https://critoxium.com/shop/

Terkini

Adakah Umno akan contohi PAS?


Oleh Mohsin Abdullah 

Persepsi umum ialah Mohd Khairuddin Razali digugurkan daripada Jawatankuasa PAS Pusat kerana beliau pro-Umno, mahu PAS berbaik dengan Umno, mahu kedua-dua parti duduk rukun damai dalam Muafakat Nasional. Mengapa beliau mahu itu semua dan apa agendanya terpulang interpretasi masing-masing.

Sebaik sahaja “pemecatannya” disahkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, FMT menghubungi Khairuddin dan bertanya pada hematnya mengapa beliau digugurkan.

Jawapannya kepada FMT ringkas: “Boleh baca apa yang tersirat”. Beliau turut memuat naik artikel terbaharu di Facebook selepas digugurkan. Artikel beliau mengingatkan pemimpin mengenai hukum syarak “wajib” untuk mengusahakan perpaduan antara PAS dan Umno.

Khairuddin bagaimanapun tidak menyentuh aspek Bersatu – parti yang PAS mahu duduk bersama dalam MN tetapi tidak diterima Umno.

Walau apa pun alasan diberikan pemimpin tertinggi PAS mengenai sebab Khairuddin digugurkan, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu dan beberapa rakannya dalam PAS dilihat kerap mengambil pendirian yang bercanggah dengan Hadi, dalam isu MN dan hubungan tiga segi PAS-Umno-Bersatu, walaupun tidak secara terbuka.

“Pemecatan Khairuddin adalah isyarat dan peringatan kepada mana-mana individu yang ingin ajak PAS bergabung dengan Umno,” kata penulis buku politik veteran dan pemerhati PAS, Mohd Sayuti Omar .

Tentu sekali, kata Sayuti, pemimpin seperti Nik Abduh Nik Aziz, Zuhdi Marzuki , Nasaruddin Hassan, serta Nik Zawawi Salleh – semuanya dikatakan sekutu Khairuddin, mesti “ambil perhatian terhadap pemecatan itu”.

“Ini juga taktik Hadi untuk tunjuk dia tidak suka dan tolak Umno sedangkan sebelum ini dia yang beri restu kerjasama PAS dengan Umno. Tindakan ini cara Hadi selamatkan dirinya,” kata Sayuti.

Kemesraan dan keakraban Hadi dan PAS terhadap Bersatu bukanlah satu rahsia besar terutama selepas PAS diterima masuk kerajaan Perikatan Nasional berikutan pembabitannya dalam Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Keakraban dengan Bersatu berterusan walaupun kerajaan yang PAS anggotai sekarang pimpinan orang Umno. Juga bukan rahsia ada pihak dalam Umno, yang seperti PAS, pro-Bersatu .

Berbalik kepada isu pengguguran Khairuddin sebagai AJK PAS Pusat. Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, tampil mengatakan tindakan itu “tiada kaitan dengan MN”. Beliau senada dengan Hadi menyifatkan pengguguran Khairuddin sesuatu “yang biasa”.

Namun, lain pula nada yang diambil Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan. Beliau mengaitkan pengguguran Khairuddin kepada “kelaziman” tindakan sedemikian diambil kerana “kesalahan disiplin”.

Namun, dalam menegaskan pengguguran itu tiada kaitan dengan isu MN, Takiyuddin tidak pula menyatakan secara jelas sama ada Khairuddin digugurkan kerana melanggar disiplin parti.

Imbas kembali pemilihan PAS November tahun lalu. Khairuddin gagal dalam perebutan kerusi AJK PAS Pusat. Pemerhati politik percaya kekalahannya ialah kerana beliau dilihat sebagai anti atau penentang Presiden manakala gelombang kemenangan milik “all the President’s men”.

Namun Hadi kemudian ( menunjukkan jiwa besar?) melantik Khairuddin sebagai AJK selaras dengan peruntukan perlembagaan parti yang memboleh Presiden berbuat demikian.

Tetapi kurang dua bulan kemudian, Hadi menarik balik pelantikan itu.

Bagi saya PAS sepatutnya menegaskan jika Presiden berhak membuat pelantikan, Presiden juga berhak membatalkan pelantikan itu. Ini sesuatu yang tegas dan logik yang tidak boleh dipertikaikan kerana membabitkan hak Presiden.

Tetapi PAS khususnya Tuan Ibrahim memilih untuk menjelaskan seperti ini: “Khairuddin dicadang dilantik oleh Presiden dan kemudian Presiden tarik balik pelantikan kerana selepas kita mesyuarat, Presiden ada cadangan nama lain dan Khairuddin digugurkan”.

Pada pandangan saya alasan sedemikan boleh mencetuskan pelbagai persoalan. Ia juga menunjukkan “kelemahan” parti terutama Presiden dalam mengambil tindakan awal iaitu ketika membuat pelantikan. Tidakkah ini menunjukkan PAS tidak fikir mendalam, tidak merancang rapi, dan tidak meneliti keadaan – lalu buat keputusan “separuh masak”?

Memang aneh dan menjejaskan kredibiliti parti dan Presiden apabila pelantikan dibuat tetapi kurang dua bulan kemudian Presiden sedar itu keputusan tidak betul lantas membatalkan pelantikan dan secara tiba-tiba mendapat ilham ada orang lain yang lebih sesuai dan “can do a better job”.

Oleh itu saya ulangi. Lebih baik jika PAS cakap sahaja Presiden boleh lantik, Presiden boleh gugurkan. Habis cerita. Tidak perlu “bersusah payah” membuat “justifikasi” yang boleh cetuskan polemik.

Hakikatnya, Khairuddin yang pro-Umno sudah digugurkan daripada Jawatankuasa PAS Pusat. Seperti yang dikatakan Sayuti, rakan-rakan yang sependirian dengannya mesti “ambil perhatian”. Awas.

Bagaimana pula Umno? Adakah Umno juga akan mengambil langkah tertentu yang tegas ke atas pemimpin yang pro-Perikatan Nasional? Maksudnya pro-Bersatu dan pro-PAS?

Bagi Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid, tidak wujud dua kelompok dalam Umno walaupun jawatan Presiden dan Perdana Menteri diterajui pemimpin berbeza.

Ismail Sabri Yaakob ialah Naib Presiden Umno. Maka dalam parti mesti akur kepada Presiden Ahmad Zahid Hamidi walaupun Ismail Perdana Menteri dan Zahid berada di luar kerajaan.

Namun bukan itu persoalannya untuk artikel ini.

Yang ingin diperkatakan ialah, bukan rahsia ada puak dalam Umno yang mahu parti berbaik dengan PAS dan Bersatu serta duduk dalam Muafakat Nasional sekali gus sokong Perikatan Nasional.

Ada tim dalam Umno yang tolak Bersatu berdasarkan keputusan Perhimpunan Agung Umno dahulu dan sekali gus tolak PAS yang curang dan bermain kayu tiga dengan Bersatu.

Bagi Umno kedua dua parti itu – Bersatu dan PAS – sudah tikam belakang.

Lalu perlu ditanya apa langkah Umno seterusnya? Mungkinkah presiden parti turut mengambil tindakan tertentu dengan kuasa luas yang ada padanya?

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.