Ambil tindakan mengenai isu Azam ‘peluang terakhir’ PM, kata Kit Siang
PETALING JAYA: Perdana Menteri mesti meminta Jemaah Menteri menamatkan perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki jika beliau tidak bersedia untuk menghadap Jawatankuasa Pilihan Khas bagi menjelaskan isu pemilikan saham korporatnya, kata veteran DAP Lim Kit Siang.
Lim berkata, ini akan menjadi “peluang terakhir” Ismail Sabri Yaakob untuk menyelamatkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri pada saat kerajaannya berdepan beberapa isu lain.
Katanya, Jemaah Menteri juga perlu memutuskan untuk mengadakan sidang Parlimen khas pada 21 Jan bagi memulihkan keyakinan orang ramai terhadap program pencegahan rasuah kerajaan serta menerima, membahas dan memutuskan sebarang laporan yang mungkin dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Agensi di Jabatan Perdana Menteri mengenai kontroversi itu.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Malaysia sudah berdepan dua “keaiban” besar, iaitu kes 1MDB dan pensabitan bekas Perdana Menteri Najib Razak dalam kes rasuah SRC International yang mendapat perhatian sedunia.
“Jangan pula kita tanggung keaiban ketiga, iaitu ketua SPRM kehilangan keyakinan rakyat,” tambahnya.
Azam dan SPRM mendapat kecaman selepas didedahkan bahawa beliau membenarkan adiknya membeli saham menggunakan akaun dagangannya.
Pada 5 Jan, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM Abu Zahar Ujang membersihkan nama Azam daripada sebarang salah laku, dengan berkata, Azam telah memaklumkan perkara itu kepada lembaga pengarah dan pembelian saham oleh adiknya tidak menjadi konflik kepentingan.
Pada 8 Jan, enam ahli LPPR menjarakkan diri daripada kenyataan Abu Zahar, dengan mendakwa ia hanya pandangan peribadinya.
Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Ahmad Khusairi Yahaya, Norazlan Mohd Razali dan Junipah Wandi tampil menyokong Azam, dengan mendakwa beliau menjadi mangsa “politik balas dendam”.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.