https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mandat rakyat Johor


Oleh HASMI HASHIM

Pilihan raya negeri (PRN) yang mengejut ini sebenarnya tidak lebih merupakan pilihan raya semula. Umno-BN sebenarnya tidak dapat terima hakikat bahawa mereka kalah dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

Sejak itu, helah politik diatur satu persatu. Bermula dengan mengumpan BERSATU agar meninggalkan Pakatan Harapan (PH)—dan kebetulan perasaan tidak jujur itu memang ada dalam hati Mahiaddin Yassin. 

Bagi menjayakan helah fasa pertama, maka Umno sanggup memberikan jawatan perdana menteri kepada Mahiaddin.

Hati Mahiaddin memang sejak awal tidak bersama perjuangan PH. Apatah lagi PKR dan Anwar. Kini jelas, dia hanya mahu menggunakan PH untuk melunaskan dendam peribadi terhadap Najib Razak.

Apabila Najib berjaya ditumbangkan dengan teras sokongan PH yang terbina sejak sekian lama, Mahiaddin kembali menerima rundingan dengan Umno-BN untuk mendirikan kerajaan campuran PN-BN, sedangkan partinya, BERSATU, telah mengikat perjanjian untuk menyerahkan jawatan PM kepada Anwar Ibrahim dalam setahun selepas PRU.

Mahiaddin khianat.

Hari ini, strategi Mahiaddin mula memakan diri. Dia mengkhianati PH, termasuk Anwar, dan dia pula ‘dikhianati’ Umno. Mahiaddin hanya diizinkan ‘berada besar’ menjadi PM untuk 16 bulan sahaja.

Dia akan dikenang sebagai PM paling singkat dalam sejarah politik Malaysia. Bukan setakat itu, kerajaan pimpinannya dilabel sebagai “kerajaan gagal”. 

Secara umumnya, selepas kalah PRU, apa yang dilakukan Umno cukup mudah iaitu melaksanakan politik pecah belah. Sasaran awalnya adalah PH, dengan memancing Mahiaddin sepertimana yang telah dijelaskan di atas.

Taktik klasik

Taktik memecahkan-belahkan musuh adalah taktik yang klasik. Tidak ada apa yang mengejutkan sebenarnya.

Tetapi yang dilupakan oleh pencatur politik pecah-belah itu ialah politik tidak selamanya ditentukan oleh segelintir elit seperti mereka. Dalam sistem demokrasi, politik pada akhirnya ditentukan oleh rakyat.

Di sinilah, Umno-BN sekali lagi mahu mengambil mandat daripada rakyat apabila mengadakan PRN mengejut di Johor. Mereka yakin dapat membunuh Mahiaddin yang kini membentuk Perikatan Nasional (PN), dan dalam masa sama dapat untuk mematahkan tengkuk PH, khususnya PKR.

Kekuatan sebenarnya PH ada pada PKR. PKR adalah parti terbesar, dipimpin oleh pemimpin paling berpengalaman dan berpengaruh, iaitu Anwar Ibrahim. Pengaruh Anwar yang kuat di dalam dan luar negera memang sudah sekian lama mahu dibunuh, tetapi gagal.

Dalam kata mudah, Anwar memang mahu dihapuskan sama ada oleh Mahiaddin mahupun oleh kelompok elit Umno. Selagi Anwar dan PKR ada, selagi itulah mereka tak boleh senang duduk.

Sekali lagi, PRN Johor adalah “pilihan raya semula.” 

Kejayaan merampas Melaka yang begitu diraikan oleh Umno sebenarnya hanyalah dengan majoriti tipis iaitu sekitar lapan ribu sahaja, di seluruh negeri Melaka.

Berbakal strategi licik itulah, maka Umno yakin untuk mengadakan PRN Johor.

Kelebihan satu majoriti di DUN Johor rupa-rupanya sangat membimbangkan Umno. Kerajaan Johor selepas “Langkah Sheraton” hanya sebuah kerajaan atas belas ikhsan Mahiaddin dan BERSATU. 

Perjanjian Ismail Sabri bersama PH di peringkat persekutuan pun belum cukup untuk meyakinkan Umno.

Namun selepas PRN Melaka dan Sarawak, rakyat umumnya sudah sedar bahawa inilah strategi Umno-BN untuk meragut kuasa secara senyap-senyap dan bukannya bertarung bersama di dalam PRU nanti.

Jumlah yang keluar mengundi yang rendah, iaitu sekitar 65 peratus dilihat telah memberi kelebihan kepada Umno-BN. Sedangkan dalam PRU lalu, jumlah yang keluarga mengundi mencecah 85 peratus.

Jumlah keluar mengundi 

Selagi jumlah keluar mengundi itu rendah, maka parti mana pun yang menang, maka kerajaan yang didirikan bolehlah dianggap sebagai kerajaan minoriti—tidak menggambarkan hakikat sebenar pilihan rakyat.

Barang diingat, Johor bukan Sarawak. Johor juga bukan Melaka yang ketika itu belum ditambah dengan “pengundi 18”. 

Dalam beberapa bulan sahaja, corak politik sudah bertukar dan rakyat sudah melihat bagaimana taktik Umno dan kecurangan BERSATU memang tidak boleh dibenarkan terus menguasai politik negara ini.

Ada tanda-tanda bahawa kebangkitan rakyat keseluruhannya akan bermula di Johor. Sama ada Umno atau BERSATU keduanya akan ditolak kerana politik intrik yang merosakkan pilihan dan mandat rakyat dalam PRU lalu. 

Parti-parti kecil lain seperti PAS, Gerakan, MCA dan MIC yang bergabung di dalam BN atau PN hanyalah pelakon tambahan. Tidak signifikan dan sesetengahnya boleh diabaikan sama sekali.

Hanya ada satu pilihan untuk politik yang bermaruah dan stabil iaitu kembalikan mandat rakyat dalam PRU dengan kemenangan yang besar.

Kali ini PKR perlu lebih yakin kehadapan menjadi mangsa ditikam dari luar dan dalam. Apabila Johor bangkit bersama jejak perjuangan lama Reformasi, maka helah politik lapuk Umno dan BERSATU akan berakhir.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.