https://critoxium.com/shop/

Terkini

Umno tidak mungkir janji, PAS pula jangan tinggalkan MN kerana Bersatu, kata Tok Mat

 


PETALING JAYA: Cubaan untuk memaksa Umno menerima Bersatu dalam Muafakat Nasional adalah bertentangan dengan semangat gagasan itu ditubuhkan, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Beliau berkata Presiden PAS Abdul Hadi Awang tersasar apabila menuduh Umno tidak mematuhi piagam MN yang ditubuhkan pada tahun 2019.

“Kepada rakan-rakan dalam PAS, janganlah kita lupa bahawa MN tidak ditubuhkan dengan matlamat Bersatu mesti menjadi sebahagian darinya. Malah salah satu sebab MN itu dibidani kelahirannya ialah untuk menentang Pakatan Harapan (PH).

“Bersatu adalah komponen PH waktu itu. Piagam MN pula mestilah ditafsirkan selari dengan realiti politik semasa Umno dan PAS,” kata beliau.

Justeru, katanya, untuk memaksa Umno menerima Bersatu adalah bercanggah dengan semangat sebenar MN itu diasaskan.

“Apa lagi bila mengenangkan bagaimana Bersatu bersekongkol dengan DAP dalam menentang Umno dan menumbangkan kerajaan pimpinan Umno,” katanya di Facebook.

Mohamad berkata walaupun pada dasarnya penubuhan MN adalah untuk memayungi semua orang Melayu, namun penyertaan mereka perlu selari dengan kepentingan dan realiti politik semasa dua parti tunjang kepada penubuhannya itu.

Semalam, Hadi menjelaskan PAS menolak gagasan MN kerana mendakwa Umno tidak mengikut piagam yang dipersetujui ketika kerjasama dua parti itu dibentuk.

Hadi merujuk kepada keengganan Umno menerima Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin menyertai MN. Bersatu ialah parti serpihan Umno dan dituduh oleh pemimpin Umno melakukan pelbagai pengkhianatan dalam cubaan memancing ahli dan pemimpin Umno.

Hadi berkata PAS tidak boleh terima keadaan di mana kepimpinan Umno hanya mahu parti itu dan PAS dalam MN.

Menegaskan perkara itu, Mohamad berkata PAS dan seluruh rakyat sudah tentu arif mengenai keputusan perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno lalu bahawa parti itu tidak akan membentuk sebarang kerjasama politik dengan Bersatu.

“Umno terikat dengan pendirian ini. Jadi, amatlah munasabah untuk realiti ini difahami dan diterima, sebelum PAS mencadangkan keanggotaan baru dalam MN,” katanya.

Beliau berkata, Umno juga berpendirian walaupun PKR, Amanah atau Pejuang adalah sebahagian daripada ummah yang berkepentingan, Umno tidak pernah mempelawa parti berkenaan untuk menyertai MN kerana tidak mahu menyakiti hati PAS.

“Jadi, janganlah dek kerana Umno tidak mahu menerima Bersatu, MN itu PAS tinggalkan. Kepentingan orang Melayu dan Islam itu jauh lebih besar dari kepentingan Bersatu menyertai MN,” katanya.

Malah, beliau turut menegaskan Piagam MN adalah persefahaman yang tidak mengikat kerana Umno mahu orang Melayu melihat MN sebagai wadah untuk semua, bukan instrumen politik Umno dan PAS semata-mata.

“Semoga Presiden PAS akan terus bersama Umno dalam meneroka pelbagai dimensi baru dalam membangunkan keberdayaan bangsa Melayu, In sha Allah,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.