https://critoxium.com/shop/

Terkini

‘Tak perlu sarung kasut Phua Chu Kang’, mangsa banjir lega terima sumbangan orang ramai

 


PETALING JAYA: Seorang ibu tunggal, Asmawiah Ismail lega apabila dua anaknya tidak perlu memakai ‘kasut Phua Chua Kang’ untuk ke sekolah hari ini, selepas menerima sumbangan daripada orang ramai, termasuk Kementerian Pendidikan.

FMT sebelum ini berkongsi kisah Asmawiah, seorang ibu tunggal yang runsing untuk menyekolahkan dua anaknya, selepas rumahnya di Batu 20, Sungai Lui, Hulu Langat ditenggelami air banjir besar, 18 Dis lepas.

Asmawiah dan anaknya tinggal sehelai sepinggang, memaksanya menyuruh anaknya memakai ‘kasut Phua Chu Kang’ atau kasut bot getah, yang lazimnya disarung pekerja buruh kasar.

Tidak ada ada satu barang pun terselamat – termasuk pakaian seragam, kasut, beg sekolah serta buku anak-anaknya.

“Alhamdulillah, ada wakil dari Kementerian Pendidikan datang bawa anak-anak saya pergi beli barangan sekolah.

“Ada juga guru-guru datang tanya khabar kami anak beranak. Ada yang nak tumpangkan anak saya ke sekolah,” katanya kepada FMT.

Dua anaknya yang akan bersekolah mulai hari ini, berusia 16 tahun dan lapan tahun.
Beliau mempunyai tiga lagi anak termasuk seorang lagi pelajar tahun akhir di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

“Ada juga sumbangan orang ramai masuk ke akaun bank saya. Terkejut saya tengok akaun bank. Allahuakbar. Terima kasih sangat-sangat. Allah saja yang membalasnya,” katanya.

Asmawiah yang baru setahun lebih kehilangan suami berkata, selepas kejadian banjir itu dia menjadi trauma setiap kali hujan turun. Pengalaman meredah air paras pinggang sambil menolak kerusi roda ibunya yang uzur untuk mencari tempat berlindung, terbayang-bayang di mindanya.

Dia juga terpisah dengan tiga anaknya, yang hanyut dibawa arus deras dan nasib menyebelahi mereka apabila sempat berpaut di dahan pokok manggis. Namun paras air naik lebih tinggi memaksa mereka berpindah ke pokok Ketapang di sebelahnya dan ‘bermalam’ di atas pokok itu dari jam 10 malam hingga ke 7 pagi keesokan harinya.

Kawasan Hulu Langat seperti Batu 20, Sungai Lui, Taman Sri Nanding dan Kampung Jawa adalah antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir sehingga menyebabkan ramai penduduk di kawasan itu tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.