamat tempoh demokrasi pada tahun 2023.


DR AL-AZHARRI SIDDIQ KAMUNRI merupakan lulusan sains politik dalam bidang politik dan kerajaan. Bidang kajiannya ialah pembinaan negara bangsa, patriotisme dan keselamatan negara.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.